Tuesday, April 9, 2013

TEROWONG DASAR LAUT: 'PULAU PINANG BUKAN HONG KONG'

PULAU PINANG - Cadangan pembinaan terowong dasar laut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya dihentikan kerana didapati tidak sesuai dibangunkan di negeri itu.

Ahli Citizens Awareness Chant Group, Khoo Kay Peng berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan Hong Kong dan China sebagai contoh supaya Pulau Pinang dapat meneruskan projek berkenaan.

"Pulau Pinang tidak boleh jadi seperti Hong Kong. Faktor geografi kedua-dua pulau berbeza dan Georgetown sendiri telah diangkat sebagai bandar warisan.

"Malah Hong Kong juga bukan hanya membangunkan terowong dasar laut tetapi turut membangunkan jajaran komuter," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu pembinaan terowong dasar laut yang dicadangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendapat bantahan daripada pelbagai pihak di negeri itu.

Kay Peng berkata, kerajaan negeri perlu melihat kepada impak yang bakal tercetus sekiranya terowong berkenaan direalisasikan kelak.

Katanya, pelan terowong dan impak fizikal termasuk kajian kesan alam sekitar dan kajian impak lalu lintas perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Banyak perkara yang tidak didedahkan secara jelas terhadap projek ini termasuk mengenai pemberian tender kepada syarikat terlibat.

"Kita minta kerajaan negeri jelaskan bagaimana tender terbuka ini dilaksanakan dan apakah kriteria yang membolehkan syarikat terpilih mendapat projek berkenaan," ujarnya.

Tegasnya, kerajaan negeri perlu memberitahu mengenai rekod serta profil semua syarikat yang terlibat.

"Kerajaan negeri sebelum ini memberitahu bahawa syarikat dari China yang terlibat dalam projek ini telah membina stadium besar di sana tetapi tidak menyebut mengenai kejayaan membina terowong dasar laut.

"Kita tidak boleh mengharapkan seorang jurutera enjin kereta untuk membaiki enjin kapal terbang.

"Jadi adalah penting rekod syarikat terbabit ditunjukkan bagi melihat sama ada mereka memiliki kepakaran yang selayaknya untuk membina sebuah terowong dasar laut," jelasnya.

Selain itu, beliau juga tertanya-tanya mengenai pendirian Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat seolah-olah tidak sedar bahawa terowong itu mampu menggugat pembangunan logistik maritim seperti Pelabuhan Pulau Pinang.

Sementara itu, Penasihat Chant Group, Prof. Dr. Jimmy Lim berkata, rakyat perlu diperjelaskan mengenai segala bentuk pembangunan yang dirancang kerajaan negeri termasuk kesan dan impak daripada pembangunan tersebut.

"Kita tidak kisah jika kerajaan negeri tidak mahu mendengar pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana yang lebih penting adalah masyarakat.

"Masyarakat harus diberitahu mengenai kesan dan impak yang dibawa oleh pembangunan kerana perkara itu jelas memberi kesan kepada kehidupan mereka," ujarnya.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan negeri memberikan tanah kepada syarikat yang terbabit dalam pembinaan projek mega bernilai RM6.3 bilion termasuk pembinaan terowong dasar laut itu.

"Sudah tentu syarikat berkenaan akan membangunkan tanah itu dengan projek-projek komersial lain yang bakal menambah kepadatan kawasan berkenaan.

"Keadaan itu akan memberi kesan kepada lalu lintas dan terowong dasar laut bukanlah penyelesaian kepada masalah berkenaan," katanya. - Utusan Online
MULUT NIK AZIZ SEMAKIN CELUPAR

KUALA LUMPUR - Selepas mengeluarkan fatwa politik yang disifatkan banyak pihak sebagai menyesatkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin biadab selepas mendakwa jika Nabi Muhammad SAW hidup kembali parti UMNO akan menentang Rasulullah.

Tuduhan liar itu dibuat selang tiga hari selepas Menteri Besar Kelantan berkenaan mendakwa, solat orang UMNO tidak mendapat pahala dengan alasan parti yang telah banyak mengembangkan syiar Islam di negara ini sejak lebih 50 tahun lalu tersebut mengamalkan dasar kebangsaan.

Lebih menyedihkan, dakwaan itu dibuat selepas Nik Abdul Aziz dengan bongkak mempertahan kenyataan solat orang UMNO tidak mendapat pahala sebelum disusuli tuduhan masjid yang dibina tidak memberi apa-apa makna kononnya atas alasan parti itu menolak Islam.

