Tuesday, April 16, 2013

PRU13: PARTI BERTELAGAH TIDAK MAMPU TADBIR NEGARA - PBB
 
LUNDU - Parti-parti pembangkang yang tidak sepakat dan sering bertelagah dalam pelbagai perkara tidak mungkin mampu mentadbir negara dengan baik.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pertelagahan sebegitu sebaliknya hanya akan menyebabkan pentadbiran negara menjadi kucar-kacir.

"Parti-parti ini tidak sepakat dalam banyak perkara termasuk pembahagian kerusi yang hendak ditandingi kerana masing-masing mahu menang dengan banyak dan seterusnya menjadi parti paling dominan.

"Bagaimana mereka hendak bekerja bersama-sama mentadbir negara dengan baik kalau perkara macam ini pun sudah kelam kabut, tidak sepakat dan tidak bersatu hati," katanya kepada pemberita di sini semalam. -Utusan Online
PRU13: SAYA LEBIH RISAUKAN KEKECEWAAN RAKYAT - NAJIB

KUALA LUMPUR 15 April - "Saya lebih risaukan tentang kekecewaan rakyat,'' tegas Datuk Seri Najib Tun Razak apabila ditanya cara beliau berhadapan mereka yang kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon berikutan berlakunya perubahan dalam penentuan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sebaik sahaja beliau menyebut kata-kata tersebut para pemimpin utama parti-parti komponen menyambutnya dengan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada perjuangan Najib mendahulukan kepentingan rakyat .

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, pemimpin-pemimpin yang tidak terpilih dalam PRU-13 kali ini bukan bererti mereka gagal, bermasalah atau ada kepincangan.

"Namun dalam keadaan yang mana masyarakat serta pengundi menuntut kepada perubahan maka sebahagian daripada anggota kita terpaksalah memberi laluan, kalau tidak beri laluan tiadalah perubahan.

"Sebab itulah saya amat berterima kasih kepada semua wakil rakyat termasuk dalam anggota pentadbiran dan sekiranya mereka tidak bertanding, ini bukan satu penafian atas khidmat mereka dan sumbangan mereka selama ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan dan aku janji kepada Pengerusi-pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan presiden parti komponen.

Menjawab satu soalan lain beliau berkata, esok akan diketahui sama ada terdapat pemimpin yang agak veteran terutama berusia 70 tahun dan ke atas terpilih atau tidak sebagai calon.

"Esok akan diumumkan. Saya tidak mahu pergi secara terperinci. Hari ini saya buat secara prinsip atau secara umum. Esok akan kita ketahui,'' katanya lagi. - Utusan Online
PRU13: BN TAMPIL RAMAI CALON BAHARU

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengotakan janji untuk melakukan perubahan dalam senarai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila menampilkan 33 peratus muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 49 peratus Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna, buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum, BN menampilkan sehingga 73 calon baharu bagi kerusi Parlimen dan 247 muka baharu kerusi DUN selepas dikejutkan dengan tsunami politik pada 2008 yang menyaksikan parti itu gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Perubahan paling ketara di negeri-negeri yang menyaksi BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila sebahagian besar muka baharu ditampilkan dengan membawa imej sebagai calon boleh menang, bagi merampas semula kerusi yang terlepas pada 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu menyifatkan barisan calon kali ini adalah terkuat bagi memenuhi kehendak serta jangkaan pengundi yang mahu melihat apakah UMNO dan BN sudah bersedia untuk melakukan perubahan serta pembaharuan.

Beliau yang menamakan senarai tersebut sebagai 'Pasukan Transformasi BN' juga yakin, barisan calon kali ini mampu memenuhi aku janji parti, sekali gus membantu kerajaan BN menjayakan Dasar Transformasi Nasional jika diberi mandat dengan majoriti yang besar pada 5 Mei nanti.

Pada masa yang sama, beliau turut memperincikan kriteria calon Parlimen iaitu sehingga 91 peratus calon memiliki kelulusan sekurang-kurangnya diploma dengan 31 peratus merupakan golongan profesional termasuk dalam kalangan ulama.

Najib yang juga Pengerusi BN menambah, penentuan senarai calon untuk pilihan raya umum kali ini adalah satu proses yang panjang kerana melibatkan banyak sesi perundingan antara parti komponen serta pengerusi-pengerusi BN negeri bagi disesuaikan dengan sentimen serta jangkaan pengundi.

"Umumnya saya yakin ini pasukan BN terkuat mampu kita tampilkan. Saya yakin inilah pasukan yang mampu memenuhi aku janji dan membantu kerajaan menjayakan Dasar Transformasi Nasional. Saya cuba untuk menampilkan sebanyak mana yang mungkin dari segi prinsip untuk melakukan inklusif.

