Thursday, October 11, 2012

JANGAN MALU BERBAHASA MELAYU
 
Rakyat harus yakin dan tidak berasa malu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan harian kerana bahasa tersebut indah dan diterima dunia.

Presiden Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Goh Hin San berkata, memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya adalah tanggungjawab semua bangsa dan harus diguna pakai secara menyeluruh.

"Biarpun di pangkalnya ada Melayu, tetapi sebenarnya hak semua rakyat Malaysia dan kini diperluaskan ke merata dunia," katanya kepada Utusan Malaysia sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Pelancaran bulan bahasa berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hin San berkata, rakyat harus tahu bahasa Melayu merupakan bahasa Austronesia yang kelima terbesar di dunia.

Sementara itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Mahaya Yassin menegaskan, program yang dijalankan itu hendaklah selaras dengan kempen yang meluas supaya dapat diterima baik seluruh rakyat.

''Cabarannya amat besar apatah lagi dengan kecanggihan teknologi maklumat dengan bahasa Melayu sentiasa berhadapan tekanan besar.

''Bahasa Melayu adalah nilai dan jati diri bangsa Malaysia yang menggambarkan peribadi sebuah bangsa yang berdaulat," katanya.

Dalam pada itu, pelatih Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Nazura Muhammad, 22, berkata, rakyat harus berasa bangga bercakap dalam bahasa Melayu dan amat wajar bahasa itu dimartabatkan dalam apa cara sekali pun. –Utusan Online
BAHASA 'ROJAK' DALAM FACEBOOK / TWITTER - TPM

SEREMBAN 10 Okt. - Penggunaan bahasa Melayu 'rojak' yang berleluasa dalam kalangan masyarakat akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, kecanggihan alat media dan komunikasi maklumat termasuklah khidmat pesanan ringkas (SMS), Twitter dan Facebook juga seringkali menyebabkan ejaan dan sebutan yang tidak betul digunakan.

"Penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan.

Muhyiddin berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku apabila masyarakat umum tidak fasih lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sama ada secara lisan mahupun tulisan.

"Ini merupakan satu petanda yang amat buruk kepada bangsa berkenaan yang sedang mengalami kehilangan bahasa," katanya.

Menurutnya, amat penting semua warganegara menerima hakikat bahawa bahasa Melayu bukan lagi milik orang Melayu sahaja, bahkan turut menjadi milik semua warganegara, tidak kira asal keturunannya.

"Kita mahu bahasa kebangsaan menjadi teras dalam kehidupan bernegara dan hendaklah kita bertanggungjawab menjadikannya wasilah perhubungan dalam semua bidang khususnya pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan perdagangan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, hasrat kerajaan untuk menyaksikan nisbah 0.01 peratus jumlah penerbitan setahun berbanding dengan jumlah rakyat juga masih jauh daripada sasaran.

"Pada tahun lalu kita hanya berjaya menerbitkan sekitar 17,000 judul buku sedangkan sasaran adalah 28,000 judul," katanya.

Mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Muhyiddin menjelaskan, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa antarabangsa.

"Buktinya bahasa Melayu telah diajar dan diteliti di lebih 100 buah universiti di Eropah, Australia, New Zealand dan Amerika Utara selain di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur," tegas beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh, program audit bahasa di semua jabatan dan agensi kerajaan akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

"Kita mahu bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi negara. Kita akan berikan penarafan bintang dalam penilaian yang dibuat kelak. Saya berharap program itu dapat dilaksanakan di sektor swasta," katanya. –Utusan Online