Thursday, July 12, 2012

CERAI KERANA PERBEZAAN POLITIK

Alamak, terkejut KD dengan tajuk berita ini. Boleh pula hal rumah tangga orang dikaitkan dengan fahaman politik. Itu pun setelah 15 tahun berumah tangga, baru kini si suami ‘tunjuk belang’. Adakah hanya kerana si isteri tidak sependapat dengan si suami, si suami sesuka hati menggunakan kuasa vetonya menceraikan isteri. Sungguh tidak setuju, tidak wajar, tidak patut dan bermacam-macam tidak lagi.

Walaupun marah dengan situasi ini, namun KD pasti di luar sana pasti banyak lagi kes seumpama ini berlaku. Bukanlah mahu tunjuk pandai, tetapi KD terkilan masyarakat kini terutama umat Islam kini amat sambil lewa berhubung bab agama dan perkahwinan. Janganlah taksub berpolitik hingga orang tersayang diabaikan.
REAKSI 
Kejadian Amuk di Komplek B JPM Putrajaya Isnin lalu terus mendapat reaksi. Walaupun penyerang, Khalil Afandi Hamid sudah meninggal dunia manakala pasangannya Muhdalina Ahmad cedera dan kini sedang menerima rawatan di hospital, namun kejadian ini terus menjadi igauan kepada semua.

Berikut  adalah beberapa komen dari para ilmuan negara yang mungkin boleh dijadikan panduan dan ingatan kepada kita semua:
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Cetek pengetahuan dalam ilmu agama, terikut-ikut dengan ajaran sesat dan terlalu ingin menjadi manusia hebat dengan kebolehan luar biasa mendorong seseorang itu menjadi imam 'Mahadi' palsu. Katanya, seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai dirinya Imam Mahadi kerana terdapat ciri dan sifat tertentu membezakan Imam Mahadi dengan manusia biasa.
Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Salleh Ahmad berkata, kejadian seperti itu berpunca dari kejahilan mereka dan ada perkara yang cuba untuk berlagak jadi orang hebat dengan mengaku bahawa dia Imam Mahadi. Jadi, salah satu cara membendung kejadian seperti itu ialah memberi pendidikan ilmu akidah berterusan kepada umat Islam sejak kecil. Selain itu, pihak berkuasa harus mempergiatkan gerakan dakwah bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

Suhaimi LatipYang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak, Suhaimi Latip berkata, perbuatan amuk yang dikaitkan dengan gangguan fikiran yang mengakibatkan tindakan atau serangan yang membabi buta sehingga mengancam nyawa yang tidak berdosa bukan suatu budaya dalam kalangan bangsa Melayu yang terkenal dengan ketinggian budi dan akhlak. Malah, kejadian seumpama itu tidak wajar dikaitkan secara langsung dengan kelainan fahaman yang masih lagi mendokong pemikiran rasional dari sudut akal, terutama melibatkan umat Islam sendiri.
Affandi 
Penulis blog, Afandi Ahmad, isu membabitkan Khalil Afandi Hamid yang mati selepas terkena tembakan dalam kejadian amuk di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Isnin lalu, tidak akan memberi impak negatif kepada dunia penulisan alam maya. Menurutnya, dalam kaitan insiden itu, tidak timbul isu penyalahgunaan blog kerana ia sudah dianggap satu medium bebas untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mengenai sesuatu perkara.


KD: Semoga kejadian sebegiini tidak berulang. 
PM MANSUH AKTA HASUTAN, GUBAL AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan, dan digantikan dengan akta baru, yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

"Dengan adanya akta baharu ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Najib berkata, tanpa keseimbangan yang ideal, ia mungkin merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif atau membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremisme.

Katanya, keseimbangan itu perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada maklumat yang boleh menyebabkan limpahan maklumat, taraf pendidikan dan sosioekonomi yang semakin tinggi serta tahap harapan yang semakin meningkat.

"Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Beliau berkata, rang undang-undang baharu itu akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.

Ia juga meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam Perlembagaan.

KD: Kerajaan yang prihatin akan sedia membuka ruang demokrasi yang matang kepada rakyatnya. Namun, setiap cadangan, pelaksanaan mahupun penggubalan pasti mempunyai kesan positif dan negatif. Jadi, penelitian dan pemantauan jangka masa panjang perlu dititik beratkan. 
PROSES PENGUNDIAN SEDIKIT BERBEZA UNTUK PRU-13 - SPR

PUTRAJAYA 11 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat sedikit pengubahsuaian terhadap proses pengundian bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang, bagi memastikan proses yang lebih telus berdasarkan beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, untuk PRU-13, susunan bilik mengundi agak berbeza apabila wakil parti politik ditukar kedudukannya dengan petak mengundi, bagi membolehkan mereka mendapat pandangan yang lebih baik mengenai pengundi dan proses pengundian.

Beliau berkata, tiga kerani pengundian akan ditempatkan di bilik tersebut dengan kerani pertama akan menyemak nama dan wajah pemilih serta jari mereka sama ada telah ditanda dengan dakwat kekal, selain melaungkan muka surat, nombor siri, nombor kad pengenalan dan nama pengundi supaya wakil parti politik boleh menyemak data tersebut di dalam senarai pemilih masing-masing.

Kerani kedua pula akan mencalit dakwat kekal pada jari telunjuk kiri pengundi, manakala kerani ketiga akan mengecap kertas undi dan menyerahkan keratan kertas undi kepada pengundi terbabit, katanya pada sesi taklimat bersama media di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata nombor siri dan cap pada kertas undi juga adalah unik dan berbeza antara satu saluran pengundian dengan saluran pengundian yang lain, selain kertas undi yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang hanya boleh dilihat melalui sinaran ultra violet bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes kertas undi palsu atau kertas undi tambahan. - BERNAMA

KD: Sesuatu yang baru.. tak sabar nak pergi mengundi!!!
HIMPUNAN OREN??



Selepas beberapa siri himpunan dianjurkan pembangkang seperti Pas Ganti Umno, Himpunan Bersih, dan Himpunan Hijau (Kedah), kini mereka menganjurkan HIMPUNAN OREN pula.  


Ironinya, jika berhimpun untuk bersatu dan manfaat bersama, bagusla juga. Tapi, jika semata-mata untuk memberontak, membuang masa maka tidak wajar langsung. Banyak lagi program yang berfaedah.


Mungkin selepas perhimpunan ini, ada lagi himpunan lain. Nampaknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat kita mudah disogok dengan gaya suka berhimpun dan memprotes. 

Sebenarnya,  jalan terbaik dalam menyelesaiakan apa juga masalah ialah dengan bermuzakarah atau dengan bahasa mudahnya ialah berbincang. Pihak pelaksana dan pihak yang tidak berpuashatai perlu duduk semeja, berbincang secara berhemah, membuat analisis atau penelitian seterusnya mencari kata sepakat.

Islam pun menggalakkan umatnya menyelesaikan masalah dengan cara yang baik. Lagi pula, kita rakyat Malaysia penuh dengan budaya ketimuran. Jadi, peliharalah ia. Jangan sampai orang luar ketawa dan mengambil kesempatan ke atas kita.

KDBuah OREN memang sedap.. Itu pun kena jenis manis, kalau masam memang tak mahu..