Tuesday, September 25, 2012

DANA ASING BERSIFAT SUBVERSIF - ZAM

SHAH ALAM: Mengakui penyaluran dana asing ke negara ini sudah wujud sejak zaman Perang Dingin, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bagaimanapun menegaskan perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks yang berbeza.
Menurut beliau, bentuk bantuan dari luar negara yang diterima ketika zaman Perang Dingin tidak dianggap sebagai satu kesalahan kerana ia lebih bersifat kepada perjuangan untuk menyelamatkan negara daripada cengkaman komunis.
Bantuan yang diterima pula katanya adalah lebih kepada memberi peluang kepada anak tempatan untuk diberi latihan di dalam bidang-bidang tertentu di Eropah dan Amerika Syarikat, sebelum diserap bekerja di negara-negara tersebut.
“Tapi semuanya masa itu bekerja dan mengetahui mereka adalah alat kepada Amerika, kuasa besar barat, untuk memerangi komunis.
“Jadi pada masa itu tidak menjadi satu kesalahan kerana adalah sesuai dengan dasar negara, dan sesuai dengan perjuangan untuk menyelamatkan negara dan juga kepentingan kebebasan dunia,” kata beliau.
Namun begitu tegas veteran Umno ini, situasi hari ini sudah jauh berubah apabila penyaluran dana asing di negara ini dilihat lebih bersifat subversif.
Berpendapat ianya ‘subversif dalam bentuk baru’, objektif sebenar kemasukan penaja-penaja asing ke negara ini dengan bermodalkan hak asasi manusia katanya sebenarnya adalah untuk ‘menjajah’ kedaulatan negara.
“Jadi itulah keadaan yang ada sekarang yang dulu dianggap bantuan kepada kita tapi sekarang menjadi sesuatu yang merbahaya, yang merupakan satu anasir subversif dalam bentuk yang baru.
“Kalau dulu kita berjaya menentang subversif komunis, tapi keadaan akan menjadi sukar dalam keadaan kita berjuang menentang ‘a new element of subversive’ kerana ia didalangi dan didokong dan dibantu oleh orang yang membantu kita dulu,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, kegiatan-kegiatan sebegini sekiranya tidak dibendung dari sekarang akan mengakibatkan kesan yang negatif kepada negara.
Malaysia katanya akan kehilangan identiti tersendiri sebaliknya akan menjadi alat kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Dan tanda-tanda ke arahnya menurut Tokoh Wartawan Negara ini semakin jelas dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta sesetengah portal berita yang dakwa beliau mendapat tajaan dari luar negara, dilihat semakin agresif memainkan peranannya untuk menjatuhkan kerajaan.
“Kesannya ia mungkin akan menjatuhkan kerajaan, menukar pemikiran rakyat, menghilangkan nilai-nilai diri kita sendiri dan akhirnya kita akan tidak mempunyai identiti sendiri dan kita hanya menjadi alat Amerika.
“Elemennya ialah akan menyebabkan kita tidak bebas, dia mencampuri politik kita dan kebebasan kemerdekaan kita bukan ditentukan oleh kita sendiri, tapi kuasa barat iaitu Amerika.
“Sekarang yang menjadi alatnya adalah macam Anwar, jelaslah dia bagi bantuan kepada Anwar, kepada semualah yang mana yang link (berkaitan) seperti dengan media (alternatif), dengan politician (ahli politik), parti pembangkang, untuk menjatuhkan kerajaan yang masih mempertahankan kemerdekaan sendiri, wawasan sendiri,” ujar bekas ahli Parlimen Sungai Petani ini.
Selain pihak berkuasa, rakyat sendiri katanya perlu memainkan peranan mereka untuk mengelakkan campurtangan asing berleluasa di negara ini dengan memberikan sokongan serta memperkuatkan kerajaan yang sedia ada.
“(Campurtangan asing boleh) Diatasi dengan kita memberikan sokongan kepada kerajaan, memperkuatkan kerajaan yang ada sekarang. Kalau kerajaan lemah, kita tidak boleh atasi perkara ini,” katanya.–AntaraPos.com
PERUBATAN ISLAM DIIKTIRAF

Perubatan Islam mendapat pengiktirafan daripada kerajaan apabila Kementerian Kesihatan bersetuju memasukkan amalan perubatan alternatif tersebut di bawah Rang Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, notis menambah perubatan Islam itu dibuat selepas kementerian mendapat persetujuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua jabatan agama Islam negeri.

