Monday, March 18, 2013

VIDEO ‘AKSI SI RAJA GOYANG’: UMNO NAFI TERLIBAT

altMELAKA -  Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menafikan penglibatan Umno dalam video aksi songsang memaparkan individu yang didakwa mirip seorang tokoh politik dengan pasangan lelakinya di sebuah hotel.
  
Beliau berkata pembangkang sememangnya akan menyalahkan Umno berhubung video itu yang dimuat naik sebuah blog, rajagoyang360.blogspot.com. dan kemudiannya turut dipaparkan di beberapa blog lain.
  
"Sebagaimana fikiran pembangkang segalanya kerja Umno termasuk insiden (pencerobohan pengganas Sulu di) Lahad Datu tetapi Umno tidak sehebat itu untuk mengatur segalanya.
  
"Tak kan orang dalam bilik pun kita yang mengatur, kita tak ada masa nak pasang kamera dalam bilik orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Penceramah Penerangan Negeri Melaka di sini hari ini, lapor Bernama.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar The Star hari ini yang menafikan individu dalam video itu adalah dirinya sambil mendakwa ia perbuatan Umno.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat boleh menilai sendiri siapa tokoh politik yang didakwa dalam video itu.
  
"Tengok sendiri dan buat keputusan, jangan bantai (kutuk) sebelum tengok, tapi tengok dulu...kita serah kepada mereka untuk menilai sendiri," katanya.
  
Sementara itu, Ahmad menyeru semua anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) agar menanam keyakinan bahawa parti itu mampu mencapai kemenangan serta memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13.
  
Beliau berkata, keyakinan itu harus disandarkan pada kejayaan program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa ini.
  
Malah, katanya, pembangkang tidak mempunyai sebarang kekuatan kerana gagal melaksanakan janji selain mempunyai pemimpin yang didakwanya terlibat dalam pelbagai skandal. -KLPos





ANWAR NAFI TUDUHAN TERLIBAT HUBUNGAN SEJENIS, PERTIMBANG TINDAKAN UNDANG-UNDANG

KUALA LUMPUR, 16 Mac  — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan tuduhan blogger pro-Umno yang meletak beberapa gambar individu menyerupai dirinya mengadakan hubungan seks sejenis yang sudah tersebar luas ketika ini.
Dalam artikel yang bertajuk "Aksi Si Raja Goyang" tersebut, beberapa blogger pro-Umno mendakwa gambar tersebut adalah Anwar dan menuduh pemimpin utama PKR tersebut berdampingan dengan lelaki gay.

"Saya menafikan sama sekali tuduhan itu," kata Anwar menafikan selepas ditemui wartawan hari ini dalam satu program anjuran Anwar Ibrahim Club di Hotel One Utama.

Anwar juga menuduh ia adalah satu lagi fitnah jahat dan politik jijik yang digunakan oleh pemimpin Umno untuk memburukkan imejnya serta tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit menyebarkannya.

"Ia adalah gimik politik jijik oleh Umno... Ia fitnah jijik menjelang pilihan raya.

"Saya belum putuskan akan ambil tindakan undang-undang ataupun tidak, tapi saya akan beritahu peguam saya dan biar beliau putuskan," tambah Anwar yang mengecam keras tindakan tidak bertanggungjawab oleh blogger Umno tersebut.

Anwar di samping itu juga tidak menolak kemungkinan selepas ini pemimpin Umno dan medianya akan mengeluarkan video beliau mengadakan hubungan sejenis ekoran pendedahan gambar pada Khamis lalu.

"Selepas ini confirm keluar video pula," sindir Anwar.

Beberapa kepingan gambar tersebut masih lagi berada dalam laman www.rajagoyang360.blogspot.com dan masih boleh lagi boleh dibaca ketika ini.

Gambar-gambar yang dipamerkan tersebut diambil daripada dua sudut berbeza kamera dan menunjukkan dua lelaki dalam keadaan intim termasuk gambar bogel seorang individu yang diambil daripada bahagian belakangnya.

Gambar pertama menunjukkan seorang lelaki dengan berpakaian kemas, berkemeja, berseluar hitam dan memakai kasut memasuki bilik.

Tajuk berjudul "Ketibaan Sang Hero..... RAJA GOYANG", memaparkan seorang lelaki sedang duduk dengan pakaian t-shirt cerah, berseluar pendek dan berselipar sedang menunggu di katil.

Dalam gambar seterusnya bertajuk "Hi!!! Sayang kat ABANG" pula memaparkan pasangan lelaki tersebut berkucupan; gambar bertajuk "Pelukan MESRA dua KEKASIH INTIM; errmmmmm..... RAJA GOYANG sedang GONCANG; KUCUPAN INTIM asmaradana dua KEKASIH" pula memaparkan pasangan lelaki tersebut berpelukan mesra dan gambar terakhir menunjukkan lelaki yang sudah berpakaian penuh sedang berjalan menuju ke katil.

Video yang didedahkan hari ini merupakan yang kedua dituduh ke atas Anwar selepas pada 21 Mac 2011 trio "Datuk T" iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks kepada wakil media di hotel Carcosa Seri Negara.

Anwar juga telah menafikan lelaki itu dalam video tersebut adalah beliau dan membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pada 22 Mac 2011. - The Malaysian insider
POLITIK SANTA CLAUS WARNAI PILIHAN RAYA MALAYSIA, KATA AKHBAR SINGAPURA
KUALA LUMPUR — Demam Pilihan Raya 2013 mendorong ahli politik Malaysia daripada kedua-dua belah pihak menaburkan gula-gula untuk mencerahkan peluang mereka, lapor akhbar Singapura sambil mengingatkan bahawa bukan pengundi penentu pilihan raya tetapi sebaliknya mereka yang akhirnya terpaksa bayar untuk gula-gula kerajaan.

“Pertarungan sengit untuk meraih undi mendorong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pembangkang PR menjanjikan lebih banyak langkah yang populis.

“Anda boleh gelarkannya politik Santa Claus,” tulis Reme Ahmad penolong pengarang berita luar dalam akhbar Straits Times dalam laman pendapat untuk edisi hari Ahad.

Beliau menegaskan Najib, yang mengetuai Barisan Nasional (BN), telah menabur lebih banyak “saguhati” wang tunai untuk meringankan kos sara hidup yang meningkat yang menjadi isu keutamaan buat 40 peratus daripada 13.3 juta pengundi yang masih bergelut dengan isu-isu asas seharian; isyarat bahawa lebih banyak diberikan jika kerajaan sedia ada kekal memerintah.

Antara berbilion ringgit gula-gula yang beliau senaraikan adalah pemberian bantuan tunai RM500 kepaa setiap isi rumah, RM200 rebat telefon pintar kepada ribuan remaja, RM250 baucar buku pelajar sekolah dan pada minggu lepas pengumuman kenaikkan gaji kepada 230, 000 polis dan askar—yang dianggap sebagai kelompok utama menyumbangkan undi tetap kepada pemerintah.

Penulis juga menegaskan bahawa Pakatan Rakyat (PR), yang juga dilihat sebagai pesaing mantap untuk merampas kuasa pusat buat kali pertama, turut menjanjikan banyak gula-gula.

Antara yang disenaraikan beliau ialah pendidikan percuma, tarif perkhidmatan utiliti yang lebih rendah, mengurangkan kos pengangkutan keatas kereta dan petrol serta tol lebuh raya yang menjadi kunci utama dalam manifesto PR yang dilancar bulan lepas.

“Tetapi yang merisaukan ialah ahli politik yang mengheboh-hebohkan.

“Tetapi semua gula-gula dikeluarkan atau dijanjikan, mampukan kerajaan selepas ini memindahkan lebih banyak wang awamke arah aktiviti-aktiviti yang produktif seperti menaik taraf pelabuhan dan meningkatkan pendidikan pekerja, atau mungkinkah mereka terpaksa memberi lebih banyak gula dan rempah kepada pengundi yang sudah mendapat manfaat daripada semua yang baik?” soal penulis.

Reme berkata realitinya semua gula-gula janji dan urusniaga dengan lebih banyak saguhati tidak semestinya akan menarik sokongan pengundi, menurut beberapa pemerhati politik yang berkata disini.

“Realiti yang teruk ialah lebih banyak kamu beri, lebih banyak mereka mahu.

“Tujuan kedua ia semua hadiah percuma tersebut harus dibayar oleh seseorang yang berada dalam garisan tersebut,” kata Reme.

Beliau menegaskan Malaysia sudah berada dalam tahun ke-16 bajet defisit sejak Krisis Kewangan Asia 1997 dimana wang digunakan untuk dibayar keatas belanja kerajaan datang daripada cukai dan “bank-bank rakus lain seperti syarikat minyak Petronas”.

Beliau mengingatkan hasil cukai yang mungkin boleh dibelanjakan untuk membina jalan raya baru sebaliknya boleh disalurkan untuk tujuan lain bagi memastikan janji-janji pilihan raya politik, seperti subsidi harga petrol atau membayar pampasan kepada syarikat lebuh raya untuk menghapuskan tol.

“Dalam kata lain, mereka akan dibayar oleh pengundi yang sama menyangka mereka mendapatnya ecara percuma,” kata beliau. -www.themalaysianinsider.com

KD: Politik Santa Klaus?? Amboi, bukan main selamba pihak luar ini mengkritik senario politik negara kita ya.. adakah ia berunsur membina ataupun lebih ke arah negatif? apa pun sebenarnya, memang mudah untuk mengkritik tetapi bukan mudah mentadbir.
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: BEKAS PEGAWAI TENTERA PERLU SIMPAN RAHSIA -PERSATUAN BEKAS TENTERA
Persatuan-Bekas-Tentera-Malaysia 
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin tentera perlu menyimpan rahsia negara walaupun tidak lagi berada dalam perkhidmatan, menurut dua persatuan bekas tentera pada Ahad.

Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) dan Persatuan Peniaga-peniaga Bekas Tentera Kuala Lumpur dan Selangor hari ini kesal dengan tindakan beberapa bekas pegawai tertinggi tentera yang mengkritik kerajaan serta pasukan tentera secara terbuka baru-baru ini.

Presiden Persatuan Peniaga-peniaga Bekas Tentera Kuala Lumpur dan Selangor, Mohd Shahni Ismail berkata selepas bersara, bekas tentera seharusnya sentiasa mendukung kedaulatan negara seperti mana ketika masih dalam perkhidmatan.

"Apa yang kita tengok mereka (bekas jeneral) ini membelakangkan kerajaan, sedangkan semasa berkhidmat mereka telah melafazkan sumpah taat setia dalam menyimpan rahsia negara yang mana tidak boleh dibocorkan sehingga hujung nyawa sekali pun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pertama persatuan itu, di sini, Ahad.

Beliau berkata sepatutnya bekas-bekas jeneral ini membantu negara dalam memberi nasihat dan pandangan bagaimana hendak mengatasi pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah daripada menpersoalkan tindakan kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden PVTM Mohd Ali Baharom berharap kerajaan tidak bertolak ansur danmengambil tindakan guaman terhadap mereka yang didapati cuba mengkucar-kacirkan negara. –BERNAMA/mStar

KD: Rahsia tentera = rahsia negara.
OPS DAULAT: RAKYAT TETAP TERHUTANG BUDI KEPADA PASUKAN KESELAMATAN, KATA DR M

LAHAD DATU — Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat tetap terhutang budi kepada pasukan keselamatan meskipun dimanipulasi pembangkang kononnya krisis pencerobohan pengganas di sini adalah satu sandiwara.

Beliau berkat,a rakyat tidak termakan propaganda pembangkang untuk memperkecil pasukan keselamatan kerana hakikinya, sudah sembilan nyawa terkorban, dan seorang anggota tentera maut dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.

“Saya yakin rakyat terhutang budi dan yakin dengan semangat pasukan keselamatan kita. Ini sikap rakyat Malaysia apabila menghadapi keadaan ini, dan akan bersatu dalam mempertahan negara.

 “Walau ada parti politik cuba pecahkan, tetapi rakyat terus sokong pasukan keselamatan,” katanya ketika berucap di Dewan Semai Bakti, Desa Kencana, Felda Sahabat semalam.

Dr Mahathir turut beramah mesra dan bertanya khabar dengan 200 anggota pasukan keselamatan di dewan berkenaan.

Beliau juga berharap semua rakyat, terutama di Sabah, memberi penghargaan tinggi kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman luar.

Masyarakat Sulu di Sabah juga turut menolak tindakan pengganas itu, walaupun mereka adalah sebangsa, katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata Malaysia harus mempertingkat kekuatan pertahanan negara tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak.

Beliau juga yakin pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berusaha mempertingkat pertahanan negara mengikut kesesuaian muka bumi Sabah, dan tidak akan membenarkan serangan pengganas berlaku lagi pada masa depan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berkorban nyawa mempertahankan negara,” katanya. — Bernama /www.themalaysianinsider.com

KD: Terima kasih perwira negara..
WANITA AKAN JADI MATA DAN TELINGA KERAJAAN

PUTRAJAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melancarkan program komuniti wanita bagi membolehkan wanita melaporkan jenayah dan ancaman kepada keselamatan negara.

Program Komuniti 1Malaysia Perwani yang mensasarkan untuk menyediakan 100,000 kumpulan Perwani seluruh Malaysia meliputi 10 ke 20 wanita setiap satu akan dihubungkan dengan persatuan seperti Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita).

“Peranan kumpulan Perwani adalah menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk melawan jenayah dan ancaman kepada keselamatan negara,” kata Najib semasa majlis One Million Women Purple Walk di Dataran Putrajaya hari ini.

“Matlamat ini boleh dicapai menerusi persatuan sedia ada seperti  Puspanita, Perkep, Bakat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan NGO lain seperti kumpulan wanita dan ibu tunggal,” tambah beliau.

Najib juga menekankan dihadapan ribuan wanita yang berpakaian ungu bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkasakan wanita dan melibatkan mereka dalam pembangunan arus perdana negara.

“Dalam usaha untuk merealisasikan matlamat negara kita, wanita memainkan peranan penting,” kata beliau semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2013.

Najib juga berkata 30 daripada 62 hakim Mahkamah Tinggi adalah wanita.

Beliau juga menggesa syarikat berkaitan dengan kerajaan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang wanita dalam lembaga pengarah mereka.

Walaubagaimanapun, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam Indeks Ketaksamaan Jantina menunjukkan Malaysia berada ditangga ke-42 daripada 148 negara hasil tinjauan pada tahun lepas.

Walaupun kedudukan Malaysia lebih baik berbanding Thailand (66), Filipina (77) dan Indonesia (106), negara masih lagi ketinggalan jauh dengan negara jiran Singapura yang berada pada kedudukan ke-13 dalam carta pengredan negara berdasarkan tahap memperkasakan wanita, aktiviti ekonomi mereka dan kesihatan reproduktif mereka.

Najib menekankan bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkasakan wanita dan melibatkan mereka dalam pembangunan arus perdana negara.

Walaupun wanita meliputi setengah daripada 13.1 juta pengundi berdaftar Malaysia, UNDP melaporkan wanita hanya membentuk 13.2 peratus daripada ahli Parlimen yang terpilih.

Penganalisis politik dan pemerhati juga berkata wanita dan pengundi muda antara kelompok pengundi yang akan menentukan parti yang bakal menang dalam Pilihan Raya 2013 tidak lama lagi.

Najib berkata hari ini, wanita meliputi 62 peratus yang merupakan graduan universiti.

Namun UNDP melaporkan Jumaat lalu bahawa wanita hanya meliputi 43.8 peratus daripada tenaga kerja negara, menunjukkan kumpulan lelaki menguasai pasaran buruh.

Menurut UNDP lagi, kira-kira 29 wanita Malaysia meninggal dunia akibat masalah berkaitan dengan mengandung untuk setiap 100,000 yang selamat melahirkan anak.

Tema antarabangsa sempena Hari Wanita Malaysia tahun ini ialah menamatkan keganasan keatas wanita. - www.themalaysianinsider.com