Monday, July 23, 2012

MAJLIS ULAMA UMNO : REAKSI NEGATIF

Usul penubuhan Majlis Ulama Umno juga mendapat reaksi negatif oleh beberapa pihak.  
Berikut merupakan pendapat pihak yang tidak @ kurang bersetuju dengan usul itu:

Pengarah Strategi Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan
“Cadangan mewujudkan ulama sebagai sayap parti adalah kurang sesuai kerana ia dilihat mengecilkan skop tugas ahli agama. Ia juga akan menyekat peranan ulama yang terpaksa akur dengan perjuangan parti. Bagaimanapun, kita tidak menolak mereka (ulama) kerana dalam mana-mana pentadbiran sesebuah negara, peranan ulama adalah besar dan perkara itu jelas dilihat dalam kalangan penasihat adalah terdiri daripada ulama.”

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan, Datuk Muhammad Suffian Awang
“Politik tidak seharusnya dicampur adukkan dengan agama kerana ia boleh membawa kesan negatif pada masa akan datang. Kita tidak mahu di kemudian hari pandangan agama akan bertukar menjadi tafsiran sendiri kerana kepentingan tertentu. Ia akan membuatkan masyarakat tidak percaya kepada agama jika peranan ulama disalah guna.”

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus
“Jika ulama menyertai politik, mereka secara tidak langsung dibelenggu dunia politik, sekali gus membuatkan tindakan golongan itu dipengaruhi kepentingan parti msing-masing. Justeru adalah lebih baik sekiranya ulama kekal sebagai penasihat supaya kebenaran terutama perkara berkaitan agama dapat ditegakkan tanpa rasa ragu. Jika cadangan itu benar-benar ingin dilaksanakan, sayap ulama itu perlu mendapat kebebasan dari sudut agama untuk menegakkan kebenaran, tanpa tekanan politik.”

Timbalan ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin
“Secara peribadi, tidak perlulah diwujudkan sayap baru kerana sistem yang ada kini sudah kuat dan diterima ramai. Tahap penghormatan kepada ulam adalah peringkat yang paling baik. Bukan tidak mahu melibatkan mereka dengan politik tetapi nasihat dan panduan daripada mereka lebih meluas bukan hanya dalam politik sahaja.”

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin
“Tidak perlu ditubuhkan sayap ulama memandangkan Umno sendiri sudah mempunyai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Ulama boleh menyertai Umno untuk menguatkan parti. Saya cadangkan supaya ulama-ulama ini sertai sayap-sayap yang ada.”

KD: Jika difikirkan kembali, ada kebenarannya di sebalik pendapat-pendapat ini. Sama ada Majlis Ulama akan dilaksanakan atau tidak, sama-samalah kita tunggu.
MAJLIS ULAMA UMNO : REAKSI POSITIF

Cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu majlis ulama Umno diwujudkan semula, mendapat reaksi amat positif daripada pimpinan pusat.

Cadangan yang sudah diusulkan sejak dua tahun lalu itu akhirnya mendapat perhatian selepas Fathul Bari mengutarakannya pada debat anjuran Sinar Harian, 'PRU13: Orang muda pilih siapa?' pada Khamis minggu lalu.

Berikut merupakan reaksi dari pemimpin-peminpin Umno:

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek:
Beliau amat bersetuju jika Majlis Ulama atau Lembaga Penasihat yang terdiri daripada kalangan ulama ditubuhkan bagi membolehkan parti merujuk dasar dan keputusan-keputusan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Menurutnya, anggota majlis itu nanti mestilah terdiri daripada kalangan yang diakui mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dan berpengetahuan luas.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan:
Beliau bersetuju usul ini dibawa dan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan  datang. Menurut beliau, jika semua sudah setuju, barulah memikirkan bentuk struktur dan organisasinya.

Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi:
“ Usul penubuhan Majlis Ulama Umno itu akan diberi pertimbangan serius.  Saya percaya, jika cadangan ini direalisasikan, ia sekaligus dapat menutup mulut pihak yang selama ini menuduh Umno meminggirkan Islam.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim:
“Saya akan membawa usul ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi untuk diberi pertimbangan terutama oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed:
“Golongan ulama amat penting dalam perjuangan Umno. Saya sokong cadangan itu.”

KD: Usul yang baik haruslah disegerakan pelaksanaannya. Jika sudah mencapai kata sepakat dan gerak kerjanya sudah ada, maka tiada masalah usul ini diteruskan. Mungkin dengan penubuhan Majlis ini ia akan memantapkan lagi Umno sebagai parti terbesar di Malaysia.

ANALISIS - PRU13 SEJURUS SELEPAS CUTI AIDILFITRI?
Oleh: G MANIMARAN, Sinar Harian
Teka-teki bila kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nampaknya berlarutan. Pastinya ia tidak ada kesudahan selagi PRU13 dipanggil. Seperti tulisan-tulisan sebelum ini, ramalan PRU13 berlarutan buat tahun ketiga.

Tidak silap saya, ramalan bahawa PRU13 akan diadakan "dalam waktu terdekat" sudah kedengaran ketika Ramadan 2010. Ketika itu ramai meramalkan Bajet 2011 adalah "bajet pilihan raya" dan PRU13 akan diadakan akhir 2010 ataupun awal 2011. Ia ternyata meleset!

