Thursday, August 1, 2013

SKMM RUJUK JAKIM ISU VIDEO RAYA BERSAMA ANJING – SHABERY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata, pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

"Sekiranya Jakim mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara," katanya.

Polis semalam menahan Maznah Mohd Yusof, 38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Maznah kini direman dua hari hingga esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit Aman semalam.

Selain itu, Shabery berkata SKMM telah pun merekod kenyataan Maznah dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui niat sebenar individu itu membuat video berkenaan.

"Banyak pandangan berbeza yang kita terima berhubung kes ini, jadi siasatan perlu dijalankan," katanya. -BERNAMA/mStar

JAKIM KESAL PENERBITAN VIDEO HINA ISLAM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan penerbitan video menghina Islam, yang sekali lagi menyentuh sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini.
Video yang penuh dengan kontroversi

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata penerbitan video itu memang tidak dapat dimaafkan, yang difahamkan dirakam dan diterbitkan sejak 2010.

"Melalui dapatan kami, sememangnya mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan secara sengaja ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menyamakan umat Islam dengan anjing dalam suasana laungan takbir raya sebagai latar belakang video," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Video itu memaparkan seorang individu yang dikenali sebagai Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dengan berlatarkan suara takbir raya.

Rakaman video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan seorang individu memakai Baju Melayu hitam mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya kepada anjingnya.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)".

Ia turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Chetz sekeluarga" dengan gambar individu dikenali Chetz itu duduk bersama dua anjingnya di atas sofa manakala seekor lagi anjingnya di atas lantai (bawah sofa) di dalam sebuah rumah.

Sehubungan itu, Othman berkata Jakim telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini berhubung perkara itu.

"Kami sedia membantu SKMM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang berkaitan termasuk menghantar satu laporan khusus kepada pihak SKMM dalam masa terdekat," katanya.

Untuk tujuan itu Jakim juga telah membuat aduan kepada pihak polis dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil. BERNAMA/mStar

UMNO, BN PERLU YAKINKAN WARGA BANDAR – PM

KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji kaedah berkesan bagi membolehkan parti kembali diyakini serta menjadi pilihan masyarakat bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pemimpin dan anggota parti perlu berkerja keras bagi menterjemahkan kekuatan sebagai satu-satunya parti yang mampu membangunkan ekonomi negara dan juga parti yang suatu ketika dahulu pernah berjuang memerdekakan negara.

Mengambil ikhtibar daripada mesej yang disampaikan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Najib berkata bagi memenangi kembali hati penduduk bandar, masalah utama yang menjadi kerisauan mereka iaitu jenayah atau rasuah, lalu lintas dan harga rumah mampu milik perlu terlebih dahulu ditangani.

"Selain proses dalaman memperbaiki kelemahan parti dan bermuhasabah, kita juga perlu ada perasaaan rendah hati demi rakyat dengan mengenal pasti masalah masyarakat bandar yang perlu diperjuangkan sehingga memberi kepuasan kepada mereka," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Umno dan BN serta masyarakat Wilayah Persekutuan di Masjid Muadz Al-Jabbar di sini.

Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, berkata kerajaan komited untuk memerangi jenayah dan rasuah bagi memastikan rakyat bebas dari ancaman jenayah berat, ragut dan pecah rumah.

Beliau berkata kerajaan juga mahu memastikan semua rakyat, sama ada berpendapatan rendah dan tinggi dapat menggunakan kemudahan pengangkutan awam dengan selesa bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

"Seperti bandar London dan New York, yang mana semua rakyat berpendapatan tinggi, mereka juga gunakan pengangkutan awam, kalau kita boleh sampai ke tahap itu kita boleh beri kepuasan kepada rakyat," katanya.

Katanya kerajaan juga akan membina 85,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang di Wilayah Persekutuan, dengan harga dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 bagi memenuhi permintaan masyarakat bandar.

Dalam pada itu, Najib mengajak rakyat bersyukur kerana dapat mengamalkan ibadah puasa dengan penuh ketenangan berbanding negara-negara Islam lain yang sedang berada dalam kancah pergolakan yang dahsyat.  BERNAMA/mStar

VIDEO RAYA: PELATIH ANJING DIBAWA KE SEGAMAT

PETALING JAYA: Maznah Mohd Yusof, wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi video sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya akan dibawa ke mahkamah Majistret di Segamat yang berkemungkinan bagi mendapatkan perintah lanjutan reman terhadapnya. 
Gambar fail menunjukkan Maznah sedang melatih anjing-anjing peliharaannya.
Peguamnya Latheefa Koya berkata, Maznah telah dibawa ke Segamat awal pagi Khamis iaitu tempat di mana laporan polis pertama dibuat ke atasnya.

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka sepatutnya boleh menjalankan siasatan di Kuala Lumpur atau Selangor," kata pada Khamis.

Menurut Latheefa beliau sempat menemui Maznah di Bukit Aman awal pagi ini.

Maznah yang juga dikenali sebagai Chetz ditahan pada Rabu.

Wanita itu mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya dimuat naik ke malam YouTube pada Isnin.

Video itu menunjukkan Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Chetz memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."

Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.. -BERNAMA/mStar