Wednesday, June 26, 2013

PAKATAN PEMBANGKANG TIDAK SEPAKAT BERI REAKSI TITAH SERI PADUKA

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pakatan pembangkang tidak sependapat ketika memberikan reaksi berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah dalam majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13, di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seolah-olah memperlekehkan titah Seri Paduka dengan menyifatkannya sebagai 'skrip' yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dakwa Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, titah Seri Paduka sebenarnya telah disediakan oleh BN, tidak melibatkan kepentingan rakyat, malah, terdapat banyak kepincangan kerajaan yang cuba disorokkan.

"Titah Seri Paduka telah disediakan oleh kerajaan BN. Mengapa hendak 'mengheret' Seri Paduka dalam perkara ini?.

"BN harus sedar mereka cuma kerajaan minoriti kerana kami adalah kerajaan yang telah menang dengan undi popular sebanyak 51 peratus.

"Kamu (media arus perdana) terima hakikat ini dahulu, kemudian baharu dapatkan komen kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Pada 6 Mei lalu, DAP khususnya Guan Eng terus mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah 'yang paling kotor' dalam sejarah negara dan mereka seharusnya layak membentuk kerajaan baharu berdasarkan undi popular.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun memberikan reaksi berbeza apabila menyifatkan titah Seri Paduka itu perlu diterima semua Ahli Parlimen dan mereka harus bekerjasama dalam membangunkan negara.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu turut berharap agar masing-masing dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, sekali gus memainkan peranan sebenar sebagai wakil rakyat.

"Semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu bertindak sedemikian, kami di pihak Pas akan terus komited untuk memperkasakan Islam dan negara, selari dengan agenda perjuangan.

"Kami menerima baik titah Seri Paduka dan semestinya Ahli Parlimen bekerjasama untuk melaksanakan. Saya juga mengharapkan Malaysia bertambah maju dan stabil,'' katanya. – Utusan Online
MALAYSIAN SPRING: RUANG SUDAH DIBERI, JANGAN LANGKAU BATASAN - PM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan tidak gentar dengan penggunaan ungkapan 'Malaysian Spring' untuk menggambarkan usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, dan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan 'rakyat' untuk melahirkan rasa tidak puas hati, selagi tindakan mereka tidak melangkaui batas undang-undang negara.


Najib Tun Razak
Perdana Menteri berkata, mereka yang menggunakan perkataan 'rakyat' semata-mata untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diberi ruang membantah selagi tindakan seumpama itu tidak melangkaui batas undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Jika tindakan sudah langkaui batas undang-undang Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak teragak-agak untuk bertindak agar kedaulatan negara terus dihormati," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Soalan Abdul Latiff yang menyentuh pandangan kerajaan mengenai penggunaan perkataan 'rakyat' untuk melahirkan rasa tidak puas hati mengenai keputusan PRU13 dan cubaan mewujudkan 'Malaysian Spring' menjadi soalan pertama yang dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat penggal pertama ini.

Soalan serupa turut dibangkitkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Najib berkata sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada Malaysia.

"Malah jika diamati dan diteliti, keadaan negara yang bergolak angkara rusuhan dan pergolakan jalanan, tidak ada perkara positif yang terhasil daripadanya. Ekonomi dan politik di negara-negara itu masih tercalar akibat persengketaan dan tidak nampak sebarang tanda untuk pulih seperti sedia kala," katanya.

Terdahulu, Najib berkata perbezaan pandangan bukan penyebab malapetaka dan punca perpecahan, sebaliknya jika ditangani dan diurus dengan baik, ia mampu mendatangkan rahmat dan kebahagiaan kepada rakyat dan memajukan negara.

Kerajaan, katanya, mengakui kematangan dan kebijaksanaan rakyat dengan memberi hak untuk memilih kepimpinan negara melalui peti undi yang menjadi kaedah terbaik yang boleh diamalkan mana-mana negara.

"Ironinya, mereka yang lantang menyuarakan mengenai ketidakadilan, menerima pula keputusan di kawasan yang dimenangi mereka," katanya sinis.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff, kerajaan belum berhasrat untuk mewajibkan rakyat untuk mengundi.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

"Apa-apa undang-undang jika difikirkan baik, perlu dilihat dahulu sama ada ia boleh dikuatkuasakan secara praktikal atau tidak," katanya. – Bernama/Sinar Harian

SELEPAS JEREBU KINI KRISIS AIR PULA MENJELMA

PETALING JAYA: Mula-mula negara mengalami masalah jerebu, kini masalah itu diikuti dengan kebimbangan kekurangan bekalan air pula.

Permintaan bagi air terawat di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya telah meningkat akibat jerebu, yang mana ia sudah berada pada tahap rendah.

Pada petang Selasa, timbul harapan untuk jerebu kembali pulih apabila terdapat guruh dan kilat yang menandakan hujan lebat akan turun tetapi apa yang berlaku hanyalah hujan renyai-renyai di Selangor dan Kuala Lumpur.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, permintaan bagi air terawar telah melonjak kerana orang ramai minum lebih banyak air dan lebih kerap membersihkan diri mereka. -mStar
TITAH AGONG BUKAN SATU ARAHAN, HANYA SEKADAR PRINSIP - ANWAR

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bukan satu arahan yang perlu dipatuhi serta tidak boleh dipertikaikan.

Menurut Anwar, berdasarkan amalan demokrasi, Yang di-Pertuan Agong akan bertitah berdasarkan usul dan nasihat Perdana Menteri bagi pihak kerajaan.

"Kalau titah tuanku itu sebagai arahan ia tidak ada perbahasan. Tapi berdasarkan prinsip dalam negara demokrasi, titah baginda itu diberi pertimbangan untuk dibahaskan.

"Ia bukan arahan. Tapi kalau menyentuh mengenai keamanan seperti jangan langgar undang-undang...itu satu prinsip.

"Soal lain ialah mengenai dasar yang boleh dibahas, dipertikai dan dibantah dari segi hujah yang dikemukakan kerana itu adalah fakta yang dikemukakan oleh pihak kerajaan," katanya ketika ditemui selepas istiadat pembukaan mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Tuanku Abdul Halim yang bertitah supaya wakil rakyat sentiasa memelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan serta tidak melakukan perbuatan yang boleh memusnahkan negara.

Menurut Seri Paduka, sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat dibangunkan semula dalam tempoh yang singkat.

Mengulas mengenai titah Seri Paduka yang menyeru supaya semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun berkata perkara itu turut merupakan usul yang boleh dipertikai dan dibahaskan.

"Agong bertitah berdasarkan usul yang dibawa Perdana Menteri untuk pertimbangan Parlimen.

"Kita akan pertimbangkan dan kita bahas supaya Agong juga akan dapat maklumat tentang penipuan besar dan kecurangan besar semasa PRU," katanya lagi. -mStar
WAKIL RAKYAT JANGAN MUSNAHKAN NEGARA - AGONG

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan wakil rakyat supaya sentiasa memelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan serta tidak melakukan perbuatan yang boleh merosakkan negara.

Menurut Seri Paduka, sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat dibangunkan semula dalam tempoh yang singkat.

"Beta ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai ahli Dewan yang mulia ini agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

"Janganlah berbuat sesuatu perkara yang boleh memusnahkan negara.

"Beta menyeru semua Ahli Yang Berhormat supaya merapatkan saf, berganding bahu membangun dan memajukan negara," titah baginda ketika pembukaan mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Selain itu Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersoalkan kedudukan serta menyelewengkan agama Islam untuk kepentingan mana-mana pihak.

"Beta menyeru agar rakyat membuang sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan," titah baginda.

Menerusi ucapan baginda juga, Tuanku Abdul Halim sekali lagi menyeru rakyat di negara ini supaya menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang diadakan mengikut lunas demokrasi.

Selain itu Seri Paduka menyeru semua pihak supaya bekerjasama dan berganding bahu bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Rakyat, Seri Paduka turut menyeru semua wakil rakyat supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, berintegriti dan sentiasa menunjukkan akhlak yang terpuji demi agama, maruah diri dan institusi Parlimen.

"Sematkanlah dalam sanubari bahawa kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat ke Dewan ini adalah satu tanggungjawab bagi menunaikan janji kepada rakyat.

"Semua Ahli Yang Berhormat hendaklah bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemakmuran negara berkekalan, kesejahteraan hidup terus meningkat serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama kian utuh," titah baginda. -mStar