Wednesday, July 25, 2012

PR BANTAH TEMA MERDEKA - "55 TAHUN MERDEKA JANJI DITEPATI"
PR gesa Pusat tukar tema Hari Kebangsaan
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) memberi tempoh seminggu kepada Kerajaan Pusat agar menukar tema Hari Kemerdekaan "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" kerana ia tidak wajar, malah tidak memberi gambaran terbaik berkenaan dengan semangat kemerdekaan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tempoh seminggu diberikan kepada kerajaan untuk menukar tema Hari Kemerdekaan kepada yang lebih inklusif.

“Jika kerajaan tidak mengendahkan desakan ini, Pakatan Rakyat sendiri akan mencadangkan tema lain yang lebih sesuai dan memberi gambaran terbaik untuk Hari Kemerdekaan,” kata Mustafa semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.

Tambah beliau, PR menghormati hak kerajaan bagi menentukan tema Hari Kemerdekaan tetapi pilihan itu mestilah sesuatu yang diterima oleh semua pihak.

“Kalau boleh biarlah gunakan tema yang boleh diterima seluruh rakyat Malaysia. Jangan bila orang tengok saja tema Janji Ditepati ini, mereka akan terus ingat kepada BN," kata Mustafa.

Laporan media semalam menyebut Pas Terengganu juga berkemungkinan tidak akan mengikut tema yang ditetapkan Kerajaan Pusat dalam program khusus Pas negeri jika Putrajaya terus menggunakan tema “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati” kali ini.

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tema tersebut dianggap sebagai kempen pilihan raya Umno dan BN serta tidak sesuai digunakan pihak lain, khususnya di negeri PR.

Sehubungan itu, Pas meminta agar menukar tema tersebut kepada yang lain kerana terlalu jelas memperlihatkan unsur politik, yang tidak patut dicampuradukkan dengan sambutan hari bersejarah itu.

Baru-baru ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut menyeru negeri ditadbir PR supaya tidak menggunakan tema Hari Kemerdekaan terbabit sebagaimana disiarkan. -(Sinar Harian)

KD: Alamak, kenapa PR bersikap sebegini? Setelah pelbagai usaha dan bantuan telah disalurkan, jadi apa salahnya tema ini digunakan. Pihak pembangkang tidak seharusnya berasa tergugat kerana kerajaan melakukannya untuk rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun fahaman politik.

No comments:

Post a Comment