Friday, November 30, 2012

UCAPAN DASAR JAWAB TOHMAHAN PEMBANGKANG - DR. M

KUALA LUMPUR 29 NOV. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pakatan pembangkang terhadap parti itu selama ini.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, ucapan dasar yang disampaikan oleh Najib turut memperlihatkan semangat parti itu yang semakin kuat khususnya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

"Saya fikir ucapan itu adalah bernas, baik dan meliputi semua perkara. Ucapan itu juga turut menjawab segala tohmahan yang dibuat parti lawan selama ini.

"Malah, saya lihat semangat UMNO hari ini begitu kuat sekali. Malah, saya nampak UMNO boleh bahkan lebih kuat dalam perhimpunan ini daripada biasa," katanya.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas ucapan dasar Najib selaku Presiden UMNO sempena perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - Utusan Online
PEMERHATI LUAR KAGUM UCAPAN DASAR

KUALA LUMPUR: Aura dan semangat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan dasar di hadapan perwakilan turut dirasai pemerhati luar negara, semalam.

Wakil Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Arthur Fong, berkata ucapan beliau amat bersemangat dan menerima respon memberangsangkan.

Saya menghargai kesudian UMNO menjemput wakil kami menyertai perhimpunan besar sebegini dan sangat berbangga dengan kejayaan negara Islam seperti Malaysia," Malahat Ibrahimgizi, Wakil Kerajaan Azerbaijan

“Ucapan berkenaan menyentuh semua lapisan masyarakat dan mempunyai perspektif yang luas, dalam masa sama, beliau (Najib) tidak lupa mengingatkan generasi muda mengenai jasa pemimpin terdahulu.

“Dalam ucapan dasarnya Najib turut menggambarkan bagaimana beliau sentiasa berusaha untuk rakyat malah disayangi rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mendengar ucapan dasar Presiden, semalam.

Wakil Kerajaan Azerbaijan, Malahat Ibrahimgizi, pula berkata perhimpunan kali ini amat teratur dan bersifat progresif.

“Saya menghargai kesudian UMNO menjemput wakil kami menyertai perhimpunan besar sebegini dan sangat berbangga dengan kejayaan negara Islam seperti Malaysia.
Negara Islam contoh

“Kami berbangga ada negara Islam seperti Malaysia bergerak maju dan berdoa yang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) dan Malaysia,” katanya.
Sebahagian   pemerhati luar negara  mendengar  ucapan dasar Najib   pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, semalam.  - Foto Yazit Razali 
Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh pula menyifatkan Malaysia adalah contoh terbaik bagi negara Islam yang mengamalkan konsep demokrasi.

“Malaysia mengamalkan model demokrasi yang unik dan diamalkan dengan baik di kalangan pelbagai etnik juga agama,” katanya.

Ucapan bermaklumat

Wakil Parti Kongres Nasional Sudan, Ahmed Abdul berkata, ucapan Najib sangat berinformasi dan penuh dengan maklumat berkaitan dengan pembangunan dijalankan di bawah kerajaan BN.

“Kami berharap dapat mempelajari bagaimana mereka menjaga dan memerintah selama 55 tahun hingga menjadi negara yang sedang pesat membangun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Antarabangsa Hamas, Usamah Hamdan, berkata beliau percaya UMNO akan melaksanakan lebih banyak agenda yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita harapkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan berdasarkan pengorbanan serta sejarah UMNO menerajui negara ini, saya percaya UMNO akan melakukan lebih lagi untuk rakyatnya,” katanya. -BHarian
IKRAR PRESIDEN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berikrar akan bersama seluruh saf kepemimpinan UMNO untuk terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat orang Melayu serta membenteng akidah umat dan memelihara agama Islam.

UMNO tidak akan berundur “Walau apapun rintangan melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak  berpatah jalan.

“UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO ke-63, semalam.

Dalam ucapan bersemangat bertemakan 'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional', Perdana Menteri menegaskan UMNO dan BN akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik.

“Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasional yang mampu menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Di sini, di sinilah kita dilahirkan, di sini... di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan.

“Di sinilah juga, dengan izin Allah SWT yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

PRU13 titik penentuan

Sehubungan itu, Najib mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak bukanlah satu pilihan raya yang biasa.

“Ia merupakan titik penentu kepada destinasi rakyat dan negara. Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan kepada anak-anak kita.

“Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan negara akan hancur, runtuh dan tenggelam jika rakyat terpedaya dengan fitnah dan janji palsu pembangkang.

“Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.

“Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri,” katanya. -BHarian
PETIKAN KATA-KATA PRESIDEN UMNO

Maaf Atas kekhilafan

“Saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepemimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam”

Sumpah pemimpin UMNO

“Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang atau pimpinan atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segala-galanya, sebagai kepemimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan”

Wednesday, November 28, 2012

KERTAS PUTIH GAGAL TUTUP SKANDAL HUTANG TALAM

KUALA LUMPUR: Kertas putih penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (TALAM) gagal menutup skandal, sebaliknya bertujuan menyelamatkan syarikat itu.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, berkata kertas putih ‘kelabu’ itu juga jelas menunjukkan pembohongan kerajaan Selangor sebelum ini yang mendakwa tiada duit rakyat digunakan berhubung isu berkenaan.

“Selepas perjanjian penyelesaian hutang ditandatangani, kerajaan Selangor pula berhutang RM30 juta kepada TALAM. Mengapa membeli aset melebihi keperluan sehingga berhutang dengannya sedangkan sebelum ini mahu mengutip semula hutang itu?

Tipu rakyat

“Ia terbukti satu tindakan menyelamat yang mana akhirnya rakyat ditipu, manakala syarikat kerajaan negeri menderita,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan Selangor membentangkan kertas putih penstrukturan hutang TALAM selepas didakwa terbabit dalam skandal urus niaga lebih RM1 bilion sedangkan hutang syarikat itu hanya berjumlah RM392 juta.

Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata kertas putih itu sepatutnya mengandungi transaksi terperinci namun gagal berbuat demikian dengan hanya memasukkan maklumat sudah diketahui umum.

“Kertas putih itu juga tiada penjelasan bagaimana RM266 juta diperoleh untuk membayar kepada pembiaya TALAM bagi aset tanah yang digadaikan syarikat itu.

“Selain itu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) terpaksa membuat pinjaman RM230 juta dengan kos faedah RM86 juta, manakala kos KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) dan penilai swasta tidak dinyatakan,” katanya, di sini, semalam. -BHarian
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: NAJIB LARANG 3 PERKARA
 
Pemikiran ahli wajar dewasa, matang seiring usia parti
 
Jangan sabotaj, jangan rosakkan perpaduan dan jangan menongkah arus, ialah rumusan taklimat tertutup Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, petang semalam.

Sejam setengah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi amanat setegas mungkin, sekali gus memanaskan semangat perwakilan sebelum bermulanya ‘silat’ Perhimpunan Agung UMNO Ke-66, esok.

Sebagai Presiden yang bakal mengemudi bala tenteranya memasuki gelanggang getir Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Najib mempunyai segala sebab untuk melahirkan kebimbangannya terhadap kehadiran puak ‘gunting dalam lipatan’ yang boleh meranapkan impiannya mendapat mandat diharapkan.

Persoalannya apakah perwakilan berkongsi kebimbangan yang sama? Atau mungkinkah gunting dicari ada di celah ribuan hadirin, ghairah menajamkan mata sebelum mengatur langkah seterusnya?

Berbekalkan suasana semangat 66 tahun UMNO hadir sebagai wadah paling dominan dalam perjuangan membela orang Melayu, pemikiran ahlinya wajar dewasa dan matang seiring usia.

Ikut arahan Presiden

Menyelusuri langkah perjuangan pemimpin parti terdahulu, semuanya bergerak dalam lingkungan matlamat yang sama iaitu perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara mesti membawa bersama keikhlasan sebagai asasnya.

Dalam dunia sempurna, peringatan itu tidak perlu diulangi. Dalam dunia sempurna, ahli akan mengikut apa saja arahan pucuk pimpinan parti. Dalam dunia sempurna, kesetiaan ahli terhadap UMNO tidak harus diragui. Bagaimanapun, Najib memimpin kira-kira 3.2 juta ahli UMNO dalam dunia nyata yang dipenuhi kepelbagaian kemahuan, desakan dan cabaran.

Di sebalik usia matangnya, UMNO masih memiliki kelompok ahli yang lebih mengutamakan resah, rajuk dan amarah sendiri hanya kerana kehendak tidak ditunaikan.

Walaupun tiada ‘tender terbuka’, Najib dikhabarkan kerap menerima permohonan si polan menjadi calon pilihan raya. 

Baginya, itu perkara biasa tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah kehadiran surat daripada bahagian diwakili si polan supaya permohonannya tidak dipertimbangkan.

Sabotaj seperti itu saja sudah cukup merumitkan keadaan kerana paling tidak, ia pasti menyukarkan pucuk pimpinan mencari calon yang benar-benar boleh menjamin kemenangan tanpa membuka ruang percakaran.

UMNO teguh seperti diharap

Namun, Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Shamsuddin Yahya, yakin rumah UMNO akan teguh seperti diharapkan apabila tiba masanya menghadapi lawan di peti undi.

Perwakilan UMNO pula perlu menguasai pentas Perhimpunan Agung UMNO kali ini dengan hujah dan pandangan bernas untuk meyakinkan Najib bahawa rumah yang dibina atas nama perjuangan ini masih kukuh untuk melawan gelora, baik dari luar mahu pun badai dalaman.

Perlumbaan semakin hampir ke garisan penamat. Sudah tiba masanya segala keresahan yang melingkari UMNO dan pemimpin utamanya diakhiri dengan janji. Janji, seperti lazimnya adalah untuk ditepati. -BHarian