Friday, March 15, 2013

INSIDEN LAHAD DATU TIDAK JEJAS EKONOMI NEGARA - AHMAD HUSNI

IPOH: Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan berjalan lancar meskipun negara sedang berdepan insiden pencerobohan kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, insiden tersebut merupakan kes terpencil dan tidak menjejaskan perancangan pembangunan ekonomi negara.

"Pada kemuncak insiden (2 dan 3 Mac) itu berlaku, penduduk di kawasan terbabit meminta pihak bank meneruskan operasi bagi memudahkan mereka menjalani urusan harian termasuk perniagaan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, Jumaat.

"Saya percaya peniaga di kawasan terlibat berterima kasih kepada pasukan keselamatan kerana perniagaan mereka tidak terjejas ekoran kawalan keselamatan yang dilaksanakan pasukan itu," katanya.

Beliau juga berharap isu pencerobohan itu akan dapat diselesaikan segera dantidak merebak ke kawasan lain.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan khusus bagi membantu keluarga anggota yang terbunuh dalam insiden itu.- BERNAMA/mStar

KD: Di Malaysia, kemakmuran dan kemajuan ekonomi seiring..
BERI MANDAT PADA BN, BN AKAN LAKUKAN YANG TERBAIK UNTUK KELANTAN – PM

KUALA KRAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat Kelantan perlu memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 nanti kerana kerajaan BN akan melakukan yang terbaik untuk mereka.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, semua janji untuk memajukan negeri ini, termasuk tujuh projek yang diumumkan semasa lawatan beliau Januari lalu, akan ditunaikan BN.

"Janji Barisan Nasional adalah janji ditepati," katanya ketika berucap di hadapan lebih 45,000 orang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini Jumaat.

Najib yang dalam lawatan sehari ke negeri ini, berkata tindakan sedang diambil bagi melaksanakan tujuh projek itu termasuk pembinaan lebuh raya dari Kuala Krai-Kota Baharu, yang bukan sahaja memberi faedah kepada penduduk jajahan Kuala Krai, tetapi rakyat seluruh negeri ini.

Beliau berkata kerajaan BN juga akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang membelenggu rakyat Kelantan berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS menyelesaikannya walaupun sudah lebih 22 tahun memerintah.

Sambil membidas tindakan kerajaan negeri memberi tanah kepada pemimpin DAP Perak, Najib berkata kerajaan BN bersedia untuk memberi tanah kepada rakyat Kelantan yang rata-rata 'dahagakan' hak untuk memiliki tanah.

"Jangan beri tanah kepada pemimpin DAP...buat apa beri tanah kepada pemimpin DAP...rakyat Kelantan dahagakan tanah...pemimpin DAP dapat 10,000 ekar tanah, rakyat Kelantan dapat apa? Kita akan beri tanah kepada rakyat Kelantan," katanya.

Perdana menteri turut membidas pemimpin pembangkang yang katanya hanya pandai menabur janji tetapi gagal untuk menunaikannya dan ini dapat dilihat berlaku bukan sahaja di Kelantan tetapi di Selangor.

Beliau berkata PAS yang sanggup 'melutut' kepada pemimpin DAP, gagal melaksanakan perjuangan menegakkan negara Islam dan hukum hudud, yang dicanang selama ini.

Pengerusi BN itu juga berkata kerajaan BN bersedia untuk memajukan negeri ini dengan membawa masuk pelaburan besar supaya dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak untuk generasi muda.

Najib mahu rakyat negeri ini menolak pemimpin PAS yang memperkecil pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dihulurkan kerajaan pusat kepada rakyat, dengan menyamakan pemberian itu umpama hampas kelapa, jerami dan padi untuk haiwan.

Perdana menteri yakin gelombang sokongan yang kini semakin besar kepada BN, menunjukkan rakyat sudah tidak sabar lagi untuk memberi mandat kepada BN pada PRU-13 nanti untuk memerintah Kelantan. - BERNAMA/mStar

KD: wahai rakyat Kelantan, tidak mahukan anda berubah?? 
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: ADA KEPERLUAN TUBUH RCI - TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat ada keperluan untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengenalpasti dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata, penubuhan RCI mampu menjawab segala persoalan yang dibangkitkan rakyat mengenai insiden tersebut.

"Kita mempunyai kerajaan yang terbuka. Mereka (kerajaan) boleh tubuhkan RCI sekiranya rakyat ingin tahu mengenai siapa dalang di belakang pencerobohan ini," katanya.

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 58 musuh, manakala di pihak Malaysia, lapan anggota polis dan dua tentera gugur.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan sumber kewangan yang diperolehi untuk membiayai operasi kumpulan pengganas Sulu.

"Operasi itu memerlukan sumber kewangan yang besar...jadi dari mana wang itu datang? Saya sendiri tertanya-tanya mengenainya.

"Saya percaya Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu adalah lelaki miskin...dari mana wang untuk membiayai kumpulan pengganas itu datang?," katanya.

Beliau percaya wujud pihak ketiga yang membiayai pergerakan kumpulan pengganas Sulu memandangkan kerajaan Filipina mengesahkan Kiram adalah lelaki miskin. –mStar

KD: Mungkin cadangan Tun M ini wajar dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.