Tuesday, July 17, 2012

SELANGOR MAHU AMBIL ALIH SYABAS

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh dua minggu ini ekoran cadangannya mahu mengadakan catuan air di kawasan utama di Lembah Klang.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan persetujuan Kerajaan Pusat selari dengan perjanjian semasa, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, hari ini.
Langkah itu diambil ekoran pengumuman Syabas kelmarin bahawa ia mahu melaksanakan catuan bekalan air atas alasan berhadapan masalah kekurangan bekalan air bersih.

Khalid berkata, Kerajaan Negeri meragui dakwaan bahawa sudah wujud krisis air di Selangor memandangkan pengawal selia air negeri dan lembaga pengarah Syabas tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Jadi kami dah buat keputusan untuk ambil alih pengurusan dalam tempoh dua minggu mengikut perjanjian yang ada dan sekiranya tidak dipersetujui kita akan dapatkan keadilan melalui tindakan mahkamah.

"Kalau Kerajaan Persekutuan pentingkan rakyat Selangor dia sepatutnya terima keputusan Kerajaan Negeri," kata Khalid pada sidang media di bangunan SUK di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Syabas berkata mahu mendapatkan kebenaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengadakan catuan bekalan air dengan segera di  Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang ekoran penurunan paras simpanan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan dipetik berkata, ketiga-tiga kawasan itu berhadapan dengan krisis air memandangkan paras simpanan air telah menurun kepada dua peratus berbanding 20 peratus yang diperlukan.

Syabas ditubuhkan pada 8 Julai 1996 di bawah Akta Syarikat 1965 untuk menjalankan penswastaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan telah mengambil alih tanggungjawab Perbadanan Urus Air Selangor.

Ia dilantik oleh kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mempertingkat dan menambah baik sistem dan perkhidmatan bekalan air di Selangor memandangkan pengurusan sebelumnya menghadapi kendalaan kewangan, pengurusan tidak efektif, standard mutu air yang rendah dan bekalan air terawat yang tidak konsisten. 

Syabas diberikan konsesi untuk mengurus, mengendali dan membekal air bersih bermutu bagi tempoh 30 tahun mulai 1 Januari 2005.

KD:  Rasanya sudah lama isu pengurusan air ini menjadi rebutan Kerajaan Selangor dan Syabas.KD tidak kisah siapa pun yang menguruskannya, selagi tidak menjejaskan atau mengganggu pengguna di Selangor.

No comments:

Post a Comment