Thursday, September 20, 2012

SELEPAS FILEM, MAJALAH PERANCIS PULA HINA NABI

Muka hadapan majalah Charlie Hebdo
PARIS 19 Sept. - Selepas filem yang menghina Nabi Muhammad SAW diterbitkan di Amerika Syarikat, kini sebuah majalah satira di Perancis, pula menerbitkan kartun yang memaparkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel.

Penerbitan karikatur itu dijangka memburukkan lagi ketegangan selepas tercetus demonstrasi ganas di seluruh dunia ekoran penyiaran filem anti-Islam, Innocence of Muslims, yang dihasilkan di Amerika Syarikat (AS).

Muka depan majalah Charlie Hebdo itu menggambarkan seorang penganut Islam berkerusi roda ditolak oleh seorang Yahudi Ortodok di bawah tajuk 'Intouchables 2'.

Ia merujuk kepada filem Perancis yang berkisar tentang seorang lelaki kulit hitam yang menolong seorang golongan bangsawan yang lumpuh.

Satu lagi kartun yang dipaparkan pada muka belakang majalah mingguan itu pula menunjukkan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad dalam keadaan bogel yang hanya berserban.

Ia mendedahkan bahagian punggung Nabi Muhammad kepada seorang pengarah filem, adegan yang diilhamkan daripada sebuah filem pada 1963 yang dibintangi aktres terkenal Perancis, Brigitte Bardot.

Laman web Charlie Hebdo hari ini tidak boleh dilayari selepas dihujani dengan komen-komen kemarahan terhadap penyiaran gambar itu.

Majalah itu sebelum ini terkenal dalam menerbitkan isu-isu kontroversi berkaitan Islam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault berkata, orang ramai yang tersinggung dengan penyiaran kartun berkenaan boleh membawa perkara itu ke mahkamah selepas beliau menyatakan 'rasa tidak setuju terhadap perbuatan berlebih-lebihan tersebut'.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Perancis tetap mengamalkan kebebasan bersuara.

''Kita berada di sebuah negara yang mana kebebasan bersuara adalah dijamin termasuk kebebasan untuk membuat karikatur.

''Kalau ada rakyat yang tersinggung dengan kepercayaan mereka dan berfikir terdapat pelanggaran undang-undang, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah,'' katanya kepada radio RTL.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius pula berkata, negara ini telah meningkatkan keselamatan di kedutaannya di negara-negara yang mungkin mencetuskan kemarahan dengan penerbitan karikatur itu. - AFP/Utusan Online

BAJET 2013: CUEPACS MAHU KERAJAAN PERTIMBANG 6 PERMINTAAN

KUALA LUMPUR: Cuepacs telah mengeluarkan senarai enam permintaan utama untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Bajet 2013 terhadap 1.4 juta penjawat awam, kata Presidennya, Datuk Omar Osman.
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

"Kami berharap kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada permintaan kami. Kami akan berpuas hati jika sekurang-kurangnya 70 peratus daripada permintaan dipenuhi," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini Rabu .

Enam tuntutan skim baru yang diumumkan termasuklah perumahan mampu milik di kawasan bandar, peningkatan elaun sewa, bonus tambahan selain dari bonus setengah bulan yang diperolehi kebelakangan ini dan nasib 45,000 pekerja kontrak yang mana kontrak berakhir 31 Disember ini.

Beliau berkata permintaan ini bukan baru tetapi telah menjadi sebahagian permintaan Cuepacs sejak 2010 dan telah mencapai peringkat kritikal.

"Perumahan mampu milik di bandar bagi penjawat awam adalah isu yang paling terdesak. Kami berharap kerajaan akan memperkenalkan dasar perumahan baru melalui Bajet yang memerlukan pemaju perumahan di bandar mengeluarkan rizab 35 peratus daripada projek-projek mereka untuk membina rumah berharga RM60,000 dan RM150,000," katanya.

Beliau juga menambah bahawa elaun perumahan sewa bulanan semasa sebanyak RM180 perlu ditambah untuk mencerminkan kadar pasaran sekarang.

Beliau berkata Kerajaan mesti menangani nasib beberapa 45,000 kakitangan kontrak yang mana tempoh mereka akan tamat pada 31 Disember.

"Kebanyakan mereka berusia antara 40 dan 50 tahun dan mempunyai tanggungan dengan pinjaman perumahan untuk dibayar.

"Kami berharap Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melanjutkan kontrak atau meletakkan mereka pada skim pencen atau skim kumpulan wang simpanan," katanya.

Sebagai tanda komitmen jika tuntutan dipenuhi, beliau berkata cadangan itu akan dibawa ke Kongres Cuepacs bulan depan untuk mendapatkan persetujuan penjawat awam untuk tambahan 30 minit kerja setiap hari.

"Jika bersetuju dengan cadangan itu, kertas cadangan akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha kepada Kerajaan untuk mengeluarkan pekeliling bagi tujuan itu," katanya.

Beliau berkata wakil jawatankuasa Cuepacs 'persekutuan dan negeri telah berusaha berjumpa dengan Perdana Menteri dan timbalannya untuk terus membincangkan perkara ini.

Bajet 2013 dijadualkan akan diumumkan pada 28 September. –MStar

BANTAH FILEM 'INNOCENCE OF MUSLIM', PAS ANJUR HIMPUNAN SEJUTA UMAT 

JOHOR BAHRU: Selain Kuala Lumpur, Johor Bahru juga akan bergema dengan himpunan sejuta umat Islam bagi membantah pembikinan serta penyebaran filem Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, yang menghina keperibadian Nabi Muhammad s.a.w.

Himpunan tersebut akan diadakan di Masjid Taman Perling Johor Bahru, selepas solat Jumaat, 21 September ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ghazaley Ayub, dalam kenyataan medianya turut memberitahu, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), berhubung perkara berkenaan pada Khamis ini.

“Kita akan meminta MAIJ mengeluarkan Khutbah Khas pada hari Jumaat ini, kita harap pihak berkenaan dapat mengeluarkan khutbah yang akan mengupas dengan lebih lanjut isu berkenaan termasuk perkara-perkara yang berkait dengan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w..”

“Kita juga berharap mimbar Jumaat ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam dengan memberi penjelasan yang terperinci kepada umat Islam berhubung perkara berkenaan.”

Selain itu menurut beliau, PAS juga mengajak seluruh umat Islam di negeri ini serta semua parti politik dan Ngo bersama-sama pada himpunan tersebut.

“Kita menyeru seluruh umat Islam serta parti-parti politik termasuk Umno, menyertai himpunan ini kerana isu ini melibatkan umat Islam secara keseluruhan, tidak kira apa parti sekali pun, dalam konteks ini kita perlu membuktikan kesepaduan kita dalam menangani isu ini, justeru kita berharap Umno sudi bersama-sama kita untuk menyatakan bantahan terhadap pihak yang cuba menghina Islam khususnya Nabi Muhammad s.a.w..”

Selanjutnya menurut Ghazaley, pihaknya juga akan menjemput rakan-rakan dari DAP untuk sama-sama pada himpunan tersebut.

“Selama ini DAP dilabel sebagai anti Islam maka untuk membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, mereka juga akan turut serta pada himpunan ini.”–Harakahdaily

NEGARA BERDEPAN BANYAK MASALAH JIKA RAKYAT TUKAR KERAJAAN - DR MAHATHIR

Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR: Negara akan berdepan pelbagai masalah jika rakyat mengambil risiko menukar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata pembangkang telah menunjukkan kegagalan di beberapa negeri tidak ada kesepakatan di antara mereka terutama berhubung pelaksanaan undang-undang Hudud.

"Encik Karpal Singh dan Datuk Nik Aziz akan bergaduh sesama sendiri... Seorang kata potong tangan, seorang lagi kata jangan potong tangan.

"Selepas itu, Parlimen akan dipenuhi dengan hujah sebegini apabila pembangkang mengambil alih pemerintahan negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama berjudul 'What Can Malaysians Expect, Post GE13?' di Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2012 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu.

Dr Mahathir, yang juga Presiden Kehormat yayasan itu, turut melahirkan keyakinan peribadi beliau bahawa Barisan Nasional (BN) adalah parti yang boleh melakukan tugasnya dan akan kekal di Putrajaya serta memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Bagaimanapun, beliau berkata BN perlu menang dengan majoriti yang kuat untuk memberi lebih tumpuan terhadap pelan pembangunan.

Tanpa majoriti yang kuat, kerajaan akan memberi lebih tumpuan terhadap survival yang akan menyebabkan kurangnya perhatian kepada pembangunan negara termasuk aktiviti ekonomi seperti perniagaan, perdagangan dan industri.

"Kita memerlukan urus tadbir yang bijak. Kita mempunyai pilihan dan hak untuk memilih kerajaan bagi menentukan masa depan kita.

"Jika anda membuat pilihan yang salah, maka anda terpaksa menanggung akibatnya," katanya.Dalam sesi dialog, Dr Mahathir turut disoal berhubung tarikh pilihan raya umum akan datang.

"Saya tak boleh baca hati orang. Saya fikir dalam bulan Julai... kemudian September, tapi kita kini berada dalam bulan September. Mungkin ia akan diadakan dalam bulan November dan mungkin juga pada penghujung penggal," katanya. – Bernama/MStar