Monday, December 23, 2013

KENAIKAN TOL , TARIF ELEKTRIK DEMI MASA DEPAN
 
KOTA BHARU– Isu kenaikan tol dan tarif elektrik yang dilihat kurang popular pada pandangan rakyat perlu dilaksanakan demi kepentingan negara untuk jangka panjang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia sudah dijangka kerana kerajaan perlu memikirkan cara terbaik untuk kebaikan bersama dalam tempoh yang lama berbanding cadangan kesan jangka pendek.

Menurutnya, kerajaan memahami isu dan tekanan yang dihadapi rakyat dan cuba sedaya upaya membantu meringankan beban tersebut.

“Kerajaan sentiasa fikirkan dan mendahulukan rakyat dalam segala hal, cuma tindakan kita dilihat tidak popular. Jadi orang ramai berfikir negatif. Sememangnya perkara tersebut perlu dilaksanakan.

“Rakyat kena pilih sama ada hendak menikmati hidup senang pada masa sekarang atau menghadapi masalah besar pada masa depan atau beransur mengambil tindakan untuk pastikan keadaan ekonomi negara terjamin,”
katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), di sini, semalam.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak ada berlaku krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan kerana tidak mendahulukan mereka berikutan isu tersebut.

Jika kerajaan mengambil tindakan populis sekalipun, katanya, ia menggembirakan hati rakyat buat seketika sahaja,  tetapi hakikatnya masa depan ekonomi negara tergugat.

“Mereka kena ingat, nikmat tindakan tersebut hanya sementara. Yang menjadi mangsa adalah masa depan generasi baru. Mereka yang kena tanggung semua beban.

“Memang kita akan rasa selesa jika terus berhutang dan subsidi ditambah tetapi apabila tiba zaman anak kita nanti pembayaran hutang sudah tidak dapat dielak. Mereka yang akan kena tempiasnya,” ujarnya.

Beliau menasihatkan rakyat jangan terlalu bimbang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berjanji akan memikirkan cara bagaimana untuk meringankan beban mereka.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment