Wednesday, August 21, 2013

OP CANTAS KHAS DIPERHEBAT TANGANI JENAYAH

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan Op Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu khususnya di Lembah Klang untuk membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

PDRM dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, usaha meningkatkan operasi tersebut adalah selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, pelaksanaan Op Cantas Khas bagi membendung kegiatan jenayah khususnya yang berkaitan aktiviti kongsi gelap serta jenayah yang menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam, dipergiatkan di sekitar Lembah Kelang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama semua ibu pejabat polis daerah berkaitan," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, semalam, pemeriksaan melalui sekatan jalan raya telah ditumpukan di kawasan Sentul dan Wangsa Maju di ibu negara.

Di Selangor pula, operasi dijalankan di Batu Caves, Rawang, Pandan Indah, Bandar Sunway Puchong, Dengkil dan Bestari Jaya.

Katanya, sebanyak sembilan pasukan khas terdiri daripada pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Pemeriksaan dijalankan itu bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara. Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis sepanjang operasi ini dijalankan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh masyarakat," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 1,551 individu dan 1,000 kenderaan diperiksa dalam Op Cantas Khas di Lembah Klang semalam.

Hasil pemeriksaan, kita telah menangkap 32 orang kerana terlibat melakukan pelbagai kesalahan jenayah manakala 76 saman terhadap pemandu turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.

Di SHAH ALAM, polis Selangor memaklumkan sebanyak 683 individu yang dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah ditahan sepanjang tiga hari Ops Khas Pencegahan Jenayah di seluruh negeri itu.

Daripada jumlah itu, 211 orang ditahan reman bagi membantu siasatan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah antaranya memiliki senjata, dadah dan lain-lain.

Di MELAKA, polis kontinjen itu memeriksa sebanyak 29 orang, namun tiada tangkapan dibuat dalam operasi di seluruh negeri itu sejak Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, operasi tersebut turut memfokuskan gerakan memburu empat suspek lelaki yang terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Taman Seri Duyong pada Mac lalu.

Sementara itu, di SEREMBAN, polis menahan lapan lelaki termasuk empat yang tersenarai sebagai orang dikehendaki selepas memeriksa 491 individu dalam Op Cantas Khas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid. - Utusan Online
DUA SKUAD KHAS BANTERAS JENAYAH, DADAH
JAKARTA - Kegelisahan dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini membuatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Mengakui rakyat Malaysia mempunyai asas untuk berasa bimbang, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menubuhkan dua skuad khas yang berpusat di Bukit Aman khusus memberi tumpuan terhadap usaha menangani jenayah dan mematahkan kegiatan pengedaran dadah.

Menurut menteri berkenaan, kedua-dua skuad khas itu akan memberikan fokus khusus kepada kumpulan sasaran tanpa melalui saluran-saluran birokrasi kepolisian seperti kelazimannya.

"Rakyat ada asas untuk bimbang kerana kejadian tembak, membunuh berlaku hampir setiap minggu. Saya juga ada bukti peningkatan dari segi statistik (indeks) jenayah khususnya di kawasan-kawasan red spot," kata Ahmad Zahid kepada wartawan di sini hari ini.

Pada masa sama, pengenalan Op Cantas juga, jelas beliau, merupakan komitmen berterusan PDRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dihapuskan.

Op Cantas merupakan antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha pencegahan di seluruh negara khususnya sejumlah kes tembak dilaporkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Justeru, Ahmad Zahid meminta semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak skeptikal terhadap usaha-usaha membanteras jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, langkah membasmi jenayah yang dibuat termasuk melancarkan 'perang' habis-habisan terhadap penjenayah jangan sesekali dipandang ringan kerana PDRM begitu komited dan serius mewujudkan rasa kepuasan dan kebolehpercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa itu.

"Langkah-langkah yang dibuat jangan disanggah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang merasakan kita (PDRM) telah melakukan sesuatu yang di luar batas-batas yang diizinkan.

"Inilah harga yang terpaksa dibayar apabila kumpulan yang melakukan jenayah ada di mana-mana (selepas EO dihapuskan)," tegas beliau lagi.

Melalui Op Cantas, Ahmad Zahid berkata, kesemua penjenayah yang ditahan oleh pihak berkuasa akan didakwa berlandaskan siasatan terperinci serta dibawa ke pengadilan memandangkan undang-undang pencegahan sudah dihapuskan.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga mempertahankan tindakan PDRM yang terpaksa menembak mati penjenayah dalam operasi memandangkan itu langkah terakhir untuk mempertahankan nyawa.

"Jika mereka (penjenayah) melakukan langkah yang agresif maka PDRM tak ada pilihan selain daripada mempertahankan diri. Apa yg berlaku ialah penjenayah mencabar PDRM," ujar Ahmad Zahid lagi. - Utusan Online
PTPTN: KAJI SEMULA KAEDAH KUTIPAN PINJAMAN

KUALA LUMPUR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa kerajaan mengkaji semula kaedah kutipan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraihitamkan peminjam menerusi sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS).
 
Setiausaha Agungnya, Zambri Mohd. Isa berkata, kaedah tersebut dilihat agak radikal dalam persekitaran ekonomi negara yang kurang memberangsangkan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Sistem ini akan mengakibatkan peminjam PTPTN tidak berupaya meminjam dari institusi kewangan bagi membeli rumah, kenderaan dan sebagainya.
 
"Usaha untuk mengutip balik hutang PTPTN perlu dilakukan secara efektif dan berterusan agar dana itu dapat digunakan semula kepada generasi yang akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambri mencadangkan untuk mengadakan sidang meja bulat dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Perwakilan Pelajar untuk menangani masalah demikian.

"Justeru, GPMS mohon kerajaan mengkaji semula dan menjemput badan-badan berkaitan untuk berbincang dan mencari kaedah yang sesuai untuk kutip balik hutang PTPTN," katanya.- Utusan Online
PTPTN: SAM1M  TIDAK SETUJU GUNA SISTEM RUJUKAN MAKLUMAT KREDIT BERPUSAT

KUANTAN - Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk menggunakan sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka.

Ketua Penerangan SAM1M, Muhammad Faiz Hashim berkata, jika tindakan itu dilakukan, anak muda akan menerima kesan dan tekanan yang lebih teruk selain sedang bergelut di dalam survival kehidupan serta kos sara hidup di bandar yang kini semakin tinggi.

"Sudahlah anak muda tidak mampu memiliki rumah kerana kos rumah yang terlalu tinggi, sekarang mahu menyenaraihitamkan pula mereka. Tindakan ini seolah-olah menindas anak muda dan kesan di sebaliknya mereka akan terus menjauhi kerajaan.

"Banyak kaedah lain yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan permasalahan ini umpamanya pihak kerajaan berbincang dengan majikan tempat peminjam bekerja dan membuat potongan yang paling minimum dan tidak membebankan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, kerajaan perlu bijak menyelesaikan sesuatu masalah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Beliau berkata, pemerintah yang bijak bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah malah berkemampuan menarik sokongan orang muda agar lebih meyakini mereka.

"Kerajaan seharusnya menarik lebih ramai sokongan anak muda, bukannya menjauhkan lagi dan isu PTPTN adalah isu yang dekat dalam diri anak muda," katanya. - Utusan Online