"Puak ini (UMNO) kalau Nabi Muhammad hidup balik, dia lawan," katanya semasa berceramah dalam majlis prahimpunan Kelantan Hijau di Jeli, Kelantan yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana dipetik di blog, rbfonline.net hari ini.

Ini kali kedua Pas mengheret Rasulullah dalam kancah politik selepas Penolong Setiausaha I Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi Twitternya baru-baru ini berkata: "Kalau Nabi Muhammad masih hidup, mungkin video seks baginda pun UMNO akan keluarkan...Jahanam UMNO,".

Mengulas kontroversi terbaru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kenyataan dan perumpamaan terbaharu Nik Abdul Aziz yang menyifatkan UMNO akan menentang baginda merupakan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Nilaikan prinsip Pas dalam memperjuangkan Islam, di mana pendirian mereka berhubung penggunaan kalimah Allah sebelum ini?

''Sebagai Tok Guru, Nik Abdul Aziz patut berhenti menuduh semua orang menolak dasar Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya menggunakan agama Islam serta mengaitkan Rasulullah SAW untuk mencapai matlamat politik.

Menurut beliau, tindakan Nik Abdul Aziz itu juga bertentangan dengan sikap sesetengah musuh Islam yang turut menghormati Rasulullah SAW.

"Islam tidak menggalakkan kita bercerita hal-hal keburukan seseorang yang sudah meninggal dunia apatah lagi sekiranya perkara itu melibatkan Nabi Muhammad SAW yang maksum," katanya. - Utusan Online
SEKOLAH PONDOK, TAHFIZ TOLAK UNDI PAKATAN PEMBANGKANG 

GURUN  - Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz membuat deklarasi bahawa haram bagi umat Islam di negara ini mengundi pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mereka menyokong pluralisme agama yang jelas menyekutukan Allah.

Pengerusi persidangan, Harun Yahya berkata, deklarasi tersebut dibuat berdasarkan nas daripada kitab-kitab Ulama Ahlusunnah Waljamaah yang muktabar setelah para peserta mengadakan perbahasan selama tiga hari bermula Sabtu lalu.

Menurutnya, para peserta persidangan itu mendapati perjuangan parti pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP bukan sahaja menyalahi nas-nas tersebut bahkan bertentangan sama sekali dengan Islam serta sesat lagi menyesatkan.

Katanya, kenyataan bersama ketiga-tiga pimpinan tertinggi pakatan pembangkang bahawa kalimah Allah boleh digunakan agama lain adalah perbuatan jenayah yang paling besar ke atas agama Islam dan umatnya.

Akibat pluralisme, rukun Islam pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah lenyap yang menyebabkan murtad kerana umat Islam tidak mengesakan Allah serta mengaku agama lain adalah agama Allah dan Nabi Muhammad bukan lagi utusan yang membawa agama Allah, yang bermakna Islam bahkan semua agama benar belaka bukan hanya Islam.”

Oleh itu adalah haram menyokong Pas, PKR dan DAP kerana mereka sepakat dalam memperjuangkan bahawa nama Allah boleh digunakan oleh penganut agama lain yang membawa maksud semua agama adalah agama Allah," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz di Hotel Harvard di sini hari ini.

Harun yang juga Ketua Penerangan Minda Pondok berkata, kalimah Allah adalah nama zat Tuhan yang telah menurunkan agamanya iaitu Islam, maka kalimah Allah hanya untuk umat Islam yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukannya dengan yang lain.

Jelasnya, ini yang membezakan umat Islam dengan agama lain yang diperintah berdakwah dan menyeru umat lain mengesakan Allah bukan membenarkan Allah untuk disekutukan seperti yang dipersetujui Pas, PKR dan DAP.

Pas sepatutnya menyeru mereka masuk Islam dan menganut agama Islam bukan membenarkan nama Allah untuk digunakan, sedangkan secara terangan menyalahgunakan kerana mereka masih tidak meninggalkan kepercayaan mereka yang asal.”

Apabila dibenarkan mereka menggunakan kalimah Allah dalam bible atau kitab-kitab agama mereka, maka natijahnya semua agama adalah agama Allah dan bukan lagi Islam agama Allah,” ujarnya.

Menurutnya, itulah yang dipanggil pluralisme agama yang menjadi agenda jahat musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam.

