Thursday, April 11, 2013

PRU13: PRU KALI INI PALING MAHAL - SPR

PUTRAJAYA 10 April - Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bakal berlangsung pada 5 Mei ini akan menjadi pilihan raya termahal dengan kos RM400 juta diperuntukkan untuk memastikan segala persiapan berjalan lancar.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kos PRU-13 lebih mahal disebabkan oleh pertambahan jumlah pengundi selain peningkatan elaun untuk pegawai dan petugas yang terlibat dalam menjayakan pilihan raya itu.

''Jumlah pengundi untuk PRU-13 ialah sebanyak 13.3 juta orang berbanding 10.7 juta orang dalam pilihan raya sebelumnya.

''Ini bermakna jumlah pengundi telah bertambah sebanyak 2.6 juta orang, bukan semua pengundi baharu itu ialah orang muda tetapi juga terdapat warga lebih tua yang baharu mendaftar sebagai pengundi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, selain pertambahan pengundi, peningkatan kos pilihan raya juga disumbangkan oleh pengenalan jenis undi yang baharu dalam PRU-13.

''Jadi kos untuk PRU-13 adalah mahal tetapi kos untuk PRU-14 mungkin lebih tinggi lagi," katanya.

Abdul Aziz berkata, keputusan pertama PRU-13 mungkin diperolehi SPR seawal pukul 7.30 malam berdasarkan pengalaman lalu.
''Kita berusaha menambah baik sistem yang ada dengan memperkenalkan portal di mana keputusan akan diumumkan secepat mungkin melalui laman web," katanya.

Beliau berkata, pilihan raya akan diadakan seperti biasa di Lahad Datu dan Semporna di Sabah yang menyaksikan insiden pencerobohan pengganas Kiram, baru-baru ini.

Dalam pada itu, para pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web http://daftarj.spr.gov.my/

Semakan boleh dibuat menerusi Portal Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) www.pru13.gov.my atau menerusi SMS dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> nombor kad pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 15 April.

Bagi semakan melalui SMS, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyediakan kemudahan tambahan iaitu 29292 bagi pengguna Celcom, 33080 dan 22789 (Maxis) dan 33080 (Digi).

Semakan boleh dibuat dengan menaip spr <jarak> nombor kad pengenalan dan hantar kepada nombor-nombor tersebut. -Utusan Online
PRU13: CALON BEBAS GUNA LAMBANG BN

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan menampilkan elemen baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti apabila buat pertama kalinya bakal membenarkan calon Bebas bertanding menggunakan lambang parti tersebut.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengesahkan perkara itu berkata, perbincangan mengenainya telah dibuat dan calon Bebas tidak perlu menyertai mana-mana parti komponen untuk menggunakan lambang BN.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bilangan kawasan yang bakal ditandingi calon Bebas menggunakan lambang BN, sebaliknya berkata, jumlah tersebut amat kecil kerana tiada sebarang penambahan kerusi berlaku.

Jelas Najib, pemilihan siapa calon Bebas yang akan bertanding menggunakan lambang BN bergantung kepada penerimaan pengundi di sesuatu kawasan itu selain melihat kepada kesesuaian demografi politik semasa.

"Mereka boleh bertanding menggunakan lambang BN. Kalau kita fikir ada ruang dan boleh bertanding, tidak semestinya masuk parti komponen. Dia boleh guna tiket BN," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Antara calon Bebas yang disebut-sebut bakal bertanding menggunakan lambang BN ialah penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin.

Mengenai pertukaran kerusi antara parti-parti komponen, Najib berkata, beliau membuat keputusan selepas mengambil kira pilihan raya umum 2008 serta sokongan semasa bagi memastikan kelebihan berpihak kepada BN.

Katanya, jumlah kerusi yang akan ditukar secara silang antara parti komponen juga tidak banyak kerana ia perlu melihat kepada kesesuaian sesuatu kerusi selain menilai sendiri kemahuan pengundi di kawasan berkenaan.

"Kita mengamalkan sikap fleksibel dalam isu ini sebab secara asasnya jumlah kerusi harus dibahagi berdasarkan 2008 tetapi kita juga mengambil kira demografi semasa dan ia melibatkan beberapa kawasan," katanya. -Utusan Online
PERKASA MINTA ANWAR IBRAHIM JELASKAN PUNCA KEKAYAAN BAPA

KOTA BHARU - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bagaimana bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman mendapat kekayaan yang luar biasa.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau mengenali Anwar dan keluarganya sejak tahun 70-an lagi dan mereka bukan daripada keluarga bangsawan atau kaya raya malah turut menghadapi kekangan kewangan.

Menurutnya, beliau juga pernah bersama Anwar dalam kem tahanan Kemunting pada 1974 sehingga 1976.

"Tetapi satu perkara terbuku di hati dan saya ingin meminta Anwar memperjelaskan bagaimana bapanya menimba kekayaan luar biasa sebab saya mengenali bapanya sekian lama kami bersahabat malah saya pernah pergi ke rumah mereka ketika itu.

"Yang saya tahu bapa Anwar bukan daripada kalangan bangsawan atau kaya raya, malah pada waktu itu mereka menghadapi kekangan kewangan tetapi selepas Anwar menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, bapanya juga menjadi kaya raya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, selepas Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, bapanya telah dilantik menjadi pengarah untuk beberapa buah syarikat dan memegang banyak saham.

Tambahnya, perubahan bapanya itu dapat dilihat dengan lebih ketara apabila beliau berpindah ke sebuah banglo besar di Kajang.

"Berdasarkan nostalgia silam, ketika bersama-sama berjuang kerana mahukan kepemimpinan bermoral dan berakhlak, saya meminta Anwar menjelaskan bagaimana kekayaan atau perubahan itu berlaku.

"Saya bukan menuduh atau membuat fitnah tetapi saya dan rakyat mahu tahu kerana beliau adalah seorang pemimpin yang disebut oleh pembangkang sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia," katanya.- Utusan Online
PKR RANCANG CETUS KEKECOHAN PADA PRU13?


KUALA LUMPUR - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah merancang untuk memporak-perandakan proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan rancangan itu dibuat hasil 'kerjasama' PKR dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Tindak Malaysia dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Beliau mendakwa, PKR telah memberikan latihan terperinci kepada beberapa individu bagi mewujudkan suasana tegang pada hari mengundi di beberapa kawasan terpilih.

"Sesi latihan seumpama ini telah dijalankan di pelbagai tempat dan di negeri tertentu di bawah pentadbiran kerajaan negeri pakatan pembangkang termasuk di beberapa gereja.

"Kekecohan yang dirancang PKR adalah atas alasan rasa tidak puas hati pengundi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain melengahkan masa membuang undi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat dan Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan.

Tunku Aziz berkata, perasaan benci dan tidak percaya kepada SPR menguruskan pilihan raya secara adil akan terbukti andainya kumpulan itu berjaya memporak-perandakan keadaan pada hari mengundi nanti.

"Semua ini dilakukan bagi memberikan pandangan negatif terhadap SPR, selain mencipta fitnah dan kemarahan umum. Kumpulan ini juga akan sengaja membiarkan diri mereka 'diheret' oleh polis dan gambar-gambar tersebut dijangka tersebar dengan cepat," jelasnya.

Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, pihaknya mencabar semua parti politik yang bertanding pada PRU-13 menandatangani deklarasi bersama pada 13 April ini bahawa mereka tidak akan terbabit dalam sebarang tindakan mengganggu proses pengundian pada hari mengundi nanti.

"Hari ini, kami akan menghantar jemputan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden PKR, Pengerusi DAP dan Presiden Pas atau wakil masing-masing. Saya harap jika benar-benar telus dalam memastikan proses pilihan raya berjalan sebaik mungkin, tampil tandatangan deklarasi ini," katanya.

Satu surat bertarikh 15 Disember 2012 telah tersebar menerusi laman sosial mendedahkan dokumen sulit daripada PKR yang menyenaraikan pelbagai langkah untuk mencetuskan kekecohan dan rasa tidak puas hati terhadap SPR ketika hari mengundi.

Sementara itu, Ramanan membidas sikap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga yang begitu lantang memburukkan SPR dengan menuduh pilihan raya kali ini adalah yang paling kotor tetapi berdiam diri daripada mengulas 'kesilapan' pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada Disember lepas.

"Apa hak beliau untuk berkata demikian apabila parti yang disokong olehnya jauh lebih 'kotor', mengapa sehingga hari ini Ambiga bersama konco-konconya tidak membuat demonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP? Ambiga harus tampil halang rancangan PKR ini.

"Perbuatan Ambiga tidak mencerminkan pendirian beliau yang sehingga hari ini begitu vokal 'berjuang' untuk pemilihan adil dan bersih. Ambiga perlu 'bersih' sebelum bersihkan sistem dalam negara ini," tegasnya. - Utusan Online