Monday, March 18, 2013

WANITA AKAN JADI MATA DAN TELINGA KERAJAAN

PUTRAJAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melancarkan program komuniti wanita bagi membolehkan wanita melaporkan jenayah dan ancaman kepada keselamatan negara.

Program Komuniti 1Malaysia Perwani yang mensasarkan untuk menyediakan 100,000 kumpulan Perwani seluruh Malaysia meliputi 10 ke 20 wanita setiap satu akan dihubungkan dengan persatuan seperti Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita).

“Peranan kumpulan Perwani adalah menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk melawan jenayah dan ancaman kepada keselamatan negara,” kata Najib semasa majlis One Million Women Purple Walk di Dataran Putrajaya hari ini.

“Matlamat ini boleh dicapai menerusi persatuan sedia ada seperti  Puspanita, Perkep, Bakat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan NGO lain seperti kumpulan wanita dan ibu tunggal,” tambah beliau.

Najib juga menekankan dihadapan ribuan wanita yang berpakaian ungu bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkasakan wanita dan melibatkan mereka dalam pembangunan arus perdana negara.

“Dalam usaha untuk merealisasikan matlamat negara kita, wanita memainkan peranan penting,” kata beliau semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2013.

Najib juga berkata 30 daripada 62 hakim Mahkamah Tinggi adalah wanita.

Beliau juga menggesa syarikat berkaitan dengan kerajaan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang wanita dalam lembaga pengarah mereka.

Walaubagaimanapun, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam Indeks Ketaksamaan Jantina menunjukkan Malaysia berada ditangga ke-42 daripada 148 negara hasil tinjauan pada tahun lepas.

Walaupun kedudukan Malaysia lebih baik berbanding Thailand (66), Filipina (77) dan Indonesia (106), negara masih lagi ketinggalan jauh dengan negara jiran Singapura yang berada pada kedudukan ke-13 dalam carta pengredan negara berdasarkan tahap memperkasakan wanita, aktiviti ekonomi mereka dan kesihatan reproduktif mereka.

Najib menekankan bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkasakan wanita dan melibatkan mereka dalam pembangunan arus perdana negara.

Walaupun wanita meliputi setengah daripada 13.1 juta pengundi berdaftar Malaysia, UNDP melaporkan wanita hanya membentuk 13.2 peratus daripada ahli Parlimen yang terpilih.

Penganalisis politik dan pemerhati juga berkata wanita dan pengundi muda antara kelompok pengundi yang akan menentukan parti yang bakal menang dalam Pilihan Raya 2013 tidak lama lagi.

Najib berkata hari ini, wanita meliputi 62 peratus yang merupakan graduan universiti.

Namun UNDP melaporkan Jumaat lalu bahawa wanita hanya meliputi 43.8 peratus daripada tenaga kerja negara, menunjukkan kumpulan lelaki menguasai pasaran buruh.

Menurut UNDP lagi, kira-kira 29 wanita Malaysia meninggal dunia akibat masalah berkaitan dengan mengandung untuk setiap 100,000 yang selamat melahirkan anak.

Tema antarabangsa sempena Hari Wanita Malaysia tahun ini ialah menamatkan keganasan keatas wanita. - www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment