Thursday, July 4, 2013

TUKAR AGAMA KANAK-KANAK: DAP GESA PINDA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melakukan pindaan terhadap Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan berlakunya'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak kepada Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Inggeris tidak memberi tafsiran jelas mengenai maksud 'ibu bapa' yang menjadi syarat membolehkan penukaran kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

"Maksud ibu bapa dalam Perkara 12(4) mestilah secara tatabahasanya bermaksud kedua-dua ibu dan bapa sekiranya masih hidup.

"Salah tafsir terhadap perkataan 'ibu bapa' boleh membawa kepada penyalahgunaan dalam kes penukaran agama kepada Islam," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu menyatakan agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mempertikaikan maksud 'parent' dalam Perlembagaan Persekutusan versi bahasa Inggeris yang bermaksud 'ibu bapa' dan bukannya ibu atau bapa.

Pertikaian berhubung isu berkenaan timbul berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penggubalan peruntukan Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 berhubung persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu Muhyiddin berkata, penggubalan RUU itu juga dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes pertikaian kanak-kanak 'diislamkan' tanpa persetujuan kedua-dua waris.– mStar
ATM SEDIA GERAK ASET BAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA DARI MESIR

NILAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menggerakkan asetnya sekali lagi bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan di negara itu terus bergolak.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, bagaimana pun setakat ini belum ada keperluan ke arah itu dan keputusan mengenainya akan diputuskan kerajaan melalui koordinasi Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra.

"Kita memang telah bersedia sekiranya ada keperluan, tapi setakat ini belum ada keperluan dan saya yakin bahawa krisis yang dihadapi oleh Mesir ini dapat diselesaikan dalam beberapa ketika dan keadaan akan kembali reda," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini Khamis.

Sekiranya, keadaan memerlukan ATM untuk menggerakkan asetnya, Zulkifeli berkata, beliau menjangkakan ia tidak akan menghadapi sebarang masalah lebih-lebih lagi, proses sama pernah dilakukan sebelum ini.

"Ops Piramid yang lalu begitu rumit sekali kerana kita perlu berhubung dengan negara-negara seperti Arab Saudi dan sebagainya. Jadi sekarang ini kita sudah ada hubungan itu dan jika kita perlu membawa pulang rakyat kita dari Mesir mungkin tidak akan menghadapi masalah," katanya.

– BERNAMA/mstar