Wednesday, July 25, 2012

PROGRAM JOM BELI BARANG @PUTRAJAYA ~ 25 HINGGA 29 JULAI

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menganjurkan Program Jom Beli Barang@Putrajaya dari 25 hingga 29 Julai ini.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, KPDNKK berkata ia akan dilancarkan menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Julai.

KPDNKK berkata program yang dianjurkan sejak 2009 itu bertujuan membantu pengguna mendapatkan barangan untuk persiapan Aidilfitri pada harga rendah.

Ini sekaligus mampu mempergiat aktiviti perdagangan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Program itu bakal menyaksikan 268 gerai menjual pelbagai barangan antaranya produk kecantikan, pakaian, alat telekomunikasi, barangan elektrik serta produk makanan dan minuman.

KD: Wah, ini sudah bagus. Bertuah sungguh penduduk Putrajaya, banyak program menarik disediakan oleh Perbadanan Putrajaya. Sebagai salah satu Kompleks Pentadbiran Kerajaan, segala kemudahan dan aktiviti menarik tersedia di sini. 

MAJLIS ULAMA UMNO PERLU ADA KUASA – PENGANALISIS POLITIK
Cadangan penubuhan Majlis Ulama Umno terus mendapat reaksi dari pelbagai pihak. Hari ini dalam laporan akhbar Sinar Harian, seorang penganalisis memberi pandangannya.

Dr Maszlee Malek berpendapat, penubuhan Majlis Ulama Umno perlu mempunyai kuasa untuk mencorakkan hala tuju parti bukan hanya menjadi alat parti dan pemimpinnya dalam isu berkaitan agama. Beliau turut mengingatkan, perkara itu perlu diperjelaskan kerana ada pihak tertentu dalam politik yang menjadikan golongan ulama sebagai alat untuk mereka memperjuangkan isu yang ada kaitan dengan Islam.

"Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah soal fahaman yang berbeza dalam parti itu. Fathul Bari (Mat Jahaya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno yang mencadangkan penubuhan majlis ulama Umno) membawa fahaman dari Timur Tengah. Ini berbeza dengan golongan ulama sedia ada dalam Umno. Saya bimbang jika ianya boleh menimbulkan konflik atau persaingan dalam Umno sendiri," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, mereka yang menganggotai majlis itu harus daripada kalangan yang dihormati oleh semua pihak.

KD: Agak bersetuju dengan pandangan Dr Maszlee. Ini kerana, sebagai parti terbesar di Malaysia, Umno perlu mempertimbangkan segala pendapat pro dan kontra sebelum melaksanakan sesebuah rancangan. 
PR BANTAH TEMA MERDEKA - "55 TAHUN MERDEKA JANJI DITEPATI"
PR gesa Pusat tukar tema Hari Kebangsaan
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) memberi tempoh seminggu kepada Kerajaan Pusat agar menukar tema Hari Kemerdekaan "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" kerana ia tidak wajar, malah tidak memberi gambaran terbaik berkenaan dengan semangat kemerdekaan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tempoh seminggu diberikan kepada kerajaan untuk menukar tema Hari Kemerdekaan kepada yang lebih inklusif.

“Jika kerajaan tidak mengendahkan desakan ini, Pakatan Rakyat sendiri akan mencadangkan tema lain yang lebih sesuai dan memberi gambaran terbaik untuk Hari Kemerdekaan,” kata Mustafa semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.

Tambah beliau, PR menghormati hak kerajaan bagi menentukan tema Hari Kemerdekaan tetapi pilihan itu mestilah sesuatu yang diterima oleh semua pihak.

“Kalau boleh biarlah gunakan tema yang boleh diterima seluruh rakyat Malaysia. Jangan bila orang tengok saja tema Janji Ditepati ini, mereka akan terus ingat kepada BN," kata Mustafa.

Laporan media semalam menyebut Pas Terengganu juga berkemungkinan tidak akan mengikut tema yang ditetapkan Kerajaan Pusat dalam program khusus Pas negeri jika Putrajaya terus menggunakan tema “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati” kali ini.

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tema tersebut dianggap sebagai kempen pilihan raya Umno dan BN serta tidak sesuai digunakan pihak lain, khususnya di negeri PR.

Sehubungan itu, Pas meminta agar menukar tema tersebut kepada yang lain kerana terlalu jelas memperlihatkan unsur politik, yang tidak patut dicampuradukkan dengan sambutan hari bersejarah itu.

Baru-baru ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut menyeru negeri ditadbir PR supaya tidak menggunakan tema Hari Kemerdekaan terbabit sebagaimana disiarkan. -(Sinar Harian)

KD: Alamak, kenapa PR bersikap sebegini? Setelah pelbagai usaha dan bantuan telah disalurkan, jadi apa salahnya tema ini digunakan. Pihak pembangkang tidak seharusnya berasa tergugat kerana kerajaan melakukannya untuk rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun fahaman politik.