Wednesday, March 6, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: MALAYSIA BERTINDAK DEMI MARUAH, KEDAULATAN

KUALA LUMPUR: Serangan terhadap kumpulan pengganas bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, semalam adalah demi menjaga maruah dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan tanah air seperti dituntut oleh rakyat selepas usaha mengelakkan pertumpahan darah menerusi rundingan dengan kumpulan yang mendakwa Tentera Sultan Sulu itu tidak diendahkan.
Bimbang keselamatan

“Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh. Rakyat Malaysia, khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan sebelum serangan bermula pada jam 7 pagi.

Sejak pencerobohan 12 Februari lalu, Najib berkata, kerajaan mengambil pendekatan menyelesaikan konflik tanpa pertumpahan darah, justeru polis mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan pengganas bersetuju keluar dari Sabah dengan aman tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang serius.

Pengganas tak niat keluar

Namun, selepas konflik berlanjutan, pengganas jelas tidak berniat untuk keluar, malah melepaskan tembakan Jumaat lalu, menyebabkan dua anggota keselamatan terbunuh, diikuti enam lagi polis dibunuh di Semporna sehari kemudian.
“Selepas serangan pertama, saya menegaskan penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan, pihak berkuasa akan bertindak. Sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkat perjuangan penyelesaian konflik secara perundingan, usaha kita mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya,” katanya.

Bermula serangan udara

Sementara itu, ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara + Asnaf Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Najib berkata, pasukan keselamatan mula melancarkan operasi besar-besaran dengan serangan udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), diikuti ledakan mortar.

“Pada saat saya sedang berucap ini, pasukan kereta perisai Tentera Darat dengan anggota polis mengikuti di belakang, sedang melakukan tindakan untuk memberkas serta menumpaskan kumpulan yang melanggar kedaulatan negara.

“Saya ingin menjelaskan tindakan kita yang berhemah pada peringkat awal, niat kita tidak lain tidak bukan adalah untuk tidak membenarkan setitik darah pun tertumpah di bumi Sabah, sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia mahu pun kumpulan penceroboh.

Tak rela tanah air dinodai

“Namun, saya berasa amat dukacita kerana niat baik dan murni ini dibalas dengan tindakan menembak, membunuh secara sangat kejam terhadap pasukan polis kita.

“Oleh itu, kita perlu bertindak dengan segala kekuatan yang ada kerana dalam soal kedaulatan dan keamanan negara, kita tidak akan membiarkan seinci pun tanah bumi Malaysia tergugat dinodai oleh sesiapa sekali pun,” katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment