Monday, December 10, 2012

UMNO PERLU BUANG SIKAP TIDAK PUAS HATI TERHADAP CALON DIPILIH PARTI - DR MAHATHIR

SIK: Anggota Umno perlu kikis sikap tidak puas hati terhadap calon pilihan parti jika mahu melihat parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa dan membentuk sebuah kerajaan yang kuat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata setiap anggota perlu memberi sokongan kepada calon yang bertanding atas nama Umno dan tiket BN supaya kemenangan besar untuk membentuk kerajaan yang kuat boleh dicapai.

"Jangan terlalu cepat menolak mana-mana calon yang diputuskan bertanding," katanya pada Majlis Bersama Rakyat Daerah Sik, yang disertai lebih 2,000 orang, di sini, Ahad.

Hadir sama isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Hanipah, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Dr Mahathir berkata tindakan tidak menyokong calon yang dipilih parti berpunca daripada sikap cepat lupa di kalangan orang Melayu, yang akhirnya akan mengundang masalah lagi jika Umno dan BN tidak mendapat majoriti yang secukupnya di Parlimen.

Katanya anggota dan penyokong Umno serta BN perlu sedar bahawa tindakan tidak menerima calon yang dipilih oleh pimpinan parti dalam PRU-13 sebenarnya membawa kesan buruk kepada parti dan anggota parti itu sendiri.

Beliau berkata masalah itu boleh dielakkan jika semua ahli dan penyokong Umno dan BN mengenepikan hal-hal yang timbul dengan memberikan sokongan padu kepada semua calon Umno dan BN dalam PRU-13 nanti.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir mahu semua ahli dan penyokong Umno dan BN memberikan keutamaan kepada perpaduan dalam parti.

Katanya mereka perlu berazam membantu calon yang bertanding supaya menang bagi memudahkan pucuk pimpinan membentuk sebuah kerajaan yang kuat untuk membela rakyat serta melaksanakan pembangunan negara secara lebih drastik. - BERNAMA/mStar
PELAKSANAAN AES DITERUSKAN DEMI KESELAMATAN PENGGUNA JALAN RAYA – SOLAH

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pemasangan 831 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara tetap diteruskan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, walaupun usaha itu ditentang sesetengah pihak termasuk dijadikan isu politik, JPJ kekal dengan keputusan untuk melaksana sistem tersebut yang turut diguna di negara maju.

"Rancangan pelaksanaan AES tidak akan ditangguh dan ia akan diteruskan kerana ia adalah satu usaha murni dan bukan untuk menghukum pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita sebelum mesyuarat tertutup bersama pegawai JPJ Terengganu, di sini Ahad.

Beliau berkata, buat masa ini, 14 unit AES telah dipasang iaitu tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk empat unit bergerak AES.

Menurutnya, sejak pelaksanaan AES 23 September lalu pihaknya mendapati kadarkesalahan trafik di beberapa lokasi strategik berjaya dikurangkan 75 peratus.

Dalam pada itu, Solah berkata pihaknya bersedia untuk berjumpa wakil parti politik bagi menjelaskan matlamat sebenar pelaksanaan AES.

"Kalau hendak jumpa boleh, JPJ tidak ada masalah," katanya ketika diminta mengulas dakwaan sistem itu menjadi isu politik dan akan mempengaruhi keputusan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Katanya, JPJ kini dalam rangka jelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menerangkan fungsi sebenar AES dan faedahnya kepada pengguna jalan raya.

Mengulas tentang unit AES yang menjadi mangsa vandalisme di dua lokasi di Selangor, beliau berkata, pihaknya sudah menjangka perkara tersebut akan berlakusebagaimana kerosakan kepada harta benda awam lain di negara ini.

"Ada yang puas hati dan ada yang tidak puas hati itu sudah kita jangka dan ini juga berlaku di negara lain," katanya. – BERNAMA/mStar
MONOREL BAKAL DILAKSANA DI PULAU PINANG

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan monorel yang bakal diwujudkan di Pulau Pinang dengan anggaran kos lebih RM1 bilion, akan dilaksana sebaik Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata projek itu akan dijalankan secara berperingkat mengikut jajaran kawasan, sekali gus bukan saja meningkatkan rangkaian sistem pengangkutan awam lebih tersusun dan sistematik, malah menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Projek ini akan dibina di bahagian pulau, memerlukan perbelanjaan besar lebih RM1 bilion," Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan.

“Projek ini akan dibina di bahagian pulau, memerlukan perbelanjaan besar lebih RM1 bilion. Ia akan dilaksanakan secara tender terbuka, sekali gus mengelak tuduhan dan fitnah pembangkang yang cemburu dengan kemampuan dan kejayaan BN melaksanakan banyak projek pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai perkhidmatan pengangkutan itu ketika melawat Pulau Pinang kelmarin selain pembinaan 20,00 unit rumah murah dan mampu milik di negeri itu dalam masa terdekat. -BHarian