Thursday, May 10, 2012

IRENE FERNANDEZ PERLU DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS, SEGERA


Kenyataan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Irene Fernandez ketika ditemubual akhbar The Jakarta Post, baru-baru ini, bahawa Malaysia tidak selamat untuk pekerja Indonesia disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan mesti disiasat motif sebenar membuat kenyataan itu. Tindak-tanduk Pengarah Eksekutif Tenaganita itu bukan saja boleh mencemarkan nama baik negara, malah berniat jahat untuk mengeruhkan hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia. Kita tidak boleh menolak kemungkinan tindakan Fernandez itu didalangi parti politik tertentu yang sengaja mahu mencetuskan perasaan kurang senang lebih sejuta warga Indonesia yang mencari rezeki di negara ini.

Kita setuju dengan gesaan pelbagai pihak supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera bertindak memandangkan pemimpin NGO propembangkang itu sudah melampaui batasan dengan mencemarkan nama baik Malaysia di luar negara. Untuk membiarkan Fernandez terlepas tanpa tindakan boleh memberi mesej salah kepada pihak lain bahawa mereka juga bebas untuk mengeluarkan kenyataan mencemarkan nama baik Malaysia. 

Perbuatan ini boleh dianggap satu pengkhianatan dan hasutan supaya rakyat asing hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Malaysia, sedangkan apa yang didakwa itu tidak berasas. Seperti ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Malaysia dan Indonesia sudah mempunyai mekanisme melalui memorandum persefahaman yang dipersetujui dan perkara ini sentiasa diberi perhatian kedua-dua pihak.

Isu berkaitan tenaga kerja ini juga pernah dibincang dalam mesyuarat ASEAN pada 12 dan 13 Januari 2007, yang mana Malaysia antara negara yang komited memastikan tiada diskriminasi terhadap tenaga kerja asing. Namun, kita tidak menafikan kemungkinan ada beberapa kes terpencil yang mana berlaku penderaan atau salah laku terhadap pembantu rumah, tetapi itu tidak boleh dijadikan gambaran menyeluruh bahawa Malaysia tidak selamat.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di Malaysia, Khairuddin Harahap sendiri turut menyangkal dakwaan Fernandez itu. Hakikatnya, kebanjiran warga Indonesia di negara ini jelas membuktikan Malaysia adalah ‘syurga’ rezeki. 

Buktinya sejak awal 1980-an lagi, tenaga kerja Indonesia tidak putus-putus memohon bekerja di sini. Mereka juga memohon untuk kembali ke negara ini selepas tamat kontrak atau balik ke kampung. Memandangkan kenyataan Fernandez itu fitnah dan pembohongan, pihak berkuasa harus bertindak cepat dan jangan biarkan isu ini berlarutan kerana ia boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi paling selamat di dunia.

Sumber: Minda Pengarang (BHarian 10/05/2012)


KD: Apakah tujuan, motif dan relevan kenyataan Irene Fernandez ini? Adakah beliau benar-benar mewakili pertubuhannya –Tenaganita yang sebelum ini begitu gah memperjuangkan nasib pekerja wanita? Jika begini caranya, beliau wajar dikenakan tindakan agar tiada lagi individu yang begitu berani dan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang hanya mengundang kemarahan serta kontroversi.