Wednesday, July 4, 2012

KERAJAAN HARUS ADA USAHA TARIK PENGUNDI CINA – PENGANALISIS POLITIK

SHAH ALAM -  Penganalisis politik bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan pengaruh pengundi kaum Cina akan menjadi penentu besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mohd Azizuddin Mohd Sanim dari Universiti Utara Malaysia melihat kenyataan Dr Mahathir itu sebagai satu perkara benar kerana keadaan kaum Melayu telah lama berpecah kepada dua sentimen, masing-masing membawa haluan sendiri.

Azizuddin berkata, pengundi Cina memang dilihat boleh menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) untuk terus mengemudi sistem pemerintahan negara pada pilihan raya musim ini.

Azizuddin berkata, walaupun kaum Cina dilihat lebih memilih kepada pemerintah mengikut kaumnya, namun sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, undian kaum Cina lebih dibuat mengikut parti yang disokong.

Katanya lagi, kerajaan sekarang perlu menitikberatkan soal bahasa, kebudayaan dan pendidikan untuk terus memberi keyakinan kepada kaum Cina dan menarik penglibatan mereka dalam memberi undi kepada BN.

Sementara itu,  Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, keputusan PRU 2008 antara penyebab kemerosotan undi kaum Cina pada BN yang puratanya hanya 25 peratus hingga 30 peratus yang ditunjukkan dalam kajian masyarakat Cina menyokong BN pada PRU lepas dan dilihat masih kekal.

Beliau juga berkata, hal tersebut jelas menunjukkan kerisauan kepada BN untuk menarik lebih ramai pengundi golongan Cina dan perkara ini memberi cabaran besar bagi kerajaan.

Samsul berkata, kempen yang dilancarkan parti pembangkang iaitu DAP lebih berkesan dan dilihat memberi kelebihan kepada kaum itu serta sekali gus menyerapkan kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun begitu, Samsul berkata, pengundi dinasihatkan lebih bersikap realistik dan bukan mengharapkan pada janji-janji yang ditaburkan parti politik untuk menang dalam PRU sahaja.


KD: Bukan sahaja kaum Melayu, rupanya kaum Cina juga berpecah belah.. Semuanya gara-gara politik. Mungkin rakyat perlu berubah, menjadikan politik sebagai pusat penyatuan, sekaligus menaikkan gagasan Negara Bangsa Malaysia!!
HUDUD DI JOHOR: REAKSI NGO

Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat agar hukum hudud dilaksanakan di Johor telah menjadi isu paling hangat semenjak dua hari lalu.

Banyak reaksi dapat dilihat, tidak kiralah dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Tetapi, KD lebih gemar melihat reaksi atau pandangan dari pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Di sini KD perolehi beberapa reaksi dari NGO di Malaysia:
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang diwakili Presidennya, Amidi Abdul Rahman menyokong penuh cadangan itu, namun menggesa satu pelan induk berlandaskan hukum syariah perlu dirangka terlebih dahulu. Katanya, cadangan itu perlu diteliti supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam.
Berkongsi pandangan yang sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Nahar Mohd Nor pula berkata, pelaksanaan hudud perlu dirancang dan dinilai secara keseluruhan agar, tidak timbul isu hanya negeri tertentu sahaja melaksanakan hukum tersebut. Ini kerana, jika hudud tidak diselaraskan dengan baik, ia boleh menimbulkan fitnah kerana dilakukan tanpa persiapan rapi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Abdul Halim Ismail berkata, kenyataan Adun Kemelah itu dianggap perkara biasa bukannya perkara ganjil. Pelaksanaan hudud patut diterima secara positif dan perkara ini menjadi kontroversi apabila dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Namun, pelaksanaannya perlu dijalankan secara menyeluruh kerana kemungkinan ada pihak cuba melarikan diri daripada dikenakan hukuman itu ke negeri lain. 
Badan Anti Liberalisme Agama (BADAI), antara NGO Islam yang gembira dengan perkhabaran ini.  Setiausaha Agungnya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pelaksanaan hukum hudud di seluruh negara sepatutnya dimulakan oleh Kerajaan Pusat berikutan Umno yang memimpin negara ini. Jadi, jika Kerajaan Pusat benar-benar mahu melaksanakannya, persediaan sepenuhnya diperlukan. Bagaimanapun, BADAI berharap ia bukan sekadar gimik pilihanraya.
Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyokong cadangan untuk menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia. Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, pihaknya menganggap soal hukum hudud sebagai subjek yang tercicir. PPPMM berpendapat, sebagai umat Islam menjadi kewajaran untuk sama-sama mengukuhkan pengetahuan dan ilmu mengenai syariat Islam supaya prinsip dan formula yang terkandung dalam al-Quran tidak tercicir.
Bagi KD, sama ada ia (hukum hudud) ini terlaksana atau tidak, semuanya bergantung pada kepimpinan negara ini. Mungkin di peringkat awal, ia dilaksanakan secara berperingkat iaitu di peringkat negeri dahulu. Secara berperingkat ia kemudiannya diserap dalam Perlembagaan Negara.
PAS ROMPIN IMPI KERUSI PARLIMEN, DUN

KUALA ROMPIN - Pas Kawasan Rompin memasang harapan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU-13) walaupun mengakui parti itu berdepan cabaran getir untuk merampas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Shukri Ahmad berkata, dalam keadaan senario politik pada masa kini, BN diyakini semakin terdesak untuk mempertahankan satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun yang dimenangi mereka dalam PRU lalu. Menurutnya, walaupun beliau mengakui bahawa Rompin merupakan kubu kuat BN, namun beliau yakin bahawa Pas atau Pakatan Rakyat (PR) berpotensi untuk menang berdasarkan pertambahan sokongan pengundi di kawasan itu.

Beliau percaya dan yakin dengan suasana perubahan masyarakat khususnya di kawasan Felda dan undi generasi kedua akan membolehkan Pas menang di Rompin. Malah katanya, Pas juga sudah menyediakan calon baru yang boleh menang untuk menewaskan mana-mana saja calon BN terutama jika penyandangnya, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis bertanding di Parlimen itu. Beliau turut memberi bayangan calon Pas yang akan bertanding dalam PRU-13 adalah seorang calon yang diterima rakyat, dikenali, berpendidikan tinggi selain disenangi masyarakat setempat.

Berdasarkan situasi Rompin ketika ini, kekayaan hasil di bumi Rompin seperti hasil bijih besi di Bukit Ibam, misalnya hanya memberi manfaat kepada orang luar, manakala rakyat tempatan pula diibaratkan seperti ‘mengemis di bumi sendiri’.

Disebabkan itu, jika Pas diberi mandat oleh rakyat dalam PRU akan datang, parti itu akan sedia menawarkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada generasi muda yang tinggal di Rompin. 
PINDA PERLEMBAGAAN JIKA LAKSANA HUDUD
Kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan ataupun membatalkan Akta Mahkamah Syariah jika mahu membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di mana-mana negeri di negara ini.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, mengikut akta berkenaan yang dipandu Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, setiap negeri berkuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan agama Islam dan penganutnya di negeri masing-masing.

Namun, bidang kuasa yang dibenarkan bagi undang-undang syariah adalah terhad kepada penganut Islam sahaja dan juga kesalahan yang melibatkan hukum syarak.

Menurutnya, kuasa diberi kepada negeri berkaitan undang- undang jenayah terhad dan hukuman mengikut undang-undang syariah juga terhad.

Tanpa pindaan Perlembagaan, kata Nik Ahmad Kamal, negeri yang menggubal undang- undang berasaskan hudud dan diluluskan Dun sekalipun, tidak akan dapat menguatkuasakannya.

Bagaimanapun kata Nik Ahmad Kamal, Kerajaan Negeri masih boleh melaksanakan hudud tanpa meminda Perlembagaan iaitu membatalkan Akta Mahkamah Syariah yang mengehadkan peruntukan hukuman enakmen syariah.

Apa pun kata Nik Ahmad Kamal, negeri yang telah mewartakan undang-undang syariah berasaskan hudud masih boleh meneruskan pelaksanaannya, namun pesalah yang ditangkap boleh mempersoalkan undangundang itu di Mahkamah Persekutuan.
ISU HUDUD: 'RIBUT' BAKAL LANDA BN - PENGANALISIS
alt
Tindakan berani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno, menyuarakan cadangan supaya Johor melaksanakan hukum hudud sepenuhnya bakal memberi implikasi dalam Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat, implikasi pasti ada, seperti pastinya ada banyak implikasi dan persoalan yang timbul daripada MCA, MIC dan parti-parti bukan Islam yang lain. Namun, perkara itu mampu ditangani BN. Tidak seperti dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila DAP menentang keras usaha Pas melaksanakan hukum hudud sebelum ini.

Ini kerana, Umno adalah parti teras dalam BN, selalunya apa yang dibawakan Umno itu diterima oleh parti komponennya yang lain. Keadaan itu disebabkan oleh rakan dalam BN mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Umno.

Katanya, sejarah telah membuktikan perkara itu. Sebagai contoh, ketika Islam Hadhari mahu dilaksanakan,  banyak kemusykilan yang timbul. Bagaimanapun dengan kesungguhan Umno melakukan penerangan akhirnya mendapat respons yang baik.

Pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga melihat cadangan yang  dibawa oleh Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat adalah satu perkembangan positif bagi Umno. Malah, beliau berpendapat perkara itu boleh dilaksanakan oleh Umno sejajar dengan transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sememangnya sentimen keislaman sudah tertanam di dalam Umno.

Justeru, beliau menyarankan kajian yang serius perlu dilakukan bagi melaksanakan perundangan Islam ini sepenuhnya merangkumi nasihat pakar-pakar yang lebih berpengetahuan dalam perkara ini kerana ia akan lebih didengar oleh rakyat. -Sinar Harian