Katanya, rakyat negara ini usah termakan dengan dakyah pakatan pembangkang khususnya Pas yang kononnya mahu melaksanakan Islam tetapi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghalalkan Allah disekutukan dengan memberi nama Allah digunakan oleh agama lain.

Isu kalimah Allah bukan isu politik semata-mata sebaliknya adalah usaha untuk merombak perkara rukun yang utama dalam Islam," katanya.

Harun berkata, pihaknya turut menyeru segenap lapisan masyarakat dan pemimpin di seluruh negara melakukan solat hajat sehingga pilihan raya umum atau seterusnya agar umat Islam di Malaysia dan dunia terpelihara daripada agenda memurtadkan mereka.  - Utusan Online
ANALISIS PRU13: KEANGKUHAN NIK ABDUL AZIZ PERLU DIRANAPKAN

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

MursyiduL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata terus angkuh dalam tindakan beliau demi menjaga kepentingan politik Pas dan pakatan pembangkang yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ketaksuban dan sikap fanatik beliau yang cuba menggambarkan hanya Pas sahaja memperjuangkan Islam dan hanya pakatan pembangkang sahaja yang baik telah membuktikan Menteri Besar Kelantan semakin meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Tidak cukup dengan kenyataan sebelum ini bahawa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha UMNO membina masjid tidak memberi apa-apa makna, Nik Abdul Aziz muncul pula dengan kenyataan jika Nabi Muhammad SAW hidup kembali parti UMNO akan menentang Rasulullah.

Demikianlah angkuhnya Nik Abdul Aziz yang sekali gus menunjukkan bahawa Nik Abdul Aziz seolah-olah sudah dikuasai oleh politik kebencian yang amat mendalam terhadap UMNO.

Mungkin juga semua ini berlaku kerana Nik Abdul Aziz semakin sedar berbanding tahun 2008, populariti Pas semakin merudum dan populariti UMNO semakin meningkat. Justeru mahu tidak mahu, Nik Abdul Aziz terpaksa menggunakan modal berkaitan Islam bagi menjejaskan imej UMNO.

Bagi Nik Abdul Aziz, ketegasan UMNO dalam memperjuangkan Islam termasuk begitu tegas dalam mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam adalah ancaman kepada Pas memandangkan Pas sudah bersetuju bersama sekutunya bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

Islam alat politik Pas

Selain itu, umat Islam di negara ini semakin sedar bahawa Islam hanyalah alat politik Pas dan pendekatan Pas dalam perjuangan Islam hanya digembar-gemburkan apabila menjelang pilihan raya sahaja.

Semakin meresahkan Nik Abdul Aziz ialah apabila Pas semakin kehilangan suara dalam pakatan pembangkang bagi menegakkan perjuangan Islamnya, oleh itu mahu tidak mahu usaha perlu dilakukan untuk mengalih pandangan umat Islam supaya tidak menyokong UMNO.

Sebab itulah, walaupun memahami bahawa apa yang beliau lakukan itu tidak wajar dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, Nik Abdul Aziz terus kekal dengan sikap merapu beliau dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan berkaitan Islam melibatkan UMNO.

Dalam soal ini, kita tidak perlu berasa bimbang atau gundah gulana kerana kita memahami apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz hanya semata-mata bermotifkan politik. Nik Abdul Aziz semakin resah apabila kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan semakin tergugat berikutan sambutan hangat rakyat negeri itu terhadao gelombang merah yang dibawa oleh UMNO.

Fatwa bukan-bukan

Gelombang Merah yang bertujuan menukar kerajaan negeri pimpinan Pas itu dilihat oleh Nik Abdul Aziz adalah ancaman yang harus dihentikan segera.

Oleh itu mahu tidak mahu Nik Abdul terpaksa mengeluarkan `fatwa' yang bukan-bukan supaya imej Islam UMNO terjejas.

Sebagai seorang yang berpengaruh Nik Abdul Aziz memahami apa juga yang beliau kata akan diikuti oleh penyokong-penyokong tegar Pas tetapi beliau terlupa dalam pilihan raya bukan hanya pengikut Pas atau UMNO sahaja yang akan mengundi, malah lebih penting ialah kelompok penentu iaitu golongan atas pagar.

Golongan inilah yang akan menilai dan membuat keputusan sama ada apa yang dinyatakan oleh Nik Abdul Aziz betul atau tidak, oleh itu kepada Nik Abdul Aziz cukup-cukuplah merendahkan UMNO.

Belajarlah untuk bermuhasabah supaya jangan sampai oleh kerana semakin banyak kenyataan yang dikeluarkan, beliau akan dianggap 'nyanyuk' dan ini sudah tentu tidak baik untuk politik Pas yang begitu kemaruk memburu kuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya! - UTUSAN ONLINE
PEMBANGKANG MAHU HAPUS BR1M?

PETALING JAYA - Ketika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mendapat maklum balas positif rakyat kerana berupaya mengurangkan beban hidup mereka, pembangkang sebaliknya mahu menghapuskan inisiatif itu jika memerintah negara.

Perkara itu dinyatakan sendiri Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang menjelaskan, berdasarkan anggaran peribadi beliau, pemberian BR1M melibatkan peruntukan antara RM7.2 bilion hingga RM11 bilion dalam tempoh 2014 hingga 2023 itu memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Katanya, peruntukan itu sepatutnya digunakan untuk menurunkan harga barang, minyak dan kereta serta menghapuskan tol.

Walau bagaimanapun, Rafizi dalam masa sama dilihat meyakini keberkesanan insentif BRIM itu selepas mengakui pembangkang akan meneruskan pemberian bantuan kewangan secara terus kepada rakyat namun dilakukan dalam bentuk jenama dan pendekatan berbeza.

Menurut beliau, pembangkang tidak akan memberikan bantuan itu kepada semua keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 kerana kononnya perlu menyelesaikan masalah ekonomi mereka, bukannya dengan memberi sejumlah wang tertentu.

"Soalan kita yang mana lebih baik? Ambil RM7 bilion untuk turunkan harga minyak sebanyak 40 sen seliter daripada RM1.90 kepada RM1.50 seliter, kosnya hanyalah RM6.8 bilion," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Rafizi mengulas janji BN menaikkan nilai insentif BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dalam masa lima tahun akan datang seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu.

Sebanyak 6.1 juta isi rumah dan golongan bujang menerima manfaat daripada BR1M 2.0 yang diagihkan tahun ini manakala BR1M 1.0 telah diagihkan kepada kira-kira 4.35 juta isi rumah tahun lalu.

Dalam pada itu, Rafizi dilihat seolah-olah keliru kerana mendakwa BN tidak menyatakan secara spesifik tempoh masa bagi menurunkan harga kereta dan tol.

Sedangkan Najib ketika membentangkan manifesto BN itu secara jelas mengumumkan, segala janji yang terkandung dalam manifesto BN akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.– Utusan Online
PEMBANGKANG RANCANG DEMONSTRASI ALA ARAB SPRING

KUALA LUMPUR - Konspirasi menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan ala 'Arab Spring' didakwa menjadi strategi utama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1999 ketika beliau dipenjara atas dakwaan rasuah dan liwat.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Ahmad mendakwa, perkara itu dilakukan secara sulit Anwar ketika beliau dipenjara di Sungai Buloh melalui surat-surat yang diserahkan menerusi salah seorang peguamnya ketika itu.

Jelasnya, antara arahan itu termasuk mengumpul seberapa ramai penyokong PKR untuk mengadakan demonstrasi dan tunjuk perasaan pada 2000 yang dikenali sebagai 'Black 14' sebagai memperingati tarikh Anwar disabitkan kesalahan dan sebagai tanda protes terhadap tangkapan beliau.

"Ketika itu, Pemuda PKR seluruh negara diarahkan berkumpul di ibu negara menaiki kereta api kerana takut dikesan pihak berkuasa.

"Kami tidak datang dengan tangan kosong, tetapi turut diarah membawa senjata seperti buluh runcing, 'molotov cocktail' dan besi sebagai persedian bertempur dengan pasukan keselamatan sekiranya dihalang," katanya.

Tambah Nordin, atas dasar prinsip dan tanggungjawab kepada negara, beliau mengambil langkah bertemu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, beliau turut dihubungi Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Kamaruddin Ali bagi memberi keterangan dan menceritakan satu persatu apa yang akan berlaku dalam demonstrasi tersebut tanpa pengetahuan pucuk pimpinan parti kerana masih memegang jawatan dalam parti.

"Selepas keterangan diambil, polis melakukan persediaan awal menyekat pengikut fanatik Anwar daripada terus mengadakan demonstrasi yang mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jiwa seterusnya menuduh UMNO bertindak zalim," katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin demonstrasi akan tercetus jika Anwar kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.– Utusan Online