Monday, September 2, 2013

SANG SAKA MELAYA vs JALUR GEMILANG: TARIK GELARAN SASTERAWAN NEGARA

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) mendesak kerajaan menarik balik anugerah Sasterawan Negara daripada A. Samad Said kerana pembabitannya dalam kumpulan aktivis propembangkang menghina Jalur Gemilang di Dataran Merdeka malam semalam.

Pada masa sama, Gagasan turut menggesa polis mengenakan tindakan tegas di bawah Akta Hasutan terhadap A. Samad serta dua lagi aktivis propembangkang iaitu Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim yang turut melakukan perbuatan serupa.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan tegas perlu dikenakan bagi memastikan perbuatan biadab mencemari sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-56 selain mengibar bendera yang dinamakan 'Sang Saka Malaya' tidak berulang.

Mengulas mengenai pembabitan tokoh Sasterawan Negara itu yang disifatkan turut menghina diri sendiri, beliau berkata, sudah tiba masa bagi kerajaan menarik balik anugerah tersebut memandangkan A. Samad tidak lagi menghargai pengiktirafan dan penghormatan besar negara terhadapnya.

Malah, jelasnya, lebih pelik, A. Samad sering menghasilkan karya menerusi sajak-sajaknya sebelum ini yang banyak berkisar tentang perjuangan dan erti kemerdekaan tetapi pada waktu yang sama, tokoh itu sendiri bertindak mencemarkan sambutan kemerdekaan dengan perbuatan yang sungguh keterlaluan.

"Jadi, kerajaan perlu tarik balik segera anugerah tertinggi itu (Sasterawan Negara) kerana dia tidak lagi menghormati erti kemerdekaan serta pengorbanan para pejuang terdahulu, seolah-olah dia tidak menggambarkan apa yang ditulis dalam sajaknya.

"Lagi pun, dia buat macam ini bukan kali pertama malah dah banyak kali dia buat (menentang kerajaan). Biarpun bagi A. Samad anguerah itu mungkin tidak bermakna tetapi itulah yang mengangkat dirinya selama ini," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.


Beliau mengulas tindakan biadab sekumpulan propembangkang mengibar bendera Sang Saka Malaya sekali gus mencemarkan sambutan Malam Ambang Merdeka menjelang Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka malam semalam. -Utusan Online
SANG SAKA MALAYA: AKTIVIS PROPEMBANGKANG DITEMPELAK

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menempelak aktivis propembangkang yang bertindak mempersenda Jalur Gemilang sebagai 'jalur temberang' selain mengibarkan bendera kononnya ‘Sang Saka Malaya’ ketika sambutan Ambang Merdeka kelmarin.
 
Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan jika mendapat laporan berhubung insiden berkenaan.

Malah beliau berpendapat laporan polis perlu dibuat kerana perkara itu jelas bertentangan dengan kedaulatan negara.

"Tak sepatutnya ada orang yang mempertikaikan Jalur Gemilang termasuk mahu menggantikannya dengan bendera lain. Kita sebagai rakyat, biarpun berbeza pendapat dan ideologi politik, kita kena terima hakikat, tak semua perkara perlu ditentang termasuk keputusan terdahulu khususnya berkenaan Jalur Gemilang.

"Kita tidak boleh menghina Jalur Gemilang. Saya fikir, penghinaan terhadap Jalur Gemilang, sampai nak kata jalur temberang, perlu dielakkan," katanya.

Ahmad Zahid mengulas tindakan beberapa aktivis propembangkang mengibarkan Sang Saka Malaya selain menggelar Jalur Gemilang sebagai 'jalur temberang' ketika sambutan Ambang Merdeka.

Ahmad Zahid berkata, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai penglibatan pemimpin politik dalam kumpulan gangster, beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dalam hal itu termasuk melibatkan pemimpin di pihak kerajaan mahupun pembangkang.-BERNAMA/Utusan Online
KIBAR SANG SAKA MALAYA: 'LUCUTKAN TARAF KERAKYATAN'

Tindakan kumpulan tertentu mengibarkan bendera digelar Sang Saka Malaya dan bukannya Jalur Gemilang pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di ibu negara pada Jumaat lepas adalah mencabar kedaulatan negara, kata pakar sejarah Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.
 
Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, ini melibatkan soal kemerdekaan, perjuangan yