Tuesday, July 17, 2012

PELABUR RUNSING JIKA MASIH BELUM TETAP TARIKH PRU13

SHAH ALAM - Tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang masih lagi menjadi tanda tanya akan menyebabkan negara mungkin berhadapan dengan masalah ekonomi.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Anthony Santiago berkata, ini kerana, pelabur dikatakan runsing untuk membuat pelaburan gara-gara khuatir jika kerajaan beralih kuasa.

“Apabila saya jumpa ahli perniagaan, rata-ratanya memberitahu mereka tidak boleh melabur kerana tarikh PRU13 belum ditentukan. Mereka takut menanggung risiko kerana jika kerajaan bertukar, maka dasar juga akan bertukar. Kemerosotan ekonomi dunia akan memberi implikasi kepada Malaysia. Jika tarikh sudah ditentukan, mereka boleh buat percaturan awal untuk melabur dan rakyat pula boleh teruskan kegiatan harian masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) pada tahun ini kerana ia merupakan masa paling sesuai.

Mengulas mengenai tarikh sesuai pilihan raya, Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang mencadangkan ia dijalankan pada November atau Disember tahun ini, iaitu selepas musim haji.

“Kita kena hormati umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji, tetapi apa yang paling penting ialah kebaikan kepada negara serta rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, sama ada mengadakan pilihan raya tahun ini atau hadapan, Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia untuk menghadapinya dan persediaan itu sudah hampir di peringkat akhir.

Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda turut mempersoalkan sebab tarikh PRU13 dilengah-lengahkan, seolah-olah mempunyai agenda tertentu.

“Apakah daftar pemilih sudah dibersihkan? Apakah ia dilengah-lengahkan disebabkan untuk memindahkan pemilih di kawasan sasaran yang boleh dimenangi Barisan Nasional (BN). Kita akan gunakan Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) versi 3.0 untuk memeriksa jumlah pengundi hantu dan daftar pemilih yang dipindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Beliau mendakwa, kenyataan Muhyiddin itu disifatkan sebagai retorik politik semata-mata dan jika pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini, PKR telah meminta Kerajaan Negeri supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) berasingan dengan Parlimen untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR.

KD: Semacam pelik pula tajuk laporan Sinar Harian ini. Betul ke pelabur yang runsing? Jika dibaca secara keseluruhan kenyataan tersebut, ia seakan menampakkan kerisauan pihak pembangkang, bukannya pelabur. Jika dilteliti, pihak kerajaan lebih santai dalam isu berkaitan tarikh pilihan raya. Sebaliknya, pihak pembangkang dilihat lebih tergesa-gesa. 

SELANGOR MAHU AMBIL ALIH SYABAS

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh dua minggu ini ekoran cadangannya mahu mengadakan catuan air di kawasan utama di Lembah Klang.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan persetujuan Kerajaan Pusat selari dengan perjanjian semasa, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, hari ini.
Langkah itu diambil ekoran pengumuman Syabas kelmarin bahawa ia mahu melaksanakan catuan bekalan air atas alasan berhadapan masalah kekurangan bekalan air bersih.

Khalid berkata, Kerajaan Negeri meragui dakwaan bahawa sudah wujud krisis air di Selangor memandangkan pengawal selia air negeri dan lembaga pengarah Syabas tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Jadi kami dah buat keputusan untuk ambil alih pengurusan dalam tempoh dua minggu mengikut perjanjian yang ada dan sekiranya tidak dipersetujui kita akan dapatkan keadilan melalui tindakan mahkamah.

"Kalau Kerajaan Persekutuan pentingkan rakyat Selangor dia sepatutnya terima keputusan Kerajaan Negeri," kata Khalid pada sidang media di bangunan SUK di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Syabas berkata mahu mendapatkan kebenaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengadakan catuan bekalan air dengan segera di  Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang ekoran penurunan paras simpanan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan dipetik berkata, ketiga-tiga kawasan itu berhadapan dengan krisis air memandangkan paras simpanan air telah menurun kepada dua peratus berbanding 20 peratus yang diperlukan.

Syabas ditubuhkan pada 8 Julai 1996 di bawah Akta Syarikat 1965 untuk menjalankan penswastaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan telah mengambil alih tanggungjawab Perbadanan Urus Air Selangor.

Ia dilantik oleh kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mempertingkat dan menambah baik sistem dan perkhidmatan bekalan air di Selangor memandangkan pengurusan sebelumnya menghadapi kendalaan kewangan, pengurusan tidak efektif, standard mutu air yang rendah dan bekalan air terawat yang tidak konsisten. 

Syabas diberikan konsesi untuk mengurus, mengendali dan membekal air bersih bermutu bagi tempoh 30 tahun mulai 1 Januari 2005.

KD:  Rasanya sudah lama isu pengurusan air ini menjadi rebutan Kerajaan Selangor dan Syabas.KD tidak kisah siapa pun yang menguruskannya, selagi tidak menjejaskan atau mengganggu pengguna di Selangor.

WAN AZIZAH TKM 1 PULAU PINANG?

GEORGETOWN - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkemungkinan boleh dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 sekiranya beliau memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
          
Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata, jawatan itu mungkin boleh diberikan kepadanya sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kekal memerintah negeri. Katanya, cadangan berkenaan juga boleh dibuat sekiranya tiada calon ternama lain yang sesuai untuk jawatan itu.
         
“Setakat ini PKR negeri belum pernah membincangkan tentang perkara ini namun sekiranya ada peluang dan mengambil kira tiada calon lain yang ternama yang sesuai apa salahnya kita berikan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya bagi mewakili PKR,” katanya.
         
Bagaimanapun Amir berkata, ia juga bergantung kepada parti sama ada mahu meletakkan Datuk Dr  Wan Azizah bertanding di Pulau Pinang ataupun di negeri lain.
           
Katanya, AMK memang amat mengalu-alukan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk kembali ke Pulau Pinang dan beliau yakin momentum sokongan rakyat kepada isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu masih lagi kuat.
         
Mengulas mengenai kenyataan Adun Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendakwa tindakan Dr Wan Azizah yang mahu bertanding di kerusi Pulau Pinang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi selain bukan mahu berkhidmat kepada masyarakat, Amir berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.
         
Menurutnya, tindakan Dr Wan Azizah melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya adalah satu strategi PKR bagi menghapuskan Umno di kawasan berkenaan.

KD: Nampaknya pembangkang mempunyai harapan besar untuk menakluki negeri Pulau Mutiara ini. Selain itu, DSAI juga dilihat mengembangkan 'sayapnya' melalui ahli keluarganya. Justeru, apakah relevan hasrat DSAI yang ingin bersara? Apapun, rakyat sedang menyaksikan kancah politik yang tiada kesudahan ini.

PRU13 SELEPAS AIDILFITRI : REAKSI

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan harapan beliau agar PRU13 tidak diadakan pada tahun depan memandangkan tahun ini merupakan tahun paling sesuai mengadakannya.

Hari ini, beberapa reaksi diterima. Mari kita tengok apa kata mereka.

Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada Oktober adalah masa terbaik mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Penganalisis politik itu berkata, walaupun November banyak cuti sekolah tetapi ketika itu sudah mula musim tengkujuh terutamanya di kawasan Pantai Timur. Justeru, Oktober antara masa yang sesuai, selepas hari raya.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, beliau tidak melihat pandangan Muhyiddin menggambarkan wujudnya masalah besar antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya, beliau menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin sebagai satu mesej tersirat kepada ahli-ahli Umno bahawa mereka perlu terus membuat persiapan untuk menghadapi PRU13.

Bagi KD pula, tidak kisahlah bila pun PRU-13 diadakan. Tetapi ia perlulah masa dan tarikh yang sesuai. Segala persiapan dan persediaan perlu teliti dan lancar. Selain itu, rakyat Malaysia yang juga pengundi perlu memilih pentadbiran yang benar serta mampunyai masa depan.