"Sebelum ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana belum mendapat persetujuan Jakim. Selepas ini, pengamal perubatan Islam termasuk bomoh perlu mendaftar menerusi majlis yang akan ditubuhkan," katanya ketika membaca rang undang-undang itu buat kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa meminta kementerian memasukkan perubatan Islam dalam rang undang-undang tersebut berikutan semakin ramai masyarakat beralih kepada perubatan alternatif Islam.
 
Menurut Tiong Lai, rang undang-undang tersebut digubal untuk memastikan amalan perubatan yang dijalankan di negara ini selamat dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, di bawah rang undang-undang itu, pihak kementerian dengan kerjasama Jakim akan memantau proses pendaftaran pengamal perubatan sama ada Islam, tradisional Melayu, Cina mahupun India di bawah satu majlis yang akan ditubuhkan kelak.

Jelasnya, mana-mana pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari arahan pendaftaran tersebut boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 atau penjara selama dua tahun.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa hampir 15,000 pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang terdapat di negara ini tidak akan terlepas daripada tindakan tegas sekiranya didapati menipu dan melanggar undang-undang berkenaan.

Dalam pada itu, tambah beliau, kementerian juga telah melancarkan dasar kebangsaan dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari bagi membolehkan ia disepadukan dengan yang moden demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

"Di Malaysia, permintaan terhadap perubatan ini semakin meningkat dan pada masa sama kementerian juga menerima banyak aduan berhubung perkara ini, selain sering digemparkan dengan berita negatif mengenai pengamalnya," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini 10 hospital kerajaan menjalankan program integrasi menawarkan perubatan moden dan tradisional.

Hospital tersebut ialah Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Duchess of Kent (Sandakan) dan Hospital Umum (Sarawak).

Di samping itu, turut menawarkan kedua-dua perubatan itu ialah Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu). –Utusan Online
KERAJAAN DISARAN TUBUH JAWATANKUASA KHAS SIASAT PENYALURAN DANA ASING

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat jenayah penyaluran dana asing yang boleh mengganggu keselamatan negara, kata Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

"Penyaluran dana asing secara haram kepada golongan yang secara terang-terangan terlibat dalam gerakan antikerajaan adalah satu ancaman ke atas keselamatan negara kita.

"Ini bukan isu politik tapi isu keselamatan negara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Zahrain mengulas dakwaan penyaluran dana asing kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Beliau menegaskan penyaluran dana asing ini adalah satu gerakan subversif moden kerana terbukti menyebabkan huru-hara dan keruntuhan beberapa negara di Timur Tengah dan Afrika.

Zahrain mendakwa wujud pertubuhan subversif yang berselindung di sebalik hak asasi manusia atau kebebasan yang diusir keluar dari Mesir dan Rusia.

"Kita tidak perlu menunggu sehingga nasi menjadi bubur seperti di Mesir atau sehingga jalan raya kita dipenuhi rakyat yang diperdaya kuasa asing.

"Saya ingin mendesak agar Bank Negara menjelaskan status sebenar kes-kespenyaluran dana asing secara haram ke dalam negara ini," katanya. -BERNAMA

BNM PERLU DEDAH PENYALURAN DANA LUAR
Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau dan mengambil tindakan secara serius terhadap setiap kemasukan dana asing kerana ia melibatkan keselamatan negara yang tidak boleh dikompromi.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, BNM perlu berhenti berlembut terhadap pihak yang menerima dana asing, apatah lagi golongan itu terlibat dengan gerakan antikerajaan.
Sehubungan itu, beliau mendesak BNM segera menjelaskan status sebenar kes-kes melibatkan penyaluran dana asing secara haram ke dalam negara ini iaitu pihak mana yang menyalur dan siapa menerima.
Perbuatan ini (menerima dana asing untuk tujuan antikerajaan) bukan isu politik tetapi soal keselamatan negara yang tidak boleh berkompromi walaupun dengan apa cara sekalipun. -UtusanOnline