Wednesday, August 15, 2012

KAJI PINDAAN AKTA KETERANGAN 1950 -PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Twitter berkata beliau telah meminta Kabinet membincangkan kontroversi terhadap pindaan Akta Keterangan 1950 berikutan bantahan 'Hari Tanpa Internet' pada Selasa.

"Apa yang kita lakukan kita harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang pertama," katanya dalam satu mesej Twitter pada Selasa.

Sementara itu, beberapa laman web popular menyatakan pandangan secara berbeza terhadap kempen menentang pindaan yang mencetuskan kontroversi itu.

Pop-up 'hitam' menyambut pelawat laman-laman web yang memberitahu Seksyen 114(a) Akta tersebut yang diwartakan baru-baru ini mengancam hak-hak mereka sebagai pengguna Internet.

Blogger seperti kolumnis The Star Marina Mahathir dan Niki Cheong juga mengambil bahagian dalam 'Hari Tanpa Internet', dengan tulisan "Stop 114A".

Portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today serta Majlis Peguam juga meletakkan 'pop-up' ini di laman web mereka.
Beberapa perniagaan termasuk mobile88.my juga menggelapkan keseluruhan laman web mereka manakala terdapat pengguna internet mengubah gambar profil mereka di Twitter dan Facebook dengan butang "Stop 114A".

Sesetengah pihak, termasuk ahli politik Lim Kit Siang daripada DAP dan peguam Edmund Bon, membuat pendirian mereka dengan sepenuhnya tidak menggunakan talian internet.

Kempen ini mendapat sokongan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Gan Ping Sieu yang memanggil supaya pindaan itu dikaji semula.

Gan berkata, undang-undang baru itu memberikan kesukaran kepada ejen-ejen yang tidak bersalah yang terperangkap dalam kes penyalahgunaan internet, seperti pencerobohan, kecurian identiti atau bahkan usikan di Twitter, serta penyedia perkhidmatan internet seperti kafe siber.

"Sebagai contoh, jika seorang individu yang tidak bertanggungjawab datang ke halaman Facebook saya dan memberikan mesej fitnah atau kata-kata benci, adakah saya akan bertanggungjawab walaupun komen-komen itu bukan berasal daripada saya?" kata naib presiden MCA.

Hari Tanpa Internet diselaraskan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Ketika dihubungi, pegawai eksekutif CIJ Masjaliza Hamzah berkata sambutan itu adalah lebih baik daripada yang dijangkakan./MStar
ULAMA TERSOHOR ARAB SAUDI PUJI KEPIMPINAN KERAJAAN MALAYSIA

MAKKAH: Beberapa tokoh ulama dari Arab Saudi menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya meletakkan Islam sebagai teras kepada kemajuan.
 
Tokoh ulama terkenal di Arab Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah Hamad Jalaly, Mufti Masjidil Haram Makkah Sheikh Dr Sulaiman Al Salumi dan Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr Saleh Darwish menyatakan pandangan mereka itu dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Ketiga-tiga tokoh agama bersama dua lagi pemimpin Islam terkenal iaitu Penasihat Wasir TV Channel Sheikh Dr Abdul Rahim Mulazadah dan Pengerusi Al Maijd TV Dr Hammad Mohamad Al Ghammas mengunjungi Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di kota suci Makkah mulai hari ini.

Najib memberitahu wartawan Malaysia di sini, ketiga-tiga ulama Arab Saudi itu memuji kerajaan Malaysia kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai agama persekutuan walaupun rakyatnya berbilang kaum dan agama.

Katanya para ulama Arab Saudi juga kagum dengan kepimpinan kerajaan Malaysia yang memupuk hubungan baik antara ulama dan umarak dan mahukan negara Islam lain menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju.

"Kita juga memaklumkan mengenai konsep Wasatiyah yang kita pegang dari dulu dan di peringkat negeri pula kita mempunyai enakmen yang menyebut pegangan kita ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan berlaku sebarang konflik dan kerosakan akidah dan sebagainya," kata beliau.

Ulama itu berpendapat pendekatan kerajaan terhadap kepimpinan yang berteraskan Islam itu telah mengelakkan Malaysia daripada menghadapi sebarang konflik seperti negara majmuk yang lain. /BERNAMA
KERAJAAN TETAPKAN HARGA MINIMA ROKOK RM7 SEKOTAK MULAI 1 SEPTEMBER - LIOW

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga minimum bagi semua jenama rokok ialah RM7 mulai 1 September dan hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serentak itu, kerajaan turut memansuhkan semua jenis diskaun yang ditawarkan oleh syarikat rokok.

Beliau berkata kerajaan juga hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 10 paket dalam satu karton.

"Mulai 1 September 2012, semua diskaun jualan rokok akan dimansuhkan...semua jenama rokok tidak boleh mengadakan diskaun. Pelarasan diskaun harga jualan runcit rokok dimansuhkan. Hanya satu harga minimum iaitu RM7 untuk paket 20 batang.

"Pengilang-pengilang membungkus rokok perlu memastikan dalam paket hanya 20 batang dan satu karton mengandungi 10 paket sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan 'Duta ASAP Smoke Free Lifestyle', di sini, Selasa.

Liow berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan itu.

Tahun lepas harga minimum rokok ditetapkan RM7 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tidak menetapkan saiz paket dan terdapat 21 batang rokok (RM7.23), 22 batang rokok (RM7.70), 23 batang rokok (RM8.05).

Liow berkata walaupun sebelum ini penjualan rokok pada harga yang lebih rendah dilarang, syarikat rokok dibenar membuat pelarasan harga sebanyak tiga kali setahun dengan perbezaan harga tidak boleh melebihi lima peratus.

Beliau berkata kerajaan menguatkuasa peraturan baru itu untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutama oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Dengan penguatkuasaan peraturan baru ini, kompaun antara RM500 dan RM5,000 dikenakan bagi kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum manakala bagi kesalahan menjual rokok tidak sah, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. - BERNAMA