Monday, September 17, 2012

HINA NABI: POPE TEMU PEMIMPIN ISLAM DI LUBNAN

BEIRUT: Pope Benedict XVI akan bertemu dengan pemimpin masyarakat Islam di Lubnan Sabtu ini, dalam lawatan yang bertujuan merapatkan jurang antara Kristian dan Muslim di Timur Tengah.

Pertemuan dijangka berlaku dalam suasana yang memilukan selepas insiden keganasan yang membawa maut apabila umat Islam membantah filem Amerika Syarikat yang menghina Islam.

Pope yang tiba di Lubnan Jumaat lalu untuk lawatan tiga hari, akan melawat istana presiden di Beirut dan bertemu Presiden Michel Sleiman, seorang Kristian Maronite.

Sebelum pertemuan beliau dengan pemimpin Islam, beliau akan bertemu Perdana Menteri Nagib Mikati, seorang Ahlus Sunnah wal Jamaah, dan speaker parlimen Nabih Berri, seorang Syiah.

Lubnan mempunyai tradisi yang tidak bertulis tetapi diikuti dengan ketat bahawa tiga jawatan tertinggi sentiasa dikhaskan untuk ahli komuniti kepercayaan masing-masing.

Pope juga akan menyampaikan ucapan kepada para pembesar Lubnan tentang ciri persamaan antara Kristian dan Islam iaitu agama keamanan. -Harakahdaily

SKMM MINTA GOOGLE BUANG KLIP VIDEO ANTI-ISLAM
 
PETALING JAYA: Pelopor enjin carian internet - Google menerima aduan rasmi dari Malaysia yang meminta membuang klip filem kontroversi anti-Islam Innocence of Muslims daripada laman YouTube.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, mereka menerima aduan dan permintaan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mengesahkan kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan untuk tindakan selanjutnya.

"Google berpegang teguh kepada undang-undang di setiap negara. Jadi (kita) akan bertindak berdasarkan aduan rasmi daripada badan kawal selia," katanya.
 
Zeffri bagaimanapun berkata badan kawal selia berkenaan perlu menyatakan butiran undang-undang atau peraturan kecil sedia ada yang dilanggari apabila membuat aduan.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah membuat aduan rasmi kepada Google.

"Kami telah berbincang dengan Google dan meminta mereka untuk membuang klip berkenaan," katanya.

Sedutan filem, Innocence of Muslims arahan Sam Bacile, yang disiarkan di YouTube mencetuskan kontroversi apabila menggambarkan Nabi Muhammad tidur dengan ramai wanita, pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones yang pemah mencetuskan kontroversi cuba membakar Al-Quran untuk kempen membenci Islam di Amerika Syarikat.-MStar