Sunday, January 27, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: CABAR KESABARAN UMAT ISLAM -MUFTI PERAK

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta agar cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dihentikan kerana isu itu mencabar kesabaran umat Islam.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa jika cadangan itu diteruskan, tidak mustahil akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

"Sebagai orang Islam, kita wajib berjihad mempertahankan kalimah tersebut kerana ia tidak boleh diberikan kepada sesiapa melainkan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs di Gunung Rapat, semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan Harussani menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan ALLAH.
“Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan ALLAH,” katanya.

Beliau berkata, di dalam enakmen setiap negeri sudah dinyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam agama lain.

“Enakmen telah dibuat oleh Dun yang telah diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membuat  undang-undang mengenai agama dan diluluskan Sultan yang menjadi undang-undang negara.

“Oleh itu, undang-undang negara tidak boleh diusik jika tidak seolah-olah tidak menerima Perlembagaan. Justeru, orang yang tidak mematuhi undang-undang adalah orang yang derhaka kepada negara,” katanya.- Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH : PAS GESA MUFTI PANGGIL MUZAKARAH


SHAH ALAM – Pas menggesa mufti di setiap negeri supaya mengadakan muzakarah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh hukum agama Islam bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, langkah itu perlu diperhalusi dan pemegang fatwa perlu lebih berhati-hati khususnya dalam memberikan maklum balas terhadap isu kalimah ALLAH yang kembali menjadi kontroversi sejak akhir-akhir ini.

"Kenyataan ini saya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinyang telah memberikan kebenaran untuk menggunakan nama ALLAH dalam Bible berbahasa Melayu.

"...sebagai mufti dia sepatutnya menjadi penasihat bagi kerajaan kerana bidang kuasa mufti hanya terhad kepada negeri yang diwakili sahaja,” dakwanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang menyifatkan umat Islam akan menjadi kafir sekiranya membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya lagi, sekiranya umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan menyekutukan ALLAH.

Harussani turut mendakwa, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan.

Justeru itu, beliau meminta pihak berkenaan menghentikan cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu kerana ini akan mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.

Jika cadangan ini diteruskan, beliau bimbang akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini. – Sinar Harian

MAJLIS SYURA PAS LUCUT NASHA KERANA LANGGAR PERATURAN


SHAH ALAM – Majlis Syura Pas mengesahkan telah menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang pernah disebut akan diambil tindakan disiplin tahun lalu, atas alasan telah melanggar beberapa peraturan badan tertinggi parti itu.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.

“Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pihak Majlis Syura ada menghubungi Nasharudin selepas keputusan itu dibuat, Nik Zawawi berkata, pihaknya tidak ada menghubungi Ahli Parlimen Bachok itu.

“Beliau juga tidak ada menghubungi kami untuk penjelasan lanjut.

“Dengan keputusan ini, anggota Majlis Syura berharap beliau akan istiqamah dan menumpukan perhatian dalam perjuangan parti. Sumbangan beliau masih diperlukan dan diharapkan beliau dapat beri manfaat kepada parti,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan Nasharudin yang mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk lawatan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza baru-baru ini, Nik Zawawi berkata, itu merupakan tindakan peribadi Nasharudin.

“Itu terpulanglah kepada dia (Nasharudin), itu tindakan peribadinya sendiri."

Pada September lalu, Nasharudin dan Majlis Syura dilaporkan menjadi tumpuan dengan membincangkan nasib bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Bagaimanapun mesyuarat 9 September itu bersidang tanpa membincangkan isu berkaitan dengan Nasharudin.

Seperti diramalkan pemerhati dan kebanyakan pemimpin kanan parti ketika itu, beliau 'selamat' daripada sebarang tindakan berat.

Ketika itu, Nasharudin menjadi tumpuan ekoran  gesaan beliau agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dalam isu hudud. - Sinar Harian