"Saya harap penilaian barisan kita ini dilihat secara menyeluruh. Maknanya bukan sahaja mereka yang bertanding tetapi kemampuan barisan ini dalam konteks menubuhkan kerajaan yang ampuh, kuat dan mampu memenuhi kehendak serta jangkaan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup dengan pengerusi-pengerusi BN negeri serta presiden semua parti komponen sebelum disusuli penyerahan watikah pelantikan senarai calon.

Pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan BN kalah di lima buah negeri, parti itu menampilkan seramai 44 muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 161 calon baharu kerusi DUN.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, bagi mereka yang tidak terpilih termasuk dalam kalangan anggota Kabinet sebelum ini bukan bererti pemimpin berkenaan gagal, bermasalah atau ada kepincangan tetapi keadaan semasa menuntut perubahan dengan laluan harus diberi kepada muka-muka baharu.

Jelasnya, kerajaan BN tetap menghargai apa yang mereka telah lakukan sebelum ini dan berharap, golongan terbabit terus menyokong parti dengan memberi sokongan sama ada ketika musim pilihan raya mahu pun selepas berakhirnya pilihan raya kelak sebagaimana dibuktikan para pemimpin terdahulu.

Ditanya apakah senarai calon yang diputuskan hari ini sudah muktamad dan tidak akan berlaku sebarang perubahan sebelum tarikh penamaan calon pada 20 April nanti, Najib dalam nada tegas berkata, ia adalah senarai calon terakhir dan berharap tidak akan berlaku suasana yang boleh menyebabkannya berubah.

"Dari segi undang-undang dan teknikal memang boleh lakukan perubahan tetapi kita harap inilah senarai calon akhir kita. Kita berusaha menampilkan calon sama ada dalam kalangan pemimpin sedia ada atau daripada golongan muda secara adil dan seimbang," katanya.

Sementara itu, Najib turut mengesahkan terdapat beberapa anggota Kabinet digugurkan daripada senarai calon tetapi enggan memberi butiran terperinci, sebaliknya meminta semua pihak bersabar kerana senarai penuh calon akan diumumkan esok. - Utusan Online
PRU13: ANWAR AKUI KEMELUT AGIHAN KERUSI PAKATAN BELUM SELESAI

GOPENG - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pergeseran dalam pakatan pembangkang berhubung agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih belum dapat dimuktamadkan.

Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu berkata, pakatan pembangkang masih gagal mencapai kata sepakat di kerusi-kerusi yang menjadi rebutan sesama mereka.

Walaupun menyifatkan pergeseran itu sebagai perkara biasa, Anwar mengingatkan keadaan tersebut boleh menyukarkan usaha pembangkang untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei ini.

"Esok (hari ini) kita ada mesyuarat, ada lawan sana, gaduh sini. Ini Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin) ada, DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Acheh gaduh sikit-sikit.

"Kita jangan banyak sangat gaduh, kalau banyak sangat gaduh sama-sama macam mana mahu lawan UMNO?," katanya dalam ceramah di Padang Taman Gopeng Jaya, di sini malam tadi.

Seperti biasa, dalam ceramahnya, Anwar terus menabur janji manis untuk menurunkan harga minyak selain memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam ceramah terbabit, Anwar turut mengumumkan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Lee Boon Chye akan mempertahankan Parlimen Gopeng pada pilihan raya kali ini. - Utusan Online
PRU13: PARTI POLITIK DIMINTA BERKEMPEN SECARA SIHAT

KUALA LUMPUR - Dengan bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hangat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi meminta parti-parti politik yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan mematuhi undang-undang pilihan raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin jika ia dilaksanakan, pilihan raya umum kali ini dapat dijalankan dengan lancar dan dalam keadaan baik.

"Kalau itu dipatuhi oleh semua pemimpin politik, saya fikir tidak apa jika kempen panas atau getir tetapi ia sihat...itu sangat penting," katanya pada temu bual "Dalam Radar" kelolaan Bernama Radio24 di Wisma Bernama di sini.

Sambil mengingatkan semua pihak bahawa pilihan raya umum diadakan sekali dalam masa lima tahun, beliau berharap mereka tidak terlalu emosional dan membangkitkan sentimen semasa kempen.

"Bertandinglah dengan sihat, ikut peraturan-peraturan jika nak berkempen," katanya.

Rabu lepas, SPR mengumumkan hari penamaan calon pada Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan 5 Mei.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berharap semua pihak berkenaan dapat memberikan kerjasama baik kepada SPR dan pihak berkuasa pada pilihan raya umum kali ini termasuk tidak membawa penyokong terlalu ramai pada hari penamaan calon.

"Kita kena ubah budaya ini. Saya mohon kerjasama sebab di bawah undang-undang, saya tidak ada kuasa menegah mereka tetapi saya pohon mereka jangan datang terlalu ramai kerana ia menyusahkan pihak berkuasa dan orang ramai," katanya.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkannya pada 14 perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin parti politik sebelum ini.

