Thursday, April 11, 2013

PRU13: HARI MENGUNDI

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei ini dan penamaan calon pula 20 April manakala tarikh pengundian awal 30 April.

Tempoh berkempen pada pilihan raya umum kali ini ialah 15 hari berbanding 13 hari pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara kecuali DUN Sarawak.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini berdasarkan daftar pemilih yang telah digazetkan pada 11 April lalu.

''Tarikh keluar writ pada 11 April, tarikh notis pilihan raya 12 April, tarikh penamaan calon 20 April, tarikh mengundi awal 30 April dan tarikh mengundi pada 5 Mei," katanya ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting tersebut pada sidang akhbar khas yang turut disiarkan secara langsung di RTM dan TV3 di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Abdul Aziz sebelum itu mempengerusikan mesyuarat bersama enam lagi anggota panel bagi menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lalu.

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang mengandungi 13,268,002 orang pemilih itu terdiri daripada 12,992,661 pemilih biasa, 161,251 anggota tentera dan pasangan, 111,136 anggota polis dan pasangan, Polis Gerakan Am (PGA) serta 2,954 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional (BN) menguasai 137 kerusi, DAP (29), Pas (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) masing-masing satu kerusi dan lapan lagi kerusi disandang Ahli Parlimen Bebas.

Abdul Aziz memaklumkan, SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung pembubaran Dewan Rakyat.

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah dibubarkan sebelum ini dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

''Seramai 234,905 orang petugas pilihan raya akan dilantik bagi tujuan membantu SPR menjalankan pilihan raya umum nanti dan sebanyak RM400 juta peruntukan telah diperoleh SPR bagi menjalankan pilihan raya ini," katanya.

Abdul Aziz berkata, penyerahan writ oleh Pengarah-Pengarah Pilihan Raya Negeri kepada 222 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 1,088 Penolong Pegawai Pengurus akan dibuat.

Bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah memutuskan untuk melantik 379 Pegawai Penguat Kuasa yang juga merupakan ketua bagi Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

''SPR akan menggunakan 8,789 pusat mengundi yang mengandungi 26,219 tempat mengundi (saluran), sebanyak 544 pusat mengundi akan dibuka pada hari mengundi awal dengan 882 tempat mengundi akan dibuka.

''Bagi pengundian biasa, sebanyak 8,245 pusat mengundi disediakan dengan 25,337 tempat mengundi akan dibuka," katanya.

Daftar pemilih pilihan raya dalam bentuk cakera padat bagi pilihan raya akan mula dijual pada 15 April dan dalam bentuk buku pada 19 April. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment