Wednesday, December 4, 2013

AMANAT PRESIDEN: RAPAT BARISAN, PASTIKAN UMNO RAIH KEJAYAAN PRU-14

KUALA LUMPUR: Rapatkan barisan selepas pilihan raya umum serta pemilihan parti dan pastikan Umno raih kejayaan pada pilihan raya umum akan datang adalah antara intipati utama amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Najib memberi penekanan terhadap keperluan mempertingkat perpaduan dan kesatuan anggota Umno di semua peringkat.

"Lupakan apa yang berlaku dalam musim pemilihan parti kerana kita mesti memastikan bahawa kapal besar ini (Umno) akan meraih kejayaan dalam pilihan raya umum ke-14, itu juga antara nasihat yang ditekankan oleh presiden parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib, kata Shafie, turut meminta hadirin yang terdiri daripada pemimpin Majlis Tertinggi, ketiga-tiga sayap parti dan peringkat bahagian agar memberi penekanan terhadap beberapa pendekatan yang mampu memperkuat serta memperkukuh parti bagi menghadapi cabaran akan datang.

"Kali ini pendekatan dan penekanan Umno berbeza daripada sebelumnya, yang mana ia meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kepimpinan bahagian sehinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.

"Ini adalah untuk memastikan pada akhirnya terdapat hasil dan sumbangan untuk diterjemahkan agar parti sentiasa menjadi ikutan," kata Shafie.

Beliau berkata Amanat Presiden itu turut menyentuh kepentingan sumbangan parti kepada akar umbi demi kepentingan rakyat.

Anggota MT yang baharu dilantik Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata amanat itu juga menyentuh usaha parti untuk mempertingkat martabat syiar dan syariat Islam di negara ini.

Asyraf Wajdi, yang juga Presiden Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), memetik Najib sebagai berkata indeks syariah akan diwujud bagi membolehkan kedudukan Malaysia dalam konsep memartabat Islam ditentukan, menunjukkan keseriusan kerajaan memperjuang perkara itu.

"Indeks ini juga membolehkan kita mengenal pasti kelemahan atau ruang kosong yang boleh diperbaiki dalam usaha meningkatkan syiar dan syariat. Ini selari dengan matlamat syariat yang meletakkan agama melebihi perkara lain," kata Asyraf Wajdi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyebut Najib sebagai berkata Umno perlu meletakkan matlamat yang lebih jelas dalam usaha memajukan negara serta memartabat agama Islam.

"Kalau dahulu dilakukan secara umum tetapi kali ini perlu secara jangka pendek dan panjang, serta jelas," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pula berkata Najib mahukan pelaksanaan pendekatan parti dalam menegakkan syiar Islam serta memartabat bangsa Melayu dan tanah air, dirasai rakyat.

Perdana Menteri, kata Mukhriz, turut menyentuh penggunaan media sosial oleh Umno bagi mendekati pengundi baharu yang dijangka berjumlah enam juta orang.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin pula berkata Najib menggariskan misi dan visi yang jelas untuk bekerja bagi memastikan Umno dan BN terus kekal menjadi parti pilihan rakyat di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, Perdana Menteri mahu semua anggota Umno mencari persamaan dengan semua rakyat di negara ini dan mengetepikan segala perbezaan yang mengancam perpaduan.

"Di Melaka, saya telah gerakkan jentera parti untuk menemui rakyat di peringkat akar umbi, antaranya di kedai kopi agar Umno mendekati masyarakat... ini perlu dilakukan bagi membolehkan parti ini dihormati bukan setakat kawan malah lawan," katanya.

Mengulas kedudukan institusi raja-raja, anggota MT Dr Mohd Puad Zarkashi berkata Najib mahu ia terus dipertahan.

Ketua Umno bahagian Bachok Datuk Dr Awan Adek Hussin pula menyifatkan amanat presiden itu sebagai memberi idea dan nafas baharu kepada perjuangan parti.

Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, yang baharu dilantik anggota MT, berkata sebagai orang baharu, semua perkara yang disampaikan Perdana Menteri dicatat bagi memudahkan beliau untuk bergerak bersama Umno.- BERNAMA

Sumber: mStar Online

UMNO JANGAN LEKA, PRU-13 HANYA KEMENANGAN BERSYARAT - MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menyeru anggota parti supaya tidak lalai dan leka di sebalik kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu kerana ia hanya kemenangan bersyarat buat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Umno berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen, tetapi BN mengalami kekurangan sokongan terutama di kalangan pengundi muda dan pengundi bandar.

"Kita berjaya memenangi semula negeri Kedah dan mengekalkan pentadbiran negeri Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Perlis dan Sabah, tetapi kita gagal memenangi Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Bilangan kerusi kita di negeri-negeri kubu kuat Umno seperti Johor dan Melaka juga berkurangan.

"Umno perlu memahami mesej jelas yang cuba dihantar oleh para pengundi. Kita perlu bermuhasabah secara jujur dan ikhlas untuk mengetahui sebab-musabab mengapa sokongan pengundi bandar dan golongan muda terhadap parti kita tidak seperti yang diharapkan.

"Apakah selama ini sentuhan Umno tidak begitu dirasai oleh mereka? Mungkinkah terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu kita perbaiki? Apakah bentuk penambahbaikan yang perlu kita laksanakan? Setidak-tidaknya, para pengundi menghantar mesej jelas bahawa transformasi Umno sebagai parti yang benar-benar merasai denyut nadi rakyat dan berupaya menggalas harapan rakyat mesti diteruskan," katanya pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Selasa.

Muhyiddin berkata, tidak dinafikan PRU-13 merupakan pentas jihad untuk memastikan kelangsungan perjuangan Umno demi agama, bangsa dan negara.

Tambahnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan pembohongan yang dilemparkan oleh pembangkang termasuk konco-konco mereka dari dalam dan luar negara, Umno dan BN terus berdiri megah sebagai parti yang mendapat mandat rakyat untuk memerintah.

"Kita sedar dalam pilihan raya yang lalu, Umno bukan sahaja berhadapan dengan serangan parti pembangkang, malah belasahan gerombolan "kuasa jahat" yang mahu melihat parti keramat orang Melayu dan umat Islam berkubur di tanah air sendiri.

"Namun, berpantang maut sebelum ajal, dengan rahmat dan inayah Allah S.W.T kita berjaya mempertahankan kelangsungan Umno," katanya.

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, orang Melayu dan Bumiputera telah membuktikan bahawa sokongan padu mereka menjadi sumber kekuatan Umno dan BN.

"Harapan mereka kepada Umno semakin tinggi dan mereka mahu sokongan kepada Umno tidak disia-siakan.

"Mereka ingin melihat Umno terus menjadi penyelamat Melayu dan perisai Islam yang sejati. Bagi orang Melayu dan Bumiputera, Umno lah tempat mereka bernaung," katanya.

Sumber: mStar Online

PEMUDA UMNO GESA PEMILIHAN PARTI SEGERA DIADAKAN 'POST MORTEM'

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno pada Rabu menggesa supaya 'post mortem' pemilihan parti pada Oktober lalu dilaksanakan dengan segera.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sistem pemilihan baru yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti sebagai bukti transformasi dalam Umno.

"Bagaimanapun, Pemuda menggesa agar 'post mortem' segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tetapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan yang saksama, dihormati dan tiada ruang pertikaian.

"Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat," katanya pada Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, proses pemilihan itu sendiri masih mempunyai ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi.

Jelasnya, jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan keraguan mengelirukan perwakilan.

"Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan apa yang telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian.

"Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila diisytiharkan di ibu pejabat," katanya. Menurut Khairy, mengenai logistik pula aspek kerahsiaan perlu dijaga semasa proses mengundi dijalankan. "Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang.

"Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses rayuan ini juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak.

"Kriteria pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan," katanya.

Sumber: mStar Online
PR GESA SELANGOR SEMULA KENAIKAN GAJI ADUN
 
KUALA LUMPUR - Pimpinan pakatan pembangkang hari ini menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula kenaikan gaji wakil rakyat negeri itu yang diluluskan pada sidang Dun Selangor minggu lepas.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan negeri khususnya Abdul Khalid perlu mengambil kira teguran daripada rakyat yang kurang senang dengan keputusan itu.

"Kita setuju (kenaikan gaji)... jumlah ini (kadar kenaikan gaji itu) boleh dikurangkan sebelum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Rabu lepas, Abdul Khalid mengumumkan kenaikan gaji antara 87 hingga 373 peratus membabitkan menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan anggota Adun Selangor berkuat kuasa 1 Januari ini.
 
Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, pada dasarnya barisan kepimpinan pakatan pembangkang bersetuju dengan kenaikan itu walaupun mendapat kecaman daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

"Secara terperincinya kita serah kepada menteri besar dan kerajaan Selangor mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan proses yang digunakan Kerajaan Selangor dalam menaikkan gaji dan elaun wakil rakyat di negeri itu.

"Kalau tidak, tak kan lah Anggota Parlimen Gombak Azmin Ali yang juga Adun negeri Selangor itu boleh membantah?

"Kalau prosesnya dibuat secara betul iaitu melalui jawatankuasa dewan atau 'the house committee' sudah tentu semua orang tahu," katanya pada sidang berita di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Mohd Azmin Ali, yang juga Adun Bukit Antarabangsa mahu kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan kenaikan itu.

Shahrir turut menempelak niat sebenar Abdul Khalid yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan menyokong sekiranya elaun ahli Parlimen turut dinaikkan.

"Saya persoalkan keikhlasan dia, soalnya jangan cuba menutup kesilapan sendiri... saya tak fikir ia (naik gaji dan elaun) merupakan proses biasa, berkemungkinan ia satu arahan," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

RAMAI TAK PUAS HATI TARIF ELEKTRIK NAIK

Harga naik: Ramai tak puas hati
KUALA LUMPUR - Walaupun kerajaan sudah berusaha memberi alasan kenapa kadar tarif elektrik perlu dinaikkan awal bulan depan, banyak pihak masih tidak puas hati dengan tindakan itu.

Apakah perasaan pihak-pihak yang membantah itu, yang meliputi NGO dan pemerhati, boleh dipandang remeh atau diperlekehkan?

Daripada pengalaman lalu, apa yang mereka luahkan ada logiknya dan adalah sesuatu yang wajar sekiranya cadangan mereka diberi perhatian.

Perlu diingat, selepas PRU13 pada 5 Mei lalu, beberapa perubahan telah berlaku.

Yang paling awal dan tentunya yang paling menimbulkan keresahan banyak pihak adalah pemotongan subsidi yang menyebabkan RON95 naik 20 sen seliter.

Kenaikan harga petrol itu mempengaruhi peniaga dan pengusaha kenderaan dan lain-lain perkhidmatan segera menaikkan harga barang dan tambang atau meminta kenaikan setengah harga barang dan tambang dipertimbangkan.

Sumber: Sinar Harian
TPP: STANDARD HALAL MALAYSIA AKAN TERJEJAS

Bila bercakap mengenai perjanjian antarabangsa, ramai antara kita akan berkata ‘Ah, tak ada kena mengena dengan aku’ atau ‘Itu orang buat bisnes juta-juta saja kena ambil tahu’.

Adakah pandangan begitu yang menyebabkan ramai tidak tahu mengenai satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) melibatkan Malaysia yang dikhuatiri akan menyebabkan keperluan kita untuk mendapatkan makanan halal, ‘diharamkan’ oleh negara luar?
TPP: Standard halal Malaysia akan terjejas
Bekalan makanan halal untuk rakyat Malaysia mungkin disekat negara luar.
Itulah dakwaan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia dan Kanada.
Menurut Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), standard halal Malaysia mungkin terpaksa digadaikan jika negara menandatangani TPP.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Menurut PPMM, standard halal Malaysia, iaitu antara paling tinggi di dunia, atau mungkin yang tertinggi, akan terjejas berdasarkan beberapa bab dalam rundingan TPP termasuk bab halangan teknikal dalam perdagangan, bab standard kebersihan, bab perkhidmatan dan lain-lain.

“Disebabkan teks rundingan TPP tidak didedahkan kepada umum, kita tidak pasti bab mana dalam TPP yang akan mengganggu standard tinggi halal di Malaysia.

“Tetapi laporan terbaru yang kami dapat menunjukkan TPP akan memberi kesan besar kepada dasar negara (termasuk undang-undang halal) melalui bab-bab tersebut,” menurut PPMM.

Menurut NGO itu, jika Malaysia tetap menandatangani TPP dan enggan menurunkan standard halalnya, Malaysia boleh disaman negara TPP lain dalam tribunal antarabangsa.

“Kalau Malaysia kalah dalam kes itu, negara yang memulakan saman boleh menaikkan cukai mereka ke atas barangan Malaysia yang ingin memasuki negara itu sehinggalah Malaysia mengubah undang-undang halal untuk memenuhi kemahuan TPP,” dakwa PPMM.

Bagi mengelakkan masalah itu berlaku, PPMM berkata satu-satunya pilihan yang ada untuk melindungi standard, peraturan, undang-undang dan dasar halal Malaysia sama ada yang semasa atau pada masa depan adalah dengan mengecualikan sama sekali isu halal daripada TPP.

“Jika AS mendakwa tidak ada mana-mana bahagian dalam TPP yang menghalang undang-undang halal, jadi mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk mengecualikan isu halal sama sekali kerana ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada eksport mereka,” menurut PPMM.

Wakil Perdagangan AS Michael Froman sebelum ini telah pun mengesahkan rundingan TPP kini berada pada peringkat akhir dan pemerhati menjangkakan mesyuarat menteri perdagangan dari semua negara TPP pada 7 Disember ini di Singapura akan menjadi lokasi di mana semua isu yang masih belum diselesaikan, termasuk pengecualian halal dalam TPP akan diputuskan.

“Kami menggesa Kabinet Malaysia untuk berkeras supaya halal dikeluarkan sama sekali daripada TPP kerana halal sebagai undang-undang Islam mesti menjadi garisan merah yang tidak boleh dilepasi dalam TPP,” menurut PPMM.

Seorang pakar undang-undang daripada NGO antarabangsa yang enggan dinamakan berkata, kebimbangan mengenai isu halal timbul apabila AS sebelum ini didakwa pernah mengadu mengenai standard halal tinggi Malaysia dan negara itu mungkin menggunakan TPP untuk menurunkan standard halal Malaysia.

“Contohnya pada 2011, Malaysia memperkenal Protokol Penghasilan Daging Halal dan AS mengadu protokol ini akan menyebabkan mereka perlu memiliki kemudahan kilang khusus untuk daging halal.

“AS mahu menggunakan satu kilang bagi penyediaan daging halal dan tidak halal. Mereka hanya mahu samak mesin yang digunakan untuk memproses daging tidak halal sebelum menggunakannya untuk memproses daging halal dan ini tidak dibenarkan oleh Malaysia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian