Wednesday, December 25, 2013

HIMPUNAN 31 DISEMBER TETAP DITERUSKAN - TURUN

SHAH ALAM - Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Muhamad Azan Safar berkata, siasatan polis yang dilakukan ke atas beliau tidak sesekali menghalang dirinya untuk meneruskan kempen ‘2014 Tahun Sengsara Rakyat’ melalui perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember ini.

Jelas Azan, walau apa pun yang terjadi, beliau akan tetap meneruskan perjuangan tersebut bagi memastikan  nasib rakyat terbela dek kerana kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat kini.

“…sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa segala apa yang terjadi ini tidak akan memberhentikan saya dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) untuk terus memperjuangan nasib rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup kini.

“Kempen ‘2014 Tahun Sengsara Rakyat’ akan terus berjalan dan Himpunan amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada 31 Disember 2014 ini akan diteruskan.

Mengulas perkara yang sama Azan menegaskan bahawa gerakan tersebut sama sekali tidak terlibat di dalam agenda Himpunan Guling Kerajaan.

“…saya menegaskan bahawa Turun sama sekali tidak terlibat di dalam agenda Himpunan Guling Kerajaan dan Turun sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara kita,” katanya menerusi kenyataan medianya.


Sumber: Sinar Harian
REBAT TOL: SYARAT 80 KALI GUNA TERLALU TINGGI

SHAH ALAM – Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan supaya kadar rebat Touch ‘n Go dan SmartTag diberikan mengikut kekerapan pemegang kad menggunakan kemudahan tersebut supaya lebih ramai pengguna dapat menikmatinya.

Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsanya, Prof Datuk Dr Mustafa Ishak berkata, syarat yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya pemegang kad perlu menggunakan kemudahan itu 80 kali sebulan adalah terlalu tinggi.

“Bagi saya 80 kali itu terlalu tinggi dan mereka perlu mengkaji satu kaedah yang lebih munasabah untuk semua pengguna.

“Rebat ini perlu diberikan kepada pemegang kad mengikut kekerapan. Ini bermakna, siapa kerap gunakan kemudahan tersebut , mereka akan dapat kadar rebat yang lebih tinggi,” katanya, semalam.

Menurutnya, kaedah seperti itu akan menjadi lebih adil di mana ia juga dilihat mampu mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya.

“Jika kadar rebat itu ditetapkan untuk  pemegang kad yang menggunakan kemudahan itu 80 kali sebulan, maka kaedah ini hanya akan dinikmati oleh sebahagian kecil pengguna lebuh raya," katanya.


Sumber: Sinar Harian