Friday, September 7, 2012

POLIS AMAL SIKAP 'DOUBLE STANDARD'?

PAS mendakwa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)bersikap 'double standard' terhadap menjaga keselamatan melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berbanding pemimpin kerajaan.
Sambil melontarkan cadangan sinis, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata jika polis tidak mahu mengawal keselamatan rakyat adalah lebih baik mereka panggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal keamanan negara.
"Kita lihat pihak polis seperti gagal menangani permasalahan ini. Bukan setakat serang ceramah-ceramah PR, pihak yang tidak bertanggungjawab ini turut menyerang pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), membakar rumah pemimpin PAS, hari ini sudah melarat kepada serangan ke atas masjid serta membaling selipar ke dalam masjid.
 "Tetapi seperti biasa, polis bagaikan tidak mahu bertindak apabila kezaliman dan penganiyaan dilakukan ke atas rakyat yang berada dalam PR. Kalau begitu, lebih baik panggil pasukan pengaman PBB untuk mengawal keamanan negara ini dan menjaga keselamatan rakyat," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS pada Jumaat. 
Menurut Mahfuz, sebahagian besar rakyat kini bukan sahaja takut kepada penjenayah malah mereka juga semakin bimbang keselamatan mereka diancam oleh keganasan pihak yang tidak bertanggungjawab
"Lebih buruk lagi, polis seolah-olah memberikan perlindungan kepada 'pengganas-pengganas' itu. 
"Memberi perlindungan kepada 'pengganas-pengganas' itu bermakna memberikan galakan kepada mereka untuk meningkatkan lagi keganasan mereka," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa polis melindungi pihak yang membuat kacau seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang melakukan serangan ke atas masjid di Kedah baru-baru ini.
"Kalau ada sedikit pun kesalahan dibuat oleh rakyat biasa ke atas kerajaan begitu pantas polis bertindak memburu, menangkap dan menggari mereka seperti penjenayah.
 "Polis lebih sibuk memburu rakyat yang kerajaan ketika indeks jenayah terus mengancam dan membimbangkan rakyat,” katanya.
 Terbaru dua kejadian berasingan berlaku minggu lalu apabila ibu pejabat PKR diserang oleh pihak tidak bertanggungjawab dan serangan Perkasa ke atas masjid kerana mereka cuba menghalang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan tazkirah berunsur politik.
Mahfuz menyifatkan keengganan polis bertindak tegas terhadap keganasan-keganasan itu meningkatkan lagi indeks jenayah di negara ini.
"Indeks jenayah yang menjadi-jadi dan menakutkan itu bukan dakwaan kita tetapi dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri baru-baru ini," kata beliau. 
Sebelum ini, Musa dilaporkan berkata kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai. 
Musa didakwa turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan. -Harakahdaily
BAJET 2013: PAS BIMBANG DAYA TAHAN EKONOMI NEGARA

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan daya saing dan daya tahan negara.

Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan kredit dan kewangan Malaysia.

Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan serantau yang tidak menentu.

Pemuda PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.

Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70%  dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.

Pemuda PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.

Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak dibendung secara drastik dan holistik.

Pemuda PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.

Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan yang baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.

Malah, Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh Perdana Menteri sekarang.

Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan  Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu kita?” Selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber: Harakahdaily
PAS KATA PRU-13 TAK MUNGKIN NOVEMBER, TAPI...

PAS beranggapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mungkin tidak diadakan pada November ini kecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat tekanan kuat dari Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika Najib tidak terkesan dengan tekanan Muhyiddin itu maka PRU13 akan diadakan pada tahun hadapan.

"Saya tidak nampak pilihanraya akan diadakan pada waktu terdekat walaupun sejak kebelakangan ini Najib menimbulkan andaian bahawa beliau akan bubar parlimen kerana banyak perkara yang menghalang.

"Namun beliau terpaksa membubarkannya jika Muhyiddin terus melakukan gerakkan untuk menjatuhkannya sebelum pilihanraya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Katanya, mungkin Najib berpendapat adalah lebih baik beliau jatuh bersama-sama dengan barisan kabinet Umno pada pilihanraya nanti jika dibandingkan kejatuhan beliau disebabkan gerakan Muhyiddin tersebut sebelum PRU13.

Tambah Mahfuz lagi, gerakkan desakan yang dilakukan oleh Muhyiddin itu kemungkinan besar boleh berlaku kerana beliau sebelum ini juga pernah mendesak mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi sewaktu berada di Singapura agar Abdullah meletak jawatan dengan segera.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut membuat andaian jika tidak ada sebarang gerakan dilakukan adalah mustahil pilihanraya diadakan pada tahun ini kerana di sebabkan oleh faktor musim haji dan juga musim peperiksaan. -Harakahdaily