Tuesday, November 12, 2013

GST: TINGKATKAN DAHULU PENDAPATAN RAKYAT 

KUALA SELANGOR - Kerajaan perlu meningkatkan pendapatan rakyat terlebih dahulu sebelum melaksanakan GST enam peratus yang akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pemimpin PR menegaskan di Parlimen supaya pelaksanaan GST yang bakal dilaksanakan April 2015 itu dikaji semula.

Menurutnya, rakyat negara ini masih belum bersedia untuk berdepan pelaksanaan GST apabila 40 peratus penduduk masih mempunyai gaji di bawah RM3,000.

“Sewajarnya kerajaan persekutuan di bawah pimpinan BN perlu menaikkan terlebih dahulu gaji rakyat yang rata-ratanya masih rendah sekali gus perlu merapatkan jurang pendapatan golongan miskin sedia ada.

“Kerajaan BN perlu selesaikan dahulu isu pendapatan golongan miskin terutamanya pekerja ladang dan masih ramai golongan muda yang baru berkahwin dan mempunyai tanggungan ramai akan terbeban dengan pelaksanaan GST,” katanya.

Laporan selanjutnya di: http://www.sinarharian.com.my/gst-tingkat-pendapatan-rakyat-dahulu

GST MAMPU ELAK KETIRISAN - FOMCA



SHAH ALAM – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) percaya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mampu mengelak ketirisan dalam perbelanjaan jabatan kerajaan atau syarikat.


Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, GST mengesan penyelewengan dan juga pembaziran dalam perbelanjaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Saya nampak GST ini memberi kesan yang positif  kerana cukai ini boleh mengesan amalan tidak baik dalam urus niaga. Kalau dahulu kita beli barang, contohnya jam, dengan harga RM3,000 menggunakan resit. Cara itu tidak boleh dikesan.

“Jika sistem GST dilaksanakan, tidak akan ada ketirisan dalam sistem perbelanjaan hasil kerajaan. Ini kerana harga sebenar sesuatu barangan dapat dikesan dengan mudah. Saya juga yakin GST dapat mengubah amalan perolehan awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerajaan seharusnya melaksanakan GST seawal mungkin untuk beri manfaat kepada negara dan rakyat.

“Saya lihat pelaksana GST dari sudut yang baik, iaitu kepada individu atau syarikat yang mengelak membayar cukai sebelum terpaksa menunaikan kewajipan mereka sama seperti masyarakat lain.

“Justeru, saya yakin GST adalah sistem cukai yang lebih adil,” katanya.

Muhammad Shaani berkata, Fomca menyokong penuh pelaksanaan GST, tetapi berharap kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara untuk memastikan kebajikan pengguna terjamin.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Kerajaan harus menyediakan panduan pembeli untuk memaklumkan kepada pengguna tentang kesan perubahan harga yang sebenar apabila barang atau perkhidmatan tersebut dikenakan GST.

“Perlu diwujudkan pusat aduan bagi membolehkan pengguna membuat aduan terhadap peniaga yang meletakkan harga barang atau perkhidmatan melebihi daripada paras harga yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan berlebihan.


Fomca mengesyorkan Akta Persaingan diluluskan dengan segera untuk memastikan persaingan sihat dalam pasaran yang akan menguntungkan pengguna, selain satu jaringan sosial telus dan komprehensif disediakan untuk memastikan masyarakat miskin terbela.

Sumber: Sinar Harian
GST: CADANG KADAR YANG LEBIH RENDAH


Kerajaan diminta melaksanakan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang lebih rendah, iaitu sekitar tiga hingga empat peratus.


Ahli ekonomi, Dr Muhammad Fuad Othman berkata, kadar lebih rendah perlu bagi membolehkan rakyat negara ini membuat pelarasan dalam kuasa membeli mereka.

Sumber: Sinar Harian


PENGUAT KUASA JAIP DIBUNUH: JAMIL KHIR CADANG BEKAL SENJATA API KEPADA PENGUAT KUASA AGAMA

KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mencadangkan agar anggota penguat kuasa jabatan agama dibekalkan senjata api ketika melakukan operasi.

Beliau juga menyarankan pasukan polis mempertingkat rondaan di kawasan kediaman anggota penguat kuasa terbabit, terutama ketika hari cuti dan hujung minggu.

Ini bagi mempertingkat aspek kawalan keselamatan pegawai berkenaan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada pelajar sekolah di kawasan Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Saranan beliau itu susulan kejadian pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, kelmarin.

Dalam kejadian 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki yang datang berjumpanya di kediaman beliau di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.
 
Media melaporkan Allahyarham terlibat dalam beberapa kes besar termasuk memantau gerakan Syiah di Pahang serta ajaran sesat 'Tuhan Harun'.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata beliau akan memanjangkan cadangan itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas isu lain, beliau berkata setakat ini terdapat lapan kumpulan ajaran sesat dikenal pasti aktif di seluruh negara.

"Tidak ramai pengikut mereka. Kita sentiasa cari. Mereka ini seperti penyakit yang senyap-senyap berkembang," katanya yang tidak mahu mendedahkan nama kumpulan terbabit.

"Kebanyakan ajaran sesat menggunakan pendekatan halus seperti bergerak (menyampaikan ajaran) secara mulut ke mulut, mula dengan perwatakan baik seperti bersongkok, ketayap sebelum mula menggerakkan ajaran sesat.

"Kita sukar hendak pantau. Beban membuktikan mereka terlibat juga sukar dan memerlukan saksi dan penglibatan masyarakat," katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Jamil Khir berkata Skim Bantuan Pakaian Persekolahan membabitkan peruntukan RM3.7 juta itu untuk membantu 17,912 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah rendah agama di Wilayah Persekutuan.


Sumber: Bernama/Sinar Harian
PENGIKUT SYIAH SUKAR TAUBAT -MUFTI KEDAH

ALOR SETAR - Sekumpulan individu yang dipercayai pengikut fahaman Syiah di negara ini sukar untuk kembali bertaubat.


Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pengikut Syiah taat dengan fahaman Syiah berkenaan berdasarkan pengalaman mengendalikan kes tersebut sebelum ini.

“Sebab itu usaha yang kita (Jabatan Mufti Kedah) buat di negeri ini dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri adalah bukan untuk menarik golongan Syiah itu kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi yang kita fokus adalah supaya Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak menjadi Syiah.

“Kita tahu kalau kita nak tarik golongan Syiah ini kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah memang susah. Kalau mereka yang masih baru terjebak dengan fahaman itu, mungkin boleh kita buat dengan pemulihan akidah semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Wacana Pemantapan Akidah peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam, ketika diminta mengulas sama ada pengikut fahaman Syiah di negara ini perlu bertaubat seperti yang dilakukan oleh pengikut kumpulan Al-Arqam baru-baru ini.

“Orang Syiah ini seperti yang kita tahu, mereka mempunyai dana tertentu dan mereka akan menggunakan dana yang ada pada mereka untuk menyebarkan fahaman Syiah.

“Cuma ingin kita tegaskan supaya masyarakat dapat bersama membendung perkara ini agar ia tidak mempengaruhi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang lain, khususnya anak-anak muda di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.



SYIAH: GENERASI MUDA MASIH KELIRU DENGAN AKIDAH

ALOR SETAR – Generasi muda pada hari ini dilihat ramai terkeliru dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan masih ada pemikiran yang mengatakan golongan Syiah adalah sebahagian daripada mazhab.


Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara ini turut menjadi persoalan dan perbualan hangat di dalam laman sosial Facebook serta Twitter yang mempersoalkan tindakan masyarakat Islam menentang fahaman Syiah.


Beliau berkata, penentangan itu berlaku kemungkinan kerana mereka beranggapan Syiah adalah bukan ancaman berikutan hubungan persaudaraan sesama Islam.

Sumber: Sinar Harian
GST ELAK PENIAGA UNTUNG ATAS ANGIN - IKHLAS


Pelaksanaan Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat mampu mengelak peniaga tidak bertanggungjawab dari mengaut untung atas angin.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah menyifatka pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 sebagai telus kepada peniaga dan mengelak masalah ketirisan cukai.

Sumber: Sinar Harian