Ramalan yang sama muncul ketika Ramadan tahun lalu. Bulan Ramadan menjadi tumpuan banyak pihak. Ramai mengatakan bulan Ramadan juga menjadi sebahagian tempoh berkempen secara tidak langsung. Majlis dan program sepanjang Ramadan diatur sedemikian rupa seolah-olah menggambarkan PRU13 tidak lama lagi. - Sekali lagi ia meleset!

Hari ini, kita berada di bulan Ramadan 2012. Sudah pasti PRU13 bukan pada bulan ini. Aidilfitri dijangka jatuh pada 19 atau 20 Ogos ini.Ia akan disusuli dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Jika begitu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan Parliman awal September?

Ini spekulasi terbaru. Tarikh Bajet 2013 pada 28 September juga diambil kira. Tingkap September 2012 masih menjadi pilihan ramai. Kebanyakan tidak mahu PRU13 diadakan tahun depan.

Dua laporan Bernama semalam tidak memberi gambaran tepat yang PRU13 akan diadakan bulan September.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Umno telah mengerakkan kesemua 6,667 Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk mengukuhkan jentera bagi menghadapi PRU13. Menurut beliau, telah membuat keputusan untuk mengaktifkan PDM di kesemua 191 bahagian Umno dan 20,000 cawangan di seluruh negara.

Laporan awal pagi semalam pula memetik tokoh politik Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa menjangkakan PRU-13 akan diadakan pada tahun depan, bukannya dalam tempoh terdekat ini. Katanya, "Pilihan raya kali ini tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat atau tahun ini sebaliknya ia lebih elok diadakan pada tahun depan," katanya.

Tiga hari yang lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen  selepas Aidilfitri akan datang. Alasan digunakan Abdul Hadi ialah BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.

"Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini. Sudah tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik bercuti hari raya," katanya.

Beberapa hari sebelum itu Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik. Dalam kenyataannya, Muhyiddin turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang."

Perbualan dengan beberapa penganalisis semalam menunjukkan beberapa gambaran mengenai spekulasi PRU13.

Setengah penganalisis dan pemerharti dengan yakin mengatakan September masa yang sesuai mengambil persekitaran politik dan ekonomi tempatan dan global. Ada yang mengatakan awal November iaitu selepas berakhirnya musim haji. Ada yang mengaitkan November dengan angka "11" pilihan Najib. Sama ada ia masih menjadi satu faktor sudah untuk diterima sepenuhnya.

Bagaimanapun ramai memilih tempoh tiga minggu pertama September, sebelum sidang Parlimen akan datang, sebagai masa yang terbaik bagi semua pihak - sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) - dari segi persiapan, semangat, 'mood' ahli dan pengikut parti, dan juga 'bebas' masalah-masalah bebas.

Pun begitu beberapa penganalisis juga mengakui bahawa meskipun Najib selaku Perdana Menteri, Presiden Umno dan Menteri Kewangan telah menyelesaikan beberapa isu pokok, masih ada isu yang belum menemui penyelesaian sepenuhnya. Jadi beliau kemungkinan memerlukan beberapa bulan untuk menyelesaikan.

Mandat Kerajaan Pusat semasa mempunyai masa sembilan bulan lagi sebelum ia berakhir di penghujung 2013. Apa pun boleh berlaku sepanjang lapan bulan ini.

Justeru, ruang atau tingkap terbaik semakin mengecil menjelang 28 April 2013. Jadi, Perdana Menteri akan menggunakan ruang kecil, yang terbaik ini - yakni September 2012 - untuk memanggil PRU13.


KD: Terlalu banyak spekulasi berhubung tarikh pilihan raya. Namun, analisis terbaru dari penulis ini sedikit sebanyak menggerakkan hati KD bahawa PRU-13 akan berlangsung tidak lama lagi. KD sejujurnya tidak kisah bila mana pun tarikhnya, kerana sudah bersedia sejak awal lagi. Malah tidak sabar rasanya untuk mengundi.

CUEPACS SAMBUT BAIK BONUS RAYA
 
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pemberian imbuhan sempena Aidilfitri bergantung kemampuan kerajaan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, bonus itu cara kerajaanmenghargai kerja keras penjawat awam.

"Malah bonus ini dianggap sebagai tradisi kerana dua tahun lalu, penjawat awam mendapat sagu hati RM1,000 menjelang Aidilfitri iaitu RM500 sebelum dan selepas perayaan itu. Pemberian bonus raya perlu diberikan mengikut gred masing-masing dari sebulan hingga tiga bulan gaji," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas maklum balas Najib mengenai pemberian bonus kepada penjawat awam, kelmarin.

Menurutnya, pemberian bonus itu bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi penjawat awam dan pesara juga dapat menikmati kemeriahan Aidilfitri nanti.

“Kami berharap bonus raya dapat menceriakan sambutan hari raya dengan lebih bermakna memandangkan perbelanjaan mereka akan meningkat untuk persediaan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Cuepacs mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan.

KD: Berita ini pasti menggembirakan para penjawat awam. Setiap tahun kerajaan tidak pernah lupa menjaga kebajikan penjawat awam. Semoga ‘Bonus raya’ yang diperolehi nanti dibelanjakan dengan berhemah.