Monday, December 23, 2013

KENAIKAN TOL , TARIF ELEKTRIK DEMI MASA DEPAN
 
KOTA BHARU– Isu kenaikan tol dan tarif elektrik yang dilihat kurang popular pada pandangan rakyat perlu dilaksanakan demi kepentingan negara untuk jangka panjang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia sudah dijangka kerana kerajaan perlu memikirkan cara terbaik untuk kebaikan bersama dalam tempoh yang lama berbanding cadangan kesan jangka pendek.

Menurutnya, kerajaan memahami isu dan tekanan yang dihadapi rakyat dan cuba sedaya upaya membantu meringankan beban tersebut.

“Kerajaan sentiasa fikirkan dan mendahulukan rakyat dalam segala hal, cuma tindakan kita dilihat tidak popular. Jadi orang ramai berfikir negatif. Sememangnya perkara tersebut perlu dilaksanakan.

“Rakyat kena pilih sama ada hendak menikmati hidup senang pada masa sekarang atau menghadapi masalah besar pada masa depan atau beransur mengambil tindakan untuk pastikan keadaan ekonomi negara terjamin,”
katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), di sini, semalam.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak ada berlaku krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan kerana tidak mendahulukan mereka berikutan isu tersebut.

Jika kerajaan mengambil tindakan populis sekalipun, katanya, ia menggembirakan hati rakyat buat seketika sahaja,  tetapi hakikatnya masa depan ekonomi negara tergugat.

“Mereka kena ingat, nikmat tindakan tersebut hanya sementara. Yang menjadi mangsa adalah masa depan generasi baru. Mereka yang kena tanggung semua beban.

“Memang kita akan rasa selesa jika terus berhutang dan subsidi ditambah tetapi apabila tiba zaman anak kita nanti pembayaran hutang sudah tidak dapat dielak. Mereka yang akan kena tempiasnya,” ujarnya.

Beliau menasihatkan rakyat jangan terlalu bimbang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berjanji akan memikirkan cara bagaimana untuk meringankan beban mereka.


Sumber: Sinar Harian

 GST: DAKWAAN PEMBANGKANG TAK BERASAS

GST
KUALA LUMPUR - Dakwaan pembangkang mengenai perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membebankan rakyat tidak berasas dan  hanya sekadar bersifat menentang setiap rancangan kerajaan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata dakwaan tersebut akan    menjadi tidak relevan apabila cukai tersebut dilaksanakan pada April 2015.

"Saya melihat peranan pembangkang ini hanya menentang pembangunan dan rancangan oleh kerajaan yang mana akhirnya pembangunan ini mendatangkan manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

"Mereka (pembangkang) menentang pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lebuhraya Utara-Selatan, Putrajaya, KLCC dan sebagainya.

Tapi sekarang, adakah mereka masih menetang projek-projek ini?

"Jadi apa yang penting pada saya, jika dia (pembangkang) mahu bising, bisinglah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai Wakaf anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelancaran sebuah buku oleh Pakatan Rakyat yang bertajuk "Faham GST, tolak GST" yang dikhuatiri bakal mengelirukan rakyat mengenai perlaksanaan sistem percukaian tersebut.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Husni menyatakan rasa bimbangnya mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera yang masih rendah, iaitu hanya pada tahap 23.5 peratus pada 2012.

Sehubungan itu, beliau menyeru para peserta seminar itu mengambil peluang  membincangkan beberapa langkah berkaitan bangsa dan kaum Bumiputera dalam proses peralihan ekonomi negara.

"Jika kita ingin pemilikan kekayaan Bumiputera mencecah 30 peratus, adalah perlu kadar peningkatan kekayaan Bumiputera berkembang lebih laju dari kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara.

"Natijahnya, jika bangsa kita terlalu bergantung kepada sektor kegiatan ekonomi bernilai rendah, di mana penciptaan kekayaannya kecil, maka peningkatan kekayaan bangsa Melayu tidak mungkin tercapai," katanya.

Ahmad Husni turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum bagi Pusat Antarabangsa Untuk Penyelidikan Wakaf, bagi membangunkan industri wakaf negara.

"Wakaf di negara kita memang tidak diekploitasi secara keseluruhannya dan saya memang bersetuju kita wujudkan satu pusat penyelidikan dan antara lain, kita perlu ada pangkalan data mengenai lokasi tanah-tanah wakaf di Malaysia sekarang untuk perancangan pembangunannya.

"Kita juga mestilah memikirkan bagaimana untuk mengadakan kolaborasi di antara negeri dan kerajaan pusat, disebabkan tanah-tanah wakaf ini diletakkan di bawah kelolaan kerajaan negeri," katanya. – Bernama

Sumber: Bernama/Sinar Harian


GST: PENGGUNA TAK PERLU BIMBANG

GST KUALA LUMPUR - Pengguna tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang hanya menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekaligus tidak akan meningkatkan kos sara hidup.

Ketua Unit Teknikal GST Persatuan Akauntan Percukaian, Mohd Rozlan Mohamed Ali berkata,  pelaksanaan GST itu hanya akan memberi kesan bergantung kepada gaya hidup individu tersebut.

"GST selalu jadi konflik kepada pengguna, kita hapuskan SST dan gantikan dengan GST. Kos sara hidup tak akan meningkat tinggi, kerana GST bukan cukai baru yang terpaksa dibayar.

"GST akan dikenakan kepada gaya hidup individu itu, kalau dia suka membeli belah barang mahal, dia akan dikenakan GST lah," katanya Persidangan Meja Bulat GST : Apa Pandangan Belia?, di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, semalam.

Beliau juga turut mengakui, kesan daripada pelaksanaan GST akan berlaku kenaikan harga barang namun tidak secara menyeluruh.

"Kita tak dapat nafikan, memang akan ada kenaikan barang, tapi kesannya hanya sedikit.

"Dan ia bukan sebab GST sepenuhnya tapi dipengaruhi dengan faktor lain seperti rasionalisasi subsidi, harga minyak dan lain-lain," katanya.


Sumber: Bernama/Sinar Harian
GST BOLEH DIKURANGKAN, BARU 'START ENJIN'

SHAH ALAM - Pelaksanaan cukai barangan dan pekhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pada 2015, dengan kadar lebih tinggi berbanding Singapura kerana ia berada di peringkat permulaan.
GST
Menurut Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Khairul Annuar Osman, kadar GST boleh dikurangkan jika pelaksanaannya nanti sudah berjalan lancar dan kukuh.

"Kita tahu ramai orang tanya kenapa GST di Singapura lebih rendah berbanding negara kita.

"Ini sebab kita baru nak 'start enjin', penurunan GST akan bergantung kepada 'demand' rakyat terhadap sesuatu perkara.

"Kalau rakyat nak hapuskan PTPTN, kita tak boleh lah turunkan GST, kita kena buat kajian semua itu," katanya dalam Persidangan Meja Bulat GST: Apa Pandangan Belia?, di Pusat Belia Antarabangsa, di sini, hari ini.

Pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 telah mengumumkan pelaksaan cukai GST akan bermula April 2015 dengan kadar enam peratus.

Najib berkata GST itu diperkenalkan bagi memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan sebelum ini dan untuk membentuk sistem cukai yang adil dan menyeluruh untuk manfaat semua rakyat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, GST akan dikuatkuasakan 17 bulan daripada tarikh pembentangan bajet itu dengan kadar enam peratus antara paling rendah dalam kalangan negara Asean.

"Perlu saya tegaskan bahawa GST bukanlah cukai tambahan baharu," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Annuar menambah, pelaksanaan GST kepada pengguna sebanyak enam peratus adalah mengikut keadaan semasa.

"Kita nak kekal lama mana enam peratus ini bergantung permintaan rakyat.

"Kalau kerajaan mintak hapus PTPTN kita kena menaikkan cukai lah, kalau tak kita nak korek mana. Kita akan tengok jalan lain.

"Tapi kekal lama mana itu, saya tak boleh nak cakap semuan cukai enam peratus itu bagi kesan pada semua termasuk saya," katanya lagi.

Tambahnya, walaupun Singapura mengenakan kadar cukai rendah berbanding Malaysia namun ia meliputi semua barang termasuk barangan asas yang tidak dikenakan cukai di negara ini.

Sumber: Bernama/Sinar Harian


KERAJAAN PELAWA PIHAK LUAR DEDAH FUNGSI GST

GST
KUALA LUMPUR - Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, mempelawa pihak luar seperti agensi berkepentingan, badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan dan institusi pengajian tinggi, membantu dalam memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy berkata, kerjasama strategik tersebut mampu membantu kerajaan dalam menyebarkan kelebihan cukai tunggal itu dengan lebih meluas sehingga ke akar umbi dan terus menghentikan kekeliruan rakyat sebelum GST dilaksanakan.

"Keutamaan kami (kerajaan) sekarang adalah memastikan setiap golongan rakyat di bandar mahupun di luar bandar, termasuklah syarikat-syarikat agar memahami GST kerana cukai ini baik untuk negara dan juga rakyat.

"Kami telah menggunakan penyebaran maklumat menerusi media cetak dan elektronik, namun masa yang ada adalah terhad.

"Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu dengan kerajaan dalam menyebarkannya (maklumat) kerana cara ini lebih efektif," katanya selepas sesi Persidangan Meja Bulat: "GST, Apa Pandangan Belia" di sini pada Sabtu.

GST, yang juga dikenali sebagai cukai nilai tambah di sesetengah negara, adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas nilai ditambah di setiap peringkat pengagihan dan pengedaran.

Cukai itu akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang diguna pakai pada masa ini bagi tujuan menjadikan sistem percukaian negara lebih efektif, efisen, telus dan mesra perniagaan.

Kadar GST ditetapkan pada enam peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015, menghapuskan cukai berganda SST yang bernilai 16 peratus.

Subromaniam berkata kerajaan sentiasa mencari mekanisme yang baharu dalam usaha meluaskan pendedahan pengetahuan GST kepada masyarakat dan berharap lebih banyak kerjasama daripada pihak akademik untuk tampil ke hadapan.

"Kita telah merancang untuk melibatkan lebih ramai pelajar universiti serta persatuan berkaian belia," katanya sambil menambah bahawa lebih luas maklumat disebarkan, masalah seperti perniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang menyalahi undang-undang dapat diatasi.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar peniaga segera merebut peluang geran latihan bernilai RM100 juta yang diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2014 dengan menghantar pekerja mereka menjalani latihan GST pada tahun ini dan 2014.

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada ahli akedemik, NGO belia, para pemikir belia dan penggerak persatuan pelajar di universiti tempatan menghadiri persidangan meja bulat tersebut.

Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) untuk memberi penerangan yang jelas dan berkesan kepada generasi muda bagaimana GST akan dilaksanakan di Malaysia.


Sumber: Bernama/Sinar Harian