Mengenai dakwaan segelintir pihak berhubung kertas undi bernombor, beliau berkata perkara itu tidak berlaku dan menjamin undi adalah 100 peratus rahsia.

Ditanya sama ada kertas undi boleh dianggap sah jika dakwat kekal tertumpah ke atasnya, Abdul Aziz berkata jika perkara itu berlaku, pengundi boleh memohon kertas undi baharu daripada pegawai pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak mungkin berlaku kerana dakwat kekal itu boleh kering di jari dalam tempoh tiga saat. – BERNAMA/Utusan Online
SKANDAL VIDEO SEKS: MUSTAFA PERLU BUAT LAPORAN POLIS

KUALA TERENGGANU - Lajnah Tatatertib Pas menasihatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali supaya membuat laporan polis terhadap penyebaran video seks yang didakwa telah menjatuhkan maruah pemimpin tersebut.

Pengerusi Lajnah, Datuk Wan Mutalib Embong berkata, pihaknya hanya boleh memainkan peranan dalam isu video seks itu sekiranya menerima aduan atau laporan polis daripada individu yang terbabit.

Katanya, Mustafa perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan seterusnya terutama dari sudut perundangan diambil.

"Beliau (Mustafa) perlu buat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan, ini pandangan sayalah. Beliau boleh buat laporan polis antaranya kerana dakwaan terhadapnya telah menjatuhkan maruahnya.

"Ikut perundangan dan tatatertib, kalau beliau mendapati telah difitnah, beliau boleh ambil tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Mutalib menyatakan perkara itu sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din agar Lajnah Tatatertib Pas memainkan peranan dalam isu rakaman video seks berkenaan yang kini tersebar di internet.

Dr. Haron berkata, lajnah berkenaan yang diketuai Wan Mutalib perlu melihat sekiranya wajar atau sebaliknya kes tersebut dibawa untuk perhatian kepimpinan tertinggi parti.

Diminta mengulas lanjut, Wan Mutalib berkata: "Memang betul, saya sebagai Pengerusi Lajnah akan bertindak sebagai hakim yang akan menjatuhkan hukuman tetapi dari segi undang-undang dan tatatertib, kena ada orang yang bawa kes, barulah boleh bicara.

"Kalau nak disiplinkan orang, mestilah ada peraturannya. Ada prosedurnya yang perlu dipatuhi, bermula dengan aduan, siasatan dijalankan dan dipanggil ke jawatankuasa tatatertib untuk proses selanjutnya sebelum akhirnya, saya yang akan beritahu arahan (hukuman)."

Wan Mutalib yang enggan mengulas lanjut berkaitan isu tersebut walau bagaimanapun berkata, beliau hanya mengetahui tentang video itu setelah disiarkan oleh media. – Utusan Online
SKANDAL VIDEO SEKS MUSTAFA ALI?

Petikan dari : BISIK-BISIK AWANG SELAMAT, Utusan Malaysia

Selepas apa yang terjadi kepada beberapa pemimpin PKR berkaitan skandal video seks, ia menimpa pula pemimpin Pas. Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dikaitkan dengan adegan video seks yang tersebar panas dalam Internet.

Ahli-ahli Pas gempar. Berlegar desas-desus yang kuat bahawa ia adalah angkara parti dalam pakatan pembangkang. Mustafa melalui peguamnya menafikan pembabitan beliau tetapi rakyat Malaysia termasuk ahli Pas yang menontonnya, boleh menilai siapa orang dalam video itu.

Awang berpendapat, penjelasan Mustafa berhubung isu itu tidak cukup menyakinkan lalu membuka lebih banyak tanda tanya.

Beliau sepatutnya tampil dengan kenyataan bersama hujah lebih kukuh dalam penafiannya. Atau setidak-tidaknya menyatakan kesanggupan untuk menjalani ujian bercakap bohong, jika pun tidak mahu bersumpah laknat di masjid.

Memandangkan Pas merupakan parti berlabel Islam dan tidak sama dengan PKR maka parti itu perlu mengambil keputusan tepat dan dilihat lebih bertanggungjawab.

Adalah lebih wajar untuk Pas menjalankan siasatan dan mengarahkan Mustafa bercuti sementara daripada tugasnya. Itu salah satu pendekatan bagi meredakan keadaan.

Kini, kepimpinan Pas menghadapi tekanan akar umbi mahu Mustafa meletakkan jawatan demi menjaga maruah parti, lebih-lebih lagi menjelang PRU13 pada 5 Mei ini.

Dalam pada itu, Awang percaya Majlis Syura akan bertindak. Jika badan tertinggi Pas itu menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri kerana isu moral dan biseksual, pertimbangan yang sama juga boleh diguna pakai ke atas Mustafa.

Jika tidak, apa bezanya antara PKR dan Pas. Lagi pun, Awang percaya Mustafa bukan seperti Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.