Monday, November 12, 2012

LAYARI FACEBOOK LEBIH 3 JAM JEJAS MENTAL  

KUCHING:: Pelajar yang menggunakan cuti sekolah untuk melayari laman sosial Facebook selama tiga hingga tujuh jam sehari dibimbangi mengidap kemurungan pada masa depan.

Risiko kemurungan membabitkan kesihatan mental berlaku kerana kurang pergaulan sosial, justeru, apabila tiba masa berdikari, golongan terbabit berdepan masalah menyerap tekanan ketika bekerja akibat kelemahan menguasai keadaan sekeliling, iaitu ‘copy skills’.

Pengarah Hospital Sentosa, Dr Lau Kim Kah, berkata bagi mengelak keadaan itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka keluar bersosial secara sihat khususnya ketika musim sekolah, supaya kemahiran menguasai tekanan dapat dipelajari.

Kemahiran murid

“Apa yang dimaksudkan dengan copy skills adalah kemahiran murid meniru atau belajar daripada persekitarannya dalam memahami masalah dan menyerap tekanan.

“Kegagalan mempelajari kemahiran dalam situasi bukan formal akan menyebabkan golongan terbabit berdepan risiko mengidap kemurungan, sekali gus mengalami masalah mental,” katanya ketika ditemui BH sempena majlis perasmian hari terbuka dan jualan amal Hospital Sentosa, di sini, semalam.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan hampir 340,000 penduduk negara ini atau 1.8 peratus menghadapi kemurungan, manakala penyakit keresahan adalah 1.7 peratus.

Tahap kemurungan didapati lebih tinggi membabitkan 2.5 peratus dalam kalangan usia 16 hingga 24 tahun dan kedua tertinggi membabitkan penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing, berkata pihaknya menghadapi cabaran besar meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggapan menyamakan maksud kesihatan mental dan penyakit mental.

“Kesihatan mental adalah membabitkan semua ahli masyarakat berbeza manakala penyakit mental cuma membabitkan individu tertentu saja,” katanya. -BHarian

PAS TETAP SETIA DENGAN PAKATAN

SHAH ALAM: Pemimpin tertinggi PAS semalam memberi jaminan akan tetap setia bersama Pakatan Rakyat dan menolak khabar angin bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Umno.

Jaminan ini dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang apabila mengulas isu perjumpaan pemimpin PAS dan Umno atas undangan Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.

Hadi berkata demikian di Majilis Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati, Shah Alam bagi memohon Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang hebat diserang terutama isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Majlis ini dianjurkan oleh Pimpinan PAS Pusat untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN. Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. PR satu Pakatan yang makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," katanya.

Majlis anjuran PAS Pusat ini mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 10 ribu hadirin membanjiri kawasan stadium menyertai acara solat hajat dan memberi sokongan terhadap kerajaan Negeri.

Turut hadir di Majlis tersebut ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul AM PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta pelbagai pemimpin dari kedua parti ini.

Dalam ucapan beliau, Nik Aziz menyentuh pengkhianatan Umno ketika PAS menjadi komponen Barisan Nasional.

"Dia nak bela Melayu tapi Melayu Kelantan tak nak bela. Inilah Umno. Nak suruh PAS berpadu dengan dia. Kita dah masuk BN, itupun dengan permintaan Allahyarham Tun Razak.

"Bila masuk dia tendang kita. Saya ingat pepatah arab. 'Anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik bersungguh minta balik bekerjasama kita kata tidak," kata Nik Aziz . -TVSelangor
PEMIMPIN ISLAM PERLU SEPAKAT PERTAHAN MARUAH AGAMA
 
Besut: Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata pemimpin Islam di negara ini perlu sepakat dalam menjaga kepentingan agama Islam tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya tindakan sesetengah pemimpin politik yang mengetepikan kepentingan agama demi kedudukan politik dan menyebabkan kecelaruan berpanjangan dalam masyarakat.

“Amat dikesalkan kerana pemimpin PAS seperti tidak mahu memperbetulkan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) dalam soalan kebebasan beragama selain turut menyokong dan mengatakan perkara itu tidak penting,” katanya pada satu perjumpaan dengan media.

Kesal Nik Aziz sokong Izzah

Katanya sebagai Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat jelas mengetepikan kepentingan Islam apabila menyokong Nurul Izzah sekalipun menyedari beliau melakukan kesalahan besar.

“Nik Aziz jika tahu perkara ini salah sepatutnya jangan keluar apa-apa pandangan dan lebih baik menjadi syaitan bisu daripada syaitan yang berkata-kata,” katanya.

Beliau turut meminta Nurul Izzah memperbetulkan kenyataannya dan meminta maaf dengan mengakui tidak arif mengenai bidang agama.

Pada 3 November lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara tersebut juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’ di Subang Jaya pada 3 November lalu. - BERNAMA
SULTAN TEGUR PENGURUSAN AIR KELANTAN

Segerakan penstrukturan semula, bekalan berkualiti untuk rakyat

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menegur pengurusan air oleh kerajaan negeri dan diperintah segera menyelesaikannya bagi memastikan rakyat menikmati sumber air bersih serta terjamin.
Baginda meminta penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air disegerakan seperti dipersetujui melalui kaedah pengambilalihan aset air oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Beta dimaklumkan pada dasarnya pihak berkuasa negeri sudah bersetuju dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Kelantan melalui kaedah pengambilalihan aset air negeri oleh PAAB.

 “Beta menggesa pihak terbabit supaya dapat menyelesaikan segera perkara ini bagi memastikan rakyat diutamakan dan sumber bekalan air yang berkualiti serta terjamin dapat dinikmati rakyat,” titah baginda pada majlis Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke43, di Istana Balai Besar, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Baginda yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agung mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang selama ini dilihat tidak pernah meminggirkan Kelantan daripada arus pembangunan.

“Beta berharap satu rangkaian jalan raya bertaraf lebuh raya dapat dibina di negeri ini seperti negeri di Pantai Barat atau negeri Pantai Timur lain bagi merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kelantan tidak harus dibiarkan ketinggalan kerana ia sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Sultan Muhammad juga mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak melihat pertanian sebagai sektor mengaut keuntungan serta menjana ekonomi semata-mata.

“Beta menyeru supaya semua pihak terbabit dalam sektor ini menjaga sumber asli seperti tanah, sungai, laut serta kawasan tadahan hujan bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.

“Langkah ini bagi memastikan Kelantan terus subur dan berupaya mengeluarkan hasil yang banyak serta berkualiti sepanjang masa,” titah baginda.

Baginda juga menegur jentera pentadbiran kerajaan negeri supaya proaktif dalam memperbaiki serta mempertingkatkan sistem sedia ada agar rakyat dapat menikmati perkhidmatan bermutu dan terbaik.

“Semua agensi perlu menjana idea baru bagi menghasilkan produk inovatif bagi meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan, selain inisiatif sentiasa dikemukakan supaya rakyat mendapat perkhidmatan terbaik,” titah baginda.