Thursday, January 17, 2013

ISU VIDEO ‘LISTEN’ : REAKSI

Video klip Bawani yang heboh dibincangkan di laman sosial dan dimuatnaik di Youtube mengundang reaksi pelbagai pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap jawapan dan tindakan Sharifah Zohra.

Klip video selama 24 minit yang dimuatkan di Youtube itu tersebar luas di laman sosial, memaparkan Sharifah Zohra sebagai panel forum lantang menegur Bawani, yang bangun bercakap di dalam forum berkenaan.

Ramai juga yang menulis pesanan di laman sosial masing-masing dengan mendahului atau mengakhirinya dengan perkataan "listen!" sebagai protes terhadap perbuatan itu.

Selain itu, ada juga pihak yang melabelkan Bawani sebagai kurang ajar apabila mengajukan soalan sedemian rupa dan tidak berhenti bercakap meskipun sudah diminta berbuat demikian.


Berikut adalah petikan reaksi dari beberapa pihak:
NC UUM: Sharifah Zohra kurang profesional
Bagi Naib Cancelor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, beliau kesal dengan insiden membabitkan mahasiswa pusat pengajian itu dan Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang heboh diperdebatkan sekarang. 
Akur soalan yang diajukan oleh KS Bawani agak kasar bunyinya, Sharifah Zohra juga katanya, boleh memilih untuk menjawab secara profesional dan berhemah. 
"Apa yang berlaku itu saya agak kesal kerana cara soalan itu dikendalikan, saya rasa boleh dengan cara yang lebih baik, cara soalan itu dijawab juga agak keras dan agak kasar, agak kurang sesuai. Saya terkilan dengan pendekatan dia menjawab soalan yang saya kira agak kurang profesional lah," ujar beliau di sini semalam. 
Menurut Mustafa, soalan diajukan Bawani itu juga telah melepasi waktu sesi soal jawab, sebaliknya ketika itu sedang berlangsungnya acara cabutan bertuah. "Masa soalan sudah habis sebenarnya tapi dia bercakap tak berhenti-henti. Panel itu cuba memberhentikan dia tetapi tidak berjaya. Jadi sebab itu berlaku seperti pertikaman lidah," jelas Mustafa. 
Memandangkan tindakan Sharifah Zohra itu telah mengundang kegelisahan banyak pihak, kata Mustafa, beliau mengesyorkan supaya beliau melakukan sesuatu untuk meredakan keadaan. 
"Pada saya itu masalah speaker dan pelajar berkenaan, jadi terserah kepada speaker itu, apa beliau hendak buat. Saya tak boleh cakap apa-apa sebab dia bercakap bagi pihak dirinya. Mungkin dia boleh lakukan sesuatu... ," katanya.  
MBM: 'Kontroversi Bawani-Sharifah hanya isu komunikasi'
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, kontroversi hangat di laman sosial yang digelar 'fenomena listen', membabitkan pelajar Jurusan Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani dan Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin hanyalah isu komunikasi antara dua individu terbabit.
Beliau berkata, kejadian sedemikian dapat dielakkan sekiranya individu terbabit mengamalkan sikap profesional dan saling menghormati tanpa dipengaruhi emosi semata-mata.
"Dalam forum itu, Bawani sebagai peserta berhak mengemukakan soalan kepada panelis, namun dia perlu menghormati majlis dengan mengemukakan soalan atau pandangan yang wajar. "Keadaan buruk dapat dielakkan sekiranya sesuatu pandangan itu disalurkan secara tuntas, matang dan beradab tanpa berniat untuk mencabar mana-mana pihak," katanya kepada Sinar Harian. 
Mohamed Maliki berkata, sebagai panelis yang dijemput khas, Sharifah Zohra pula perlu bijak, tenang dan profesional serta menunjukkan kematangan dalam menghadapi situasi demikian. 
"Dia perlu mengawal perasaan sebaik mungkin dan perlu elak daripada keluarkan pernyataan berbentuk emosi dan berbau sindiran. Ini kerana 'kata-kata adalah pancaran pemikiran' seseorang," katanya. 
Sehubungan itu, Mohamed Maliki berkata, pengguna media sosial juga perlu matang dalam mengulas isu berkenaan. Manakala penganjur program perlu memberi penjelasan tentang keadaan sebenar. 
"Apa yang kita lihat dalam video yang tersebar di internet itu tidak menggambarkan keseluruhan perjalanan forum berkenaan. Justeru, pihak penganjur perlu beri penjelasan keadaan sebenar," katanya. - Sinar Harian

ISU TANAH KELANTAN: PISAU.NET AKUI FAKTA SILAP

IPOH – Selepas hampir sebulan kemelut isu pemilikan tanah seluas 4,200 hektar di Gua Musang, Kelantan menjadi topik hangat, sebuah blog, pisau.net yang memaparkan artikel berhubung isu berkenaan mengeluarkan kenyataan ralat.

Kenyataan ralat yang dikeluarkan 13 Januari itu menyebut bahawa tiada berlaku penukaran tanah bagi menebus jawatan Menteri Besar Perak antara dua pemimpin DAP iaitu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Artikel bertajuk ‘Pembetulan fakta tanah Ngeh dan Nga di Kelantan’ itu menyebut bahawa berlaku percanggahan fakta tidak tepat yang diperoleh daripada sumber sebelum ini dan menyifatkan bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan demi kebenaran.

Mengulas perkara itu, Koo Ham yang juga Pengerusi DAP berkata, penafian yang dikeluarkan blogger itu jelas menunjukkan isu yang digembar-gemburkan selama ini tidak benar dan berunsur fitnah.

Menurutnya, ia juga jelas membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak seakan kehabisan modal dengan menjadikan isu sedemikian sebagai mainan politik.

“Terbukti, tuduhan mereka sebelum ini tidak berasas. Saya akui, pendedahan yang dinyatakan blog ini sedikit sebanyak telah membersihkan nama kami, namun ia masih belum cukup,” katanya pada sidang media, semalam.

Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, penyiaran artikel ‘ralat’ itu tidak memadai, sebaliknya beliau menuntut agar pengendali pisau.net tampil dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Katanya, pendedahan yang dilakukan bukan perkara kecil kerana memberi impak terhadap imej dan reputasi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terutama Nik Aziz.

“Selain menyiarkan artikel penuh di blog, kita juga mahu pisau.net membuat kenyataan awam berhubung penafian ini di lima akhbar arus perdana dalam tempoh tujuh hari sebaik surat rasmi diterima daripada kami,” katanya sambil memaklumkan writ
saman akan tetap diteruskan terhadap blog berkenaan.

Pisau.net menyatakan pendedahan yang dilakukan mengenai skandal berkenaan bukan isu baru apabila blog pro pakatan MediaPerak.net pernah mendedahkan konflik sama pada Jun 2012.

Tinjauan semalam mendapati, laman blog berkenaan tidak lagi boleh diakses.

Isu pemilikan tanah berkenaan tercetus dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-12, Disember lalu apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin memberi penjelasan berhubung isu itu.

Pembelian tanah berkenaan didakwa sebagai ganjaran kepada DAP atas perjanjian membenarkan Mohammad Nizar yang juga Adun Pasir Panjang menjadi menteri besar. – Sinar Harian

KL112: HKR MENGUNTUNGKAN @ MERUGIKAN PEMBANGKANG?

Rencana oleh: YUSOF HARUN
Akhbar: Sinar Harian 

Tak sampaipun setahun, PDRM kembali mendapat penghargaan daripada pembangkang kerana berjaya memastikan demonstrasi atau lebih tepat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) minggu lalu berjalan licin.

Tidak ada insiden yang meletakkan negara seperti sering digambarkan - police brutality, merujuk kepada tindakan polis terhadap penunjuk perasaan.

Melalui Akta Perhimpunan Aman 2012 yang digubal dan diluluskan di Parlimen, kerajaan memberi kelonggaran kepada sesiapa saja untuk berhimpun. Syaratnya mereka harus terlebih dulu memberi jaminan agar perhimpunan dapat berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Inilah yang berlaku minggu lalu apabila syarat polis dipatuhi.

Kini sama ada perhimpunan tempoh hari ialah perhimpunan menjelang PRU 13 ataupun bagi menghalang Shamsidar Taharin menjadi saksi S Nallakaruppan, bekas rakan tenis Anwar yang menghadapi tindakan saman rakannya, atau apa saja, ia bakal menjadi sejarah baru.

Berbanding perhimpunan kali ini, pihak penganjur memilih stadium merdeka dari jalan raya. Perhimpunan ini juga mencatat rekod apabila jumlah yang hadir jauh lebih ramai daripada demonstrasi Bersih 3.0. Jumlah kehadiran yang begitu besar, pihak polis sepatutnya berdepan dengan masalah, tetapi PDRM berjaya mengawalnya dengan cemerlang.

Pihak penganjur nyata gembira hasil perhimpunan. Ini turut dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata "terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu.”

Kini pembangkang gagal mempermodal perhimpunan tempoh hari. Ia mungkin menang dari segi saiz kehadiran yang datang, namun kemenangan itu bukan bererti matlamat mereka berjaya. Sasaran mereka untuk menggembleng satu juta orang hadir di ibu kota gagal membuahkan hasil.

Boleh dikatakan cerita paling menarik buat pembangkang ialah kehadiran atau penyertaan yang begitu ramai hari itu.  Soalnya berapa ramai? Timbalan Presiden Pas Mat Sabu begitu teruja sehingga menganggar 500,000. Biarpun kita bukannya nak menjadikan isu crowd sebagai isu asas, namun untuk rekod, boleh dikatakan hampir semua media arus perdana mengguna pakai angka dari PDRM yang menyebut peserta himpunan hari itu 45,000 orang.

Seperti biasa mereka yang pro pembangkang mempersoal angka sebenar sehingga angka PDRM disebut sebagai tidak masuk akal. Tentu sekali mereka lebih tertarik angka yang menyebut 500,000. Ada juga yang menyebut 150,000 orang- 80,000 dalam stadium, manakala bakinya di luar- dari angka rasmi PDRM iaitu 45,000.  PDRM mungkin tersasar kerana angka 45,000 terlalu kecil dari angka 80,000 yang ditwitnya pada mula.

Pihak polis  dalam twitnya menganggarkan 80,000, kemudian mengubah angka itu kepada 40,000, kemudian kini angkanya disebut 45,000. Bukan senang nak mengira jumlah yang hadir tanpa menggunakan tiket. Mereka yang datang bukannya membeli tiket terlebih dulu.

Perhimpunan kali ini juga mencetuskan persoalan - tidak ramai disertai orang-orang Cina dan India . Kebanyakan adalah wajah sawo matang. Tidak ada lelaki atau wanita Cina berjalan sendirian. Penyertaan mereka kali ini jauh lebih rendah dari semasa mereka menyokong Bersih dan Ambiga.

Ia memberi gambaran HKR anjuran Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan kaum Cina. Kalau ada yang hadir, ia boleh dibilang dengan jari. Bagi mengelabui mata masyarakat dunia, ada makcik-makcik bertudung labuh memegang sepanduk berlambang roket. Aneh tapi mereka berasa bangga dapat mendekatkan diri dengan perjuangan DAP.

Seperti disebut sebelum ini, pengundi-pengundi Cina ibarat  ubi yang diam-diam berisi berbanding diam-diam pengali buat orang Melayu. Dalam PRU 12, pengundi Cina yang selama ini “diam-diam ubi” memperlihat kelibat mereka. DAP nyata pihak yang beruntung.

Mungkin dalam Bersih 3.0 dulu ada agenda dan tuntutan-tuntutan tertentu, secara langsung atau tidak, yang melibatkan kaum Cina dan India tetapi dalam Perhimpunan Shamsidar ini, ia tidaklah menjurus  mana-mana tuntutan spesifik kaum.

Tuntutan HKR adalah tuntutan biasa yang tidak begitu bersifat revolusioner dan tidak ada yang baru tentang tuntutan itu. Malah ia boleh dilihat sebagai alasan untuk berhimpun. Lagipun kerja berhimpun dan berdemonstrasi adalah kegiatan paling digemari

Pembangkang, terutama Pas yang cukup instrumental dalam perhimpunan Sabtu lalu apabila  Mat Sabu memikul kepercayaan sebagai pengerusinya. 

Justeru, sekiranya pembangkang melihat kejayaannya dalam bentuk apa sekalipun sebagai petanda kepada peluangnya dalam PRU-13, maka ia nyata meleset kerana ia hanya memaparkan arus bawahan yang kini menghanyutkan Pas, DAP dan PKR akibat pelbagai isu asas yang tidak disepakati secara jujur.

Dalam lain perkataan HKR sebenarnya mendedahkan kelemahan kesatuan Pakatan Rakyat menjelang PRU13 nanti.

KD: Berfikirlah secara logik dan terbuka.. bukan bermotifkan peribadi mahupun emosi..