Thursday, August 30, 2012

POLIS RANCANG TUBUH KIOSK SELAMAT UNTUK MANGSA JENAYAH DAPAT BANTUAN SEGERA

KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa premis perniagaan untuk menubuhkan kiosk keselamatan di mana mangsa jenayah boleh mendapatkan bantuan dengan segera.

“Rancangan kami ialah apabila seseorang menjadi mangsa jenayah, mereka dengan segera pergi ke premis ini untuk mendapatkan bantuan,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kepada para pemberita selepas menyampaikan sijil kepada pemandu yang mematuhi undang-undang di Bukit Aman pada Rabu.

Beliau menambah, ia merupakan satu lagi contoh di mana masyarakat dan polis bekerjasama bersatu untuk membanteras jenayah.

Ismail berkata, turut terdapat rancangan untuk melibatkan pemandu teksi dalam usaha menangani jenayah.

“Kami berbincang mengenai cara untuk menjadi pemandu teksi sebagai ejen kepada pasukan polis.

“Selain menjadi mata dan telinga tambahan kepada polis, pemandu-pemandu teksi ini juga boleh bertindak sebagai penggerak pertama untuk mengatasi jenayah,” katanya.

Beliau berkata, satu cara yang boleh pemandu teksi membantu polis adalah dengan mengenal pasti mangsa jenayah dan membawa mereka ke lokasi yang selamat.

Ismail menambah, polis juga akan bekerjasama dengan pesara polis untuk menggalakkan mereka turut serta, malah mengetauinya, sebagai usaha mencegah jenayah di kawasan kejiranan mereka.

Katanya, kesemua ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah Polis Diraja Malaysia (DPRM) untuk membanteras jenayah. -MStar
UJIAN PERCUBAAN AES BERJAYA - KONG CHO HA

KUALA LUMPUR: Percubaan bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang baru semasa Hari Raya merupakan satu kejayaan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

“Ia merupakan hasil yang baik. Kamera-kamera beroperasi semasa ujian percubaan tetapi tiada saman yang dikeluarkan,” katanya selepas melancarkan hab bas di Pasar Seni di sini.

Beliau berkata, sistem itu akan dilaksanakan selepas semuanya ditempatkan dan disahkan serta semua kamera dipasang sepenuhnya.
Mengenai Ops Selamat yang berakhir pada Ahad lalu, Kong berkata, pendekatan baru dengan mewujudkan kesedaran berkesan apabila bilangan kemalangan dan kematian menurun berbanding tahun lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Rabu berkata, Ops Selamat menunjukkan kadar kematian dan kemalangan menurun sebanyak lapan peratus bagi tempoh yang sama berbanding tahun lepas.

Mengenai hab bas, Kong berkata, ia akan disepadukan dengan stesen-stesen LRT dan membantu mengurangkan kesesakan trafik di bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal berkata, hab bas itu turut dibina di lima koridor utama, iaitu Syed Putra, Jalan Pudu, Jalan Ipoh, Jalan Pahang dan Jalan Ampang termasuk dua koridor kecil di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Damansara. -MStar