Wednesday, March 6, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: MALAYSIA BERTINDAK DEMI MARUAH, KEDAULATAN

KUALA LUMPUR: Serangan terhadap kumpulan pengganas bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, semalam adalah demi menjaga maruah dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan tanah air seperti dituntut oleh rakyat selepas usaha mengelakkan pertumpahan darah menerusi rundingan dengan kumpulan yang mendakwa Tentera Sultan Sulu itu tidak diendahkan.
Bimbang keselamatan

“Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh. Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan sebelum serangan bermula pada jam 7 pagi.

Sejak pencerobohan 12 Februari lalu, Najib berkata, kerajaan mengambil pendekatan menyelesaikan konflik tanpa pertumpahan darah, justeru polis mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan pengganas bersetuju keluar dari Sabah dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang serius.

Pengganas tak niat keluar

Namun, selepas konflik berlanjutan, pengganas jelas tidak berniat untuk keluar, malah melepaskan tembakan Jumaat lalu, menyebabkan dua anggota keselamatan terbunuh, diikuti enam lagi polis dibunuh di Semporna sehari kemudian.
“Selepas serangan pertama, saya menegaskan penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan, pihak berkuasa akan bertindak. Sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkat perjuangan penyelesaian konflik secara perundingan, usaha kita mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya,” katanya.

Bermula serangan udara

Sementara itu, ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara + Asnaf Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Najib berkata, pasukan keselamatan mula melancarkan operasi besar-besaran dengan serangan udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), diikuti ledakan mortar.

“Pada saat saya sedang berucap ini, pasukan kereta perisai Tentera Darat dengan anggota polis mengikuti di belakang, sedang melakukan tindakan untuk memberkas serta menumpaskan kumpulan yang melanggar kedaulatan negara.

“Saya ingin menjelaskan tindakan kita yang berhemah pada peringkat awal, niat kita tidak lain tidak bukan adalah untuk tidak membenarkan setitik darah pun tertumpah di bumi Sabah, sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia mahu pun kumpulan penceroboh.

Tak rela tanah air dinodai

“Namun, saya berasa amat dukacita kerana niat baik dan murni ini dibalas dengan tindakan menembak, membunuh secara sangat kejam terhadap pasukan polis kita.

“Oleh itu, kita perlu bertindak dengan segala kekuatan yang ada kerana dalam soal kedaulatan dan keamanan negara, kita tidak akan membiarkan seinci pun tanah bumi Malaysia tergugat dinodai oleh sesiapa sekali pun,” katanya. -BHarian
'PENCEROBOH SULU PENGGANAS'

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Filipina bersepakat menganggap pencerobohan kumpulan yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai pengganas.

Persetujuan itu dibuat dalam pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Setiausaha Luar Filipina, Albert Fl Del Rosario di sini semalam.

"Malaysia telah membuat keputusan untuk menganggap kumpulan ini sebagai pengganas selepas dengan kejadian tersebut dan dipersetujui oleh Rosario," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Filipina telah memberikan jaminan untuk membawa kumpulan pengganas dari Sulu ke muka pengadilan, selain mengenakan tindakan undang-undang yang keras. -UtusanOnline
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: MALAYSIA GEMPUR

GEMPURLahad Datu: Selepas tiga minggu bertolak ansur dengan pengganas Sulu dari selatan Filipina, pasukan keselamatan semalam melancarkan serangan besar-besaran menerusi Ops Daulat terhadap mereka yang berkubu di Kampung Tanduo, di sini semalam.

Serangan tiga peringkat bermula dengan pengeboman lokasi pengganas menggunakan tiga pesawat pejuang F-18D Hornet dan lima Hawk Mk-208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 10 minit bermula jam 7 pagi yang terbang dari pangkalan TUDM di Labuan.

Ia diikuti serangan menggunakan mortar 81mm sebelum menghantar anggota masuk untuk mengesan pengganas.

Serangan peringkat ketiga ialah operasi ‘menggeledah dan membersih’ yang disertai kira-kira 1,000 pegawai dan anggota 21 Grup Gerak Khas, pasukan atur cepat 10 Briged Para serta Komando VAT69 dengan bantuan kereta perisai APC Condor.

Operasi membabitkan zon penampan kawasan selamat seluas 10 kilometer (km) persegi dari lokasi sasaran serta zon operasi pengeboman seluas empat kilometer persegi.

Bagaimanapun, sehingga jam 9 malam tadi, pasukan keselamatan belum mengumumkan bilangan pengganas yang terbunuh atau ditawan. Namun, menurut sumber 20 hingga 30 mayat telah ditemui.

Sambil menyifatkan Ops Daulat mencapai matlamat awal, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera atau terkorban dalam serangan itu.

"Operasi menggeledah dan memburu saki baki pengganas masih diteruskan. Saya yakin musuh masih berada di kawasan sasaran kerana polis dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk tembakan yang dilepaskan kumpulan pengganas.

"Oleh itu, pergerakan pasukan keselamatan agak perlahan ketika ini (petang) kerana keutamaan adalah keselamatan anggota kita," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di sini, semalam.

Kira-kira 200 pengganas yang mendakwa Tentera Kesultanan Sulu mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu dan dikepung pihak keselamatan negara.

Pelbagai usaha kerajaan, termasuk berunding supaya mereka pulang secara sukarela menemui jalan buntu. Malah, mereka bertindak ganas apabila membunuh dua anggota polis di kampung itu, Jumaat lalu, diikuti serangan hendap terhadap pasukan risikan polis di Kampung Simunul, Semporna, sehari kemudian dan membunuh enam lagi anggota.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Ismail berkata, sejurus selepas serangan udara, tentera dan polis melancarkan serangan mortar kira-kira 10 minit untuk memudahkan pergerakan pasukan keselamatan memasuki zon operasi. -BHarian

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: KEMENTERIAN LUAR DIMINTA DESAK FILIPINA EKTRADISI JAMALUL KIRAM


KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak hari ini meminta Kementerian Luar mendesak kerajaan Filipina menyerahkan Jamalul Kiram III untuk dibicarakan di negara ini kerana dipercayai telah mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah sehingga mengorbankan lapan anggota polis Malaysia.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, walaupun Jamalul Kiram tidak menyertai pencerobohan di LahadDatu dan berada di Filipina, namun sejak peristiwa itu, dia menunjukkan sokonganmelalui beberapa kenyataan.

"Jamalul Kiram tidak menyertai pencerobohan di Lahad Datu, namun ia tidak bermakna dia tidak buat kesalahan sebab dalam undang-undang kita, dia tetap bersubahat melakukan satu kesalahan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata adalah wajar jika kerajaan memohon Filipina mengekstradisi Jamalul Kiram, yang mendakwa dirinya 'Sultan Sulu', untuk dibicarakan di mahkamah negara ini.

Penganalisis politik Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pada dasarnyabersetuju dengan desakan itu, namun mahu pertuduhan kukuh berlandaskanundang-undang dikaji terlebih dahulu.

"Pakar undang-undang di Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Luar perlumain peranan dalam hal-hal diplomasi dan mengkaji hal berkaitan undang-undangantarabangsa supaya pertuduhan kukuh dapat dibuat," katanya.

Mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap Jamalul Kiram, bekas PengarahJabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan berkata pencerobohan itumengakibatkan kekejaman di wilayah berdaulat, dan ini tidak boleh diterima.

"Tindakan itu begitu ganas, ia dilakukan dengan mendapat sokongan daripadaJamalul Kiram, dan sokongan itu membawa kepada kematian lapan anggota poliswalaupun pada hakikatnya polis telah menawarkan untuk berunding," jelasnya.

Dekan Kolej Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa Universiti UtaraMalaysia Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Muhamed pula berkata dari suduthubungan diplomatik, kerajaan Malaysia boleh meminta kerajaan Filipinamengekstradisi Jamalul Kiram.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa) DatukMohamad Jamil Mohamad Hassan bersetuju supaya peruntukan undang-undangantarabangsa dikaji, terutama yang melibatkan soal ekstradisi.-BERNAMA/mStar