Thursday, December 13, 2012



CONTOH bahasa ringkas SMS yang diguna remaja.BAHANA BAHASA SMS


Jawab periksa guna bahasa sms

KOTA BHARU: Penggunaan bahasa ringkas atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kini semakin membimbangkan apabila ia turut digunakan oleh pelajar dalam peperiksaan rasmi, termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi.

Penemuan itu hasil kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung penggunaan bahasa ringkas yang memfokuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar universiti.

Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju gila’ dan sebagainya," Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan (kanan), berkata isu itu sudah menjadi petanda bahaya kepada pelajar kerana menjawab peperiksaan dengan perkataan singkatan sehingga sukar difahami pemeriksa.

Bahasa ringkas Katanya, kebanyakan pelajar tidak serius dalam penggunaan bahasa dan mereka tidak mementingkan susunan ayat yang betul kerana sudah biasa menggunakan bahasa ringkas dalam perbualan harian, termasuk SMS dan Facebook.

Banyak singkatan tidak difahami, makna berubah

“Justeru, penggunaan bahasa SMS ini memainkan satu bibit atau ragam bahasa bukan saja penggunaan bahasa sangat santai, tetapi banyak singkatan yang tidak difahami dan perubahan makna sangat ketara.

“Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju gila’ dan sebagainya,” katanya di Majlis Perasmian Simposium Tun Syed Nasir Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kelantan, di sini, semalam.

Masih terkawal

Awang bagaimanapun berkata, penggunaan bahasa SMS itu masih lagi terkawal, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih serius kerana hal begitu sebenarnya mengganggu dan menjejaskan bahasa kebangsaan.

“Menghalang bahasa ringkas menular dalam urusan harian bukanlah mudah kerana dalam percakapan harian pun kita sudah menggunakan bahasa pasar dan sebagainya yang sedikit sebanyak mencalarkan imej bahasa ibunda.

“Kalau kita nak gunakan bahasa ringkas, tiada masalah, tetapi mesti digunakan dalam konteks yang sangat kecil. Jika kita menulis atau berhubung dalam konteks yang lebih umum, maknanya bahasa digunakan bersama orang awam hendaklah teratur dan terkawal,” katanya.

Awang berkata, dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai benteng peradaban bangsa, semua peringkat masyarakat seharusnya berganding bahu supaya mutu penggunaan bahasa sentiasa terkawal. –BERNAMA/BHarian
RAKYAT MALAYSIA DIGESA MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI SEBELUM 31 DISEMBER

PETALING JAYA: Pengundi di Malaysia hanya mempunyai 19 hari sahaja lagi untuk mendaftar sebagai pengundi jika mahu membuang undi pada pilihan raya umum ke-13 yang mungkin diadakan antara Februari dan Mei tahun depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua rakyat Malaysia yang layak dan masih belum mendaftar sebagai pengundi untuk berbuat demikian sebelum 31 Disember ini bagi membolehkan senarai nama dimasukkan dalam suku keempat 2012 yang dijangka akan diwartakan pada Februari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mereka yang gagal berbuat demikian tidak akan dapat mengundi jika pemilihan diadakan sebelum senarai pengundi seterusnya dikemaskini dan diwartakan pada Mei 2013.

"Ada yang meramalkan Parlimen akan dibubarkan pada awal Mac manakala yang lain mengatakan ia boleh jadi akhir bulan Mac.

"Dalam mana-mana kes, masih terdapat beberapa hari lagi sebelum 31 Disember, jadi sila mendaftar sekarang kerana ramalan mungkin menjadi kenyataan dan pilihanraya diadakan dalam tempoh tersebut," kata Wan Ahmad kepada The Star.

Sehingga 30 September, 20.3 peratus atau 3,346,460 daripada 16,451,867 rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar dengan suruhanjaya itu.

Tempoh semasa Parlimen berakhir pada 28 April dan pemilihan mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Wan Ahmad berkata, SPR akan menambah daftar pengundi baru dengan segera selepas setiap suku tahun berakhir tetapi semua rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar harus melakukannya kerana masa diperlukan untuk memproses permohonan mereka.

Maklumat mengenai bagaimana untuk mendaftar tersedia di laman web www.spr.gov.my
PERUBAHAN TIDAK AKAN JADIKAN ANDA KURANG CIRI KEMELAYUAN - TUN M

PUTRAJAYA: Orang Melayu di negara ini perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan memberi penekanan terhadap sistem nilai kerja keras, jujur dan disiplin sebagai kunci untuk berjaya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu mengaku selama menjadi perdana menteri bagi tempoh 22 tahun, beliau telah gagal untuk menukar cara berfikir orang Melayu.

"Mengubah karakter orang Melayu adalah tugas yang amat sukar. Bagaimanapun, saya tidak gagal 100 peratus. Saya tetap berjaya mengubah cara berfikir, banyak juga orang Melayu kini sudah berjaya.

"Saya percaya kejayaan atau kegagalan seseorang itu, masyarakat dan negara adalah bersandarkan kepada sistem nilai. Jika sistem nilai sesebuah masyarakat itu mengutamakan kerja keras, jujur dan disiplin, dengan itu, ini adalah tiga perkara yang akan menjadikan anda berjaya.

"Sebab itu kenapa, saya cuba menjelaskan kenapa anda perlu berubah, dan ini tidak akan menjadikan anda kurang ciri keMelayuan, hanya kerana anda bekerja keras, bersikap jujur dan berdisiplin," katanya pada Siri Syarahan Perdana ke-15 bertajuk 'Masa Depan Tindakan Afirmatif' di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Rabu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata tindakan afirmatif perlu diteruskan untuk meningkatkan kapasiti ekonomi dan merapatkan jurang sosial di negara ini.

Bagaimanapun, katanya tindakan afirmatif perlu ditarik balik secara perlahan-lahan untuk membolehkan orang Melayu menjadi lebih berdaya saing dalam berkongsi 'kepingan lebih besar pai ekonomi'. "Tindakan afirmatif bukannya keistimewaan kekal atau simbol status tinggi bagi orang Melayu dan Bumiputera.

"Tindakan afirmatif patut dianggap sebagai tongkat sementara untuk membolehkan anda bergerak ke depan dan akhirnya kami perlu buang tongkat itu apabila kami yakin yang orang Melayu boleh bersaing dalam pasaran tanpa sebarang tongkat," katanya.

Bagi mengkayakan lagi orang Melayu, bagi tempoh itu, Dr Mahathir berkata elemen tertentu tindakan afirmatif perlu dikekalkan, termasuk biasiswa, kelulusan lesen permit dan kontrak kepada mereka yang berwibawa.

Beliau menyangkal dakwaan pembangkang bahawa tindakan afirmatif telah disalahgunakan untuk mengkayakan kroni-kroni kerajaan. -mStar