Friday, January 11, 2013

HKR: POLIS JAMIN HIMPUNAN KL112 DIKAWAL DENGAN KONDUSIF


KUALA LUMPUR - Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) esok akan dikawal dengan penuh kondusif bagi memastikan keselamatan peserta, pihak media dan anggota keselamatan terjamin.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, antara kelainan operasi polis kali ini adalah menyediakan pasukan marshal kepada media bagi membolehkan mereka memberi liputan sebaik mungkin.

Menurutnya, antara tugas marshal ini nanti adalah membantu pihak media mendapatkan gambar terbaik, maklumat tepat di samping menjaga keselamatan petugas media sepanjang tempoh perhimpunan.

"Kami menyediakan 50 marshal kepada media dan setiap marshal akan membawa dan membantu kira-kira 15 wakil media.

"Marshal ini disediakan oleh polis kerana pengalaman pada Bersih 3.0 lalu menunjukkan pihak media sering terperangkap jika berlaku perkara tidak diingini. Kita tidak mahu perkara sama berulang," katanya pada sesi taklimat khas bersama media di sini, semalam.

Abdul Hamid turut mengulas mengenai kontroversi melibatkan pas khas yang dikeluarkan polis untuk media yang membuat liputan esok.

Katanya, tiada agenda tersembunyi di sebalik permohonan pas tersebut melainkan mahu memastikan pihak media mendapat bantuan terbaik pada hari kejadian.

"Jika tidak menggunakan pas tersebut pun tidak mengapa, pihak polis tidak akan menghalang media dari membuat liputan kerana hak media dijamin dalam undang-undang.

"Pas khas ini dikeluarkan bagi memudahkan anggota mengenal pasti pihak media dan peserta perhimpunan," katanya.

Himpunan esok di Stadium Merdeka dijangka dihadiri oleh ribuan penyokong, dan menuntut beberapa perkara kepada kerajaan.

Antara perkara yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang telus, royalti minyak Kelantan dan membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang.

Antara pemimpin yang dijangka hadir pada perhimpunan ini adalah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. – Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: PR PERLU PERJELAS MAKSUD 'JANGAN SALAH GUNA'

MaisSHAH ALAM - Ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Aidit Ghazali mencabar Pakatan Rakyat (PR) khususnya Pas memperjelaskan kenyataan `jangan salah guna kalimah ALLAH’ apabila berpendirian ia boleh digunakan di dalam Bible daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Menurutnya, ini adalah isu pokok dan tidak ada ruang untuk wujud perbezaan pendapat, sewajarnya mereka tampil menjelaskan maksud sebenar kenyataan tersebut kepada umat Islam di negara ini.

“Bagaimana syarat tersebut menentukan tidak akan berlaku perkara tidak diingini? Saya mohon perkara ini mendapat pencerahan kerana ia melibatkan isu utama yang mana jika mahu digunakan perlu melalui beberapa perspektif iaitu al-Quran dan Sunnah, Perlembagaan Persekutuan, Majlis Fatwa dan juga titah Sultan Selangor,“ katanya, semalam.

Katanya, keempat-empat perspektif tersebut dengan jelas tidak wujud ruang ijtihad seperti yang dinyatakan.

“Penjelasan harus dilakukan segera. Apakah cara pemantauan yang dilakukan, siapa dan bagaimana mahu dilaksanakan. Jangan terlalu taksub dengan politik sehingga meletakkan isu agama ini di belakang. Itu salah.

“Melihat kepada perspektif tersebut, boleh dikatakan jika ingkar al Quran dan sunnah mereka fasik, melanggar Perlembagaan Persekutuan, mengkhianati negara, melanggar Majlis Fatwa kebangsaan mereka bukan golongan ahli sunnah waljamaah dan mengingkari titah Sultan adalah penderhaka,” katanya. – Sinar Harian
HIMPUNAN #KL112 KEKAL DI STADIUM MERDEKA

Hishamuddin Rais
Hishamuddin Rais
SHAH ALAM - Kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat atau digelar #KL112 tetap akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sepertimana yang telah diputuskan oleh penganjurnya sebelum ini.

Ia akan berlangsung mulai 2 petang esok.

Menurut jurucakap #KL112, Hishamuddin Rais, pihaknya berpandangan apa yang diutarakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur semalam hanya satu saranan semata-mata dan tidak akan menyebabkan pihaknya berganjak daripada pendirian sebelum ini dalam keadaan himpunan berbaki sehari sahaja.

"Keputusannya kita tidak akan berubah. Kita akan terus di Stadium Merdeka kerana ini hanya pandangan dan cadangan sahaja.

"Kita telah membuat perjanjian dengan pihak Stadium Merdeka dan tadi kita telah menandatangani persetujuan dengan Ketua OCPD Dang Wangi," ujarnya kepada Sinar Harian Online awal pagi tadi selepas selesai mesyuarat tergempar bersama Ahli Jawatankuasa #KL112, di ibu negara ekoran saranan berkenaan.

Menjawab ringkas, Hishamuddin berkata, pihaknya juga tidak kisah mengadakan himpunan di stadium yang hanya boleh menampung sekitar 30,000 hingga 45,000 orang berbanding kapasiti yang lebih besar di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Ya (tidak kisah)," ujar beliau.

Himpunan #KL112 dikatakan mahu mengumpulkan sejuta rakyat Malaysia bagi meluahkan tuntutan masing-masing.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan supaya penganjur #KL112 mengadakan himpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ia lebih sesuai dan mampu menampung kapasiti lebih besar.

Tambahan pula katanya, stadium tersebut juga mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang lengkap termasuk sistem transit aliran ringan (LRT) selain memenuhi keperluan dari aspek keselamatan.

Sementara Stadium Merdeka pula mempunyai kemudahan dan kelengkapan sukan yang setanding dengan stadium-stadium antarabangsa di negara-negara lain ketika itu (1957) dan mempunyai tempat duduk bagi 22,000 orang, dan 3,000 darinya terletak di bawah bumbung ketika dibuka.

Kini stadium ini mampu menampung sehingga 45,000 orang penonton. la mempunyai 14 buah "terowong" yang merupakan pintu keluar-masuk stadium.

Pembinaan stadium ini adalah merupakan satu kemajuan ke arah perkembangan dan kegiatan sukan dan kebudayaan di negara ini.

Dengan adanya stadium ini, ia dapat memberi kemudahan bagi kegiatan-kegiatan sukan, kebudayaan dan perhimpunan-perhimpunan raksaksa peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di samping itu, perpaduan yang erat dapat ditanamkan melalui kegiatan-kegiatan sukan dan upacara kebangsaan yang diadakan di stadium ini.
HENTI TELAGAH ISU KALIMAH ALLAH

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) meminta orang Melayu supaya berhenti bertelagah berhubung isu kalimah ALLAH kerana bimbang mampu menyemarakkan persengketaan politik di kalangan umat Islam.

Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, persengketaan tercetus daripada permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu tidak memberi faedah kepada orang Melayu kerana isu berkenaan hanya merosakkan pemikiran.

“Berhentilah bertelagah tentang isu kalimah ALLAH kerana kami berpendapat ia hanya akan menyemarakkan lagi api sengketa politik sesama umat Melayu Islam. Apa faedahnya bertelingkah andai dominasi Melayu lebur?

“Tiada faedah sesama sendiri berhempas pulas merosakkan pemikiran orang Melayu. Tidakkah kita sedar bahawa di negara ini bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu? Sedarkah kita bahawa pegangan itulah yang cuba dipecahkan oleh pihak luaran atau dalaman?” katanya, semalam.

Katanya, soal akidah kini merupakan cubaan jahat yang sudah dan sedang dilancarkan oleh pihak tertentu ke atas orang Melayu Islam.

“Mana-mana parti politik Melayu, cukuplah bersaing dalam gelanggang politik dan jangan pula diheret sama isu agama sehingga hilang fokus kepada kerja-kerja membebaskan orang Melayu dari masalah lterhakisnya penghayatan Islam," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu diajak menolak sebarang matlamat menghalalkan cara yang diserapkan ke dalam parti kerana bimbang gerakan menggalakkan kepelbagaian anutan agama seperti dibenarkan segelintir negara berlaku di Malaysia. - Sinar Harian