Kenyataan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Irene
Fernandez ketika ditemubual akhbar The Jakarta Post, baru-baru ini, bahawa
Malaysia tidak selamat untuk pekerja Indonesia disifatkan sebagai tidak
bertanggungjawab dan mesti disiasat motif sebenar membuat kenyataan itu.
Tindak-tanduk Pengarah Eksekutif Tenaganita itu bukan saja boleh mencemarkan
nama baik negara, malah berniat jahat untuk mengeruhkan hubungan baik antara
Kerajaan Malaysia dan Indonesia. Kita tidak boleh menolak kemungkinan tindakan Fernandez
itu didalangi parti politik tertentu yang sengaja mahu mencetuskan perasaan
kurang senang lebih sejuta warga Indonesia yang mencari rezeki di negara ini.
Kita setuju dengan gesaan pelbagai pihak supaya
Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera bertindak memandangkan pemimpin NGO
propembangkang itu sudah melampaui batasan dengan mencemarkan nama baik
Malaysia di luar negara. Untuk membiarkan Fernandez terlepas tanpa tindakan
boleh memberi mesej salah kepada pihak lain bahawa mereka juga bebas untuk mengeluarkan
kenyataan mencemarkan nama baik Malaysia.
Perbuatan ini boleh dianggap satu
pengkhianatan dan hasutan supaya rakyat asing hilang kepercayaan terhadap
Kerajaan Malaysia, sedangkan apa yang didakwa itu tidak berasas. Seperti
ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Malaysia dan Indonesia sudah
mempunyai mekanisme melalui memorandum persefahaman yang dipersetujui dan
perkara ini sentiasa diberi perhatian kedua-dua pihak.
Isu berkaitan tenaga kerja ini juga pernah dibincang
dalam mesyuarat ASEAN pada 12 dan 13 Januari 2007, yang mana Malaysia antara
negara yang komited memastikan tiada diskriminasi terhadap tenaga kerja asing.
Namun, kita tidak menafikan kemungkinan ada beberapa kes terpencil yang mana
berlaku penderaan atau salah laku terhadap pembantu rumah, tetapi itu tidak
boleh dijadikan gambaran menyeluruh bahawa Malaysia tidak selamat.
Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di Malaysia,
Khairuddin Harahap sendiri turut menyangkal dakwaan Fernandez itu. Hakikatnya,
kebanjiran warga Indonesia di negara ini jelas membuktikan Malaysia adalah
‘syurga’ rezeki.
Buktinya sejak awal 1980-an lagi, tenaga kerja Indonesia tidak
putus-putus memohon bekerja di sini. Mereka juga memohon untuk kembali ke
negara ini selepas tamat kontrak atau balik ke kampung. Memandangkan kenyataan
Fernandez itu fitnah dan pembohongan, pihak berkuasa harus bertindak cepat dan
jangan biarkan isu ini berlarutan kerana ia boleh menjejaskan usaha kerajaan
untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi paling selamat di dunia.
Sumber: Minda Pengarang (BHarian 10/05/2012)
KD: Apakah
tujuan, motif dan relevan kenyataan Irene Fernandez
ini? Adakah beliau benar-benar mewakili pertubuhannya –Tenaganita yang sebelum
ini begitu gah memperjuangkan nasib pekerja wanita? Jika begini caranya, beliau
wajar dikenakan tindakan agar tiada lagi individu yang begitu berani dan sewenang-wenangnya
mengeluarkan kenyataan yang hanya mengundang kemarahan serta kontroversi.
No comments:
Post a Comment