Showing posts with label tarif. Show all posts
Showing posts with label tarif. Show all posts

Monday, December 23, 2013

KENAIKAN TOL , TARIF ELEKTRIK DEMI MASA DEPAN
 
KOTA BHARU– Isu kenaikan tol dan tarif elektrik yang dilihat kurang popular pada pandangan rakyat perlu dilaksanakan demi kepentingan negara untuk jangka panjang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia sudah dijangka kerana kerajaan perlu memikirkan cara terbaik untuk kebaikan bersama dalam tempoh yang lama berbanding cadangan kesan jangka pendek.

Menurutnya, kerajaan memahami isu dan tekanan yang dihadapi rakyat dan cuba sedaya upaya membantu meringankan beban tersebut.

“Kerajaan sentiasa fikirkan dan mendahulukan rakyat dalam segala hal, cuma tindakan kita dilihat tidak popular. Jadi orang ramai berfikir negatif. Sememangnya perkara tersebut perlu dilaksanakan.

“Rakyat kena pilih sama ada hendak menikmati hidup senang pada masa sekarang atau menghadapi masalah besar pada masa depan atau beransur mengambil tindakan untuk pastikan keadaan ekonomi negara terjamin,”
katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), di sini, semalam.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak ada berlaku krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan kerana tidak mendahulukan mereka berikutan isu tersebut.

Jika kerajaan mengambil tindakan populis sekalipun, katanya, ia menggembirakan hati rakyat buat seketika sahaja,  tetapi hakikatnya masa depan ekonomi negara tergugat.

“Mereka kena ingat, nikmat tindakan tersebut hanya sementara. Yang menjadi mangsa adalah masa depan generasi baru. Mereka yang kena tanggung semua beban.

“Memang kita akan rasa selesa jika terus berhutang dan subsidi ditambah tetapi apabila tiba zaman anak kita nanti pembayaran hutang sudah tidak dapat dielak. Mereka yang akan kena tempiasnya,” ujarnya.

Beliau menasihatkan rakyat jangan terlalu bimbang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berjanji akan memikirkan cara bagaimana untuk meringankan beban mereka.


Sumber: Sinar Harian

Wednesday, December 18, 2013

TWU MOHON TIMBANG SEMULA KENAIKAN TOL, ELEKTRIK

KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya dan tarif elektrik yang dijadual berjalan serentak bermula Januari depan.

Setiausaha Agung (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata kerajaan boleh menangguh sementara kenaikan itu bagi membolehkan perbincangan semula diadakan dengan syarikat konsesi memandangkan kutipan diperoleh bertambah setiap tahun. 

"Perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya merupakan satu persetujuan, jadi atas faktor itu kerajaan boleh berunding semula
berhubung terma perjanjian," katanya di sini hari ini.

Zainal, yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kenaikan kadar tol dan elektrik secara serentak merupakan kejutan buat rakyat berpendapatan rendah kerana caj baru itu menjejas perbelanjaan harian mereka.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kadar baharu tol ialah untuk projek lebuh raya baharu dan pemegang konsesinya perlu membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum menetapkan kadar itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Azman Mohd pula menyatakan tarif elektrik baharu itu adalah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

71 % PENGGUNA TIDAK TERKESAN KENAIKAN TARIF ELEKTRIK - PM

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa 71 peratus pengguna tidak akan terjejas dengan kenaikan harga tarif elektrik yang diumumkan minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan RM6 bilion setahun untuk pelaburan.

"71 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan ini, sebaliknya hanya 30 peratus domestik industri dan komersial sahaja.

"Kita perlu lakukan kenaikan tarif ini kerana jika tidak ia akan menjejaskan keupayaan TNB, tetapi kita nak pastikan rakyat teramai tidak terjejas, " katanya pada sidang media selepas selesai membuat ucapan penggulungan semperna Perhimpunan Agung Umno 2013, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai rungutan orang ramai yang menyifatkan kenaikan tarif elektrik itu sebagai membebankan berikutan tindakan kerajaan menarik subsidi gula dan petrol.

Najib berkata, kenaikan itu sudah lama tidak dilakukan, apa yang diputus itu memerlukan komitmen kerajaan.

"Kenaikan ini bagi menjamin kewangan negara yang lebih kukuh. Bagaimanapun kami mendengar keluhan rakyat sebab itu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) ditambah.

"Kerajaan perlukan kekuatan fiskal dan perkara ini tidak dapat dielak," katanya.

Sumber: Sinar Harian


Friday, December 6, 2013

TARIF ELEKTRIK NAIK: FIKIR BEBAN RAKYAT MARHAEN

SHAH ALAM – Kenaikan 15 peratus tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dan 17 peratus di Sabah dan Labuan yang bakal berkuat kuasa awal bulan depan tidak kena pada masa dan membebankan rakyat marhaen.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pengumuman kerajaan Pusat ini tidak kena pada  masanya dan dipercayai membebankan rakyat ekoran kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini.

“Peratus kenaikan yang bakal dilaksanakan agak tinggi, sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memonopoli secara keseluruhan konsesi penyaluran tenaga elektrik di negara ini dan ia syarikat yang menguntungkan.

“Umum maklum perbelanjaan mengurus sangat tinggi namun kenaikan itu lebih kepada mengaut untung. Pada pendapat saya tidak kena masa, rakyat marhaen dibebani kenaikan petrol RON95, gula dan bakal berdepan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Adun Kota Alam Shah turut menggesa agar perbelanjaan TNB diaudit semula kerana kenaikan tarif elektrik disifatkan menggunakan cara yang salah.

“Bagaimanapun, kerajaan Selangor akan berusaha berasaskan aspirasi golongan marhaen. Kerajaan negeri mampu mengawal dan mempertahankan hak rakyat dengan keupayaan memberi 20 meter padu air percuma.

“TNB bukan syarikat swasta sebaliknya anak syarikat kerajaan persekutuan (GLC). Oleh yang demikian, kenaikan ini wajar dikaji semula dengan memikirkan bebanan rakyat,” katanya.

Senada dengan reaksi ini, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sewajarnya kerajaan pusat mengkaji semula kenaikan tarif elektrik kerana ia merupakan keperluan asas rakyat sama seperti air dan rumah.

“Kalau mahu naikkan juga biarlah berpatutan. Memandangkan subsidi yang diberikan begitu besar sewajarnya rakyat mendapat imbuhan terbaik namun sebaliknya pula yang berlaku.

“Kerajaan harus bela nasib rakyat bukan mengayakan syarikat gergasi dan saya harap kenaikan ini difikir dan dikaji semula,” katanya.

Sumber: Sinar Harian