Friday, January 25, 2013

MAHASISWA LAYAK BERTANDING PRU13

KUALA LUMPUR - Mahasiswa di negara ini sudah layak bertanding merebut mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek berpendapat, dengan intelektual yang ada pada mahasiswa, sudah pasti dapat menjalankan peranan sebagai pemimpin berwibawa.

Menurutnya, mahasiswa juga dilihat memahami masalah yang berlaku tanpa mempunyai sikap prejudis seperti beberapa pemimpin hari ini.

“Jika di negara luar, perkara begini bukan baru, malah mendapat sokongan padu daripada masyarakat dan sudah pasti kalangan universiti sendiri.

“Mereka sudah dibekalkan dengan ilmu dan pada usia mereka yang masih muda, selayaknya mereka memainkan peranan sebagai generasi baru mentadbir negara,” katanya ketika dalam forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, di sini, malam kelmarin.

Katanya, menyedari perkara itu bukan mustahil untuk direalisasikan dan berharap mendapat kerjasama semua pihak.

“Jangan pandang sebelah mata mahasiswa hari ini. Cuma, masalah akan timbul apabila kesukaran mendapatkan wang deposit untuk bertanding.

“Jika ia boleh dipertimbangkan, adalah lebih baik. Yang paling utama, mahasiswa perlu berani bertanding di kawasan yang pasti kalah seperti Pekan, Permatang Pauh atau Pagoh,” katanya.

Sementara itu, bekas pensyarah UIAM, Profesor Dr Aziz Bari turut menyifatkan usia untuk mengundi perlu diturunkan kepada 18 tahun.

“Kalau dalam segi undang-undang, usia 18 tahun sudah dikenakan hukuman berat jika melakukan kesalahan, mengapa pula mereka tidak boleh mengundi?

“Inilah senario politik negara apabila pihak bertanggungjawab berada di bawah telunjuk pemerintah,” katanya.

Katanya, mahasiswa sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana ideologi mereka sudah jauh ke depan.

“Mereka bukan lagi seperti zaman dulu yang hanya mengikut nota yang diberikan, sebaliknya mentafsirkannya dan dapat memberi hujah baru.

 “Ini yang kita perlukan dalam keadaan negara membangun. Inilah golongan cendekiawan yang akan menentang berdasarkan hujah dan fakta sahih,” katanya.

KD: Sebaiknya biarlah mahasiswa yang bertanding itu tidak terlalu muda dan berfikiran matang. 
ANWAR PERTAHAN KERUSI PERMATANG PAUH?

Anwar IbrahimPETALING JAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan dirinya tidak akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam pertemuannya bersama Sinar Harian Online dan Sinar Harian semalam, Anwar berkata kemungkinan besar beliau tidak bertanding di kerusi tersebut yang sinonim dengannya sejak menceburi politik 30 tahun lalu.

“Insya-ALLAH, saya akan bertanding tetapi kemungkinan besar saya masih diminta untuk pertimbangkan satu dua kawasan lain,” katanya yang juga Ketua Umum PKR.

Membayangkan hasrat itu, Anwar ketika ditanya sama ada beliau bakal bertanding di kerusi Lembah Pantai yang kini milik anaknya Nurul Izzah, Anwar dengan nada seloroh berkata, nanti Nurul Izzah marah.

“Kenapa pula Lembah Pantai? Tiada pula saya  dimaklumkan,” katanya ketika ditanya hasrat Nurul Izzah yang memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi tersebut sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar enggan menyatakan kerusi yang bakal dipertimbangkan itu. - Sinar Harian

KD: Kalau bukan di Pematang Pauh, DSAI pasti akan bertanding di kawasan yang tak kurang panasnya.

SEMPADAN AGAMA ISLAM MULA DILANGGAR - RAJA NAZRIN


SUNGKAI - Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah perbuatan mencabar perkara berkaitan Islam atau ucapan memetik contoh tidak tepat bertujuan mencerminkan imej Islam secara negatif adalah melanggar adab resam beragama secara harmoni dan aman.

Titah baginda, akhir-akhir ini garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar malah ada kalangan bukan Islam yang semakin lantang berbuat demikian.

"Raja Melayu, ulama dan umat Islam tidak menindas, menghina atau memperkecilkan agama lain. Malah mana-mana perbuatan ekstrem yang cuba dilakukan mana-mana pihak akan dibanteras secara tegas dan pantas.

"Umat Islam diasuh menghormati amalan agama lain dan pada lazimnya akan menghindar daripada membuat ulasan secara terbuka terhadap pegangan, kepercayaan, amalan, acara atau ritual agama-agama lain. Malah, hak agama-agama lain, turut dijamin dalam Perlembagaan Negara," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara Felda di sini hari ini.

Baginda bertitah, tindakan menjadi jaguh mana-mana isu agama bagi mendapat laba politik adalah perbuatan yang tidak diasaskan kepada roh agama sebenar dan kemungkinan besar menjadi perosak hubungan harmoni antara agama.

Isu agama hendaklah ditangani dalam semangat dan roh agama, di kalangan ulama dan mereka yang arif dalam ilmu agama masing-masing, dengan tujuan dan hasrat mencari penyelesaian dan bukan secara mensensasikan isu agama untuk mendapat laba politik, titah baginda.

Raja Nazrin bertitah kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W sangat wajar diteladani dan diberi perhatian dalam menghadapi senario semasa dunia dan setempat.

"Ini kerana kebijaksanaan Rasulullah S.A.W menggubal formula yang dapat menjalin hubungan harmoni antara umat manusia yang telah Allah ciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku amat penting untuk mewujudkan dunia atau negara yang aman, tenteram, makmur lagi sejahtera.

"Ia amat relevan dalam konteks negara kita yang dikurniakan warga pelbagai agama, kaum, bahasa dan budaya. Komponen untuk mewujudkan keharmonian telah dilaksanakan dengan bijak lagi tertib sepanjang hayat dan sepanjang kepimpinan Rasulullah, begitu juga oleh para sahabat yang menghayati roh kepimpinan Baginda.

"Dalam menangani konflik dan krisis melibatkan penganut dan kaum yang berlainan, Baginda tidak mengamalkan diskriminasi tetapi teguh berpegang kepada prinsip keadilan, berpandukan seruan Allah," titah Raja Nazrin.

Baginda bertitah kepimpinan berintegriti Rasulullah S.A.W yang dicerminkan melalui sifat dan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W juga perlu dijadikan contoh terutama dari segi tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga mahupun kenalan terdekat.

"Perhatian baginda (Rasulullah) lebih tertumpu untuk membela nasib golongan miskin dan hamba abdi. Tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan baginda, sebaliknya orang yang telah sedia kaya, mengorbankan kekayaan mereka untuk menyokong perjuangan baginda.

"Baginda mengotakan apa yang baginda kata, baginda tidak berpura-pura, baginda tidak bersandiwara, baginda tidak melakonkan watak jujur tetapi baginda sesungguhnya bersifat jujur," titah Raja Nazrin.

Pemangku Raja Perak bertitah budaya hipokrasi akan melemahkan tiang integriti kerana berlakunya amalan 'pepat di luar rencong di dalam' dan membenarkan 'gunting selesa dalam lipatan'.

Titah baginda sebahagian besar masalah umat pada hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti terutama apabila ia dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

"Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur...secara tidak telus.

Malah berlakunya perebutan kuasa adalah kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan famili, kekayaan kroni," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, seruan, perbuatan dan sikap diam Rasulullah S.A.W memiliki nilai sejagat merentasi sempadan agama, kaum dan wilayah yang boleh dijadikan pesanan untuk kemanusiaan sejagat.

Oleh yang demikian, Raja Nazrin menyarankan kepada penganjur supaya sambutan Maulidur Rasul tidak eksklusif untuk umat Islam sahaja malah diberi ruang penyertaan kepada orang bukan Islam.

Ia bertujuan supaya fahaman terhadap Islam dapat ditingkatkan di samping nilai luhur kemanusiaan sejagat didukung bersama-sama, titah baginda.

Raja Nazrin bertitah sambutan itu mampu menjadi instrumen menyatupadukan rakyat selain forum untuk meningkatkan kefahaman yang lebih luas terhadap nilai kepimpinan dan keharmonian hubungan antara agama. – Bernama/Sinar Harian

KD: Amat mengangumi Raja Nazrin. Baginda sentiasa berterus-terang, tidak kira apa jua isu melibatkan Raja-raja, isu-isu perpaduan, peranan agama, kebebasan kehakiman, rasuah atau pun penyalahgunaan kuasa.

GAGAL UJIAN TAPISAN SPRM: 4 MENTERI DINASIHAT TAK TANDING PRU13

MUKA DEPANSHAH ALAM – Beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.

Antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti.

Difahamkan, perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan.

Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka.

Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.

Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13  masih terus menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan nanti. – Sinar Harian

KD: Pemimpin adalah idola n teladan kepada rakyat. Jika ada yang tidak kena dengan peribadi pemimpin, sewajarnya undurlah diri, sebelum menjadi bualan dan tohmahan.
JANGAN PERCAYA ADA PERHIMPUNAN BAKAR BIBLE - POLIS PULAU PINANG

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menggesa orang ramai jangan mempercayai khabar angin kononnya ada acara membakar Bible versi bahasa Melayu di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth Ahad ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berikutan isu itu polis menerima laporan seorang paderi menemui risalah bertulis 'jom bakar...pesta bakar bible melayu demi masa depan cucu kita' yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja 20 Jan lepas.

"Kita minta jangan ada pihak yang percaya dan mensensasikan isu ini kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan mengundang perpecahan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu sekiranya benar-benar diadakan.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.  

Mengenai isu pengedaran Bible kepada pelajar Islam di hadapan sebuah sekolah di Jelutong Khamis lepas, Abdul Rahim berkata polis telahpun merekodkan keterangan 17 individu.

"Kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kesemua Bible itu dicetak dalam bahasa Inggeris dan tidak mempunyai sebarang kalimah Allah.

"Setakat ini polis menerima tujuh laporan mengenai isu itu, iaitu empat daripada pelajar dan selebihnya daripada orang awam," katanya. - Bernama/Sinar Harian

KD: Kebelakangan ini ramai yang seakan ‘suka-suka’ bermain dengan isu agama yang merupakan sensitiviti rakyat. Dan apabila ada pihak yang kurang jelas, pasti akan bertindak semberono sekali gus mencetuskan konflik ataupun kucar-kacir di kalangan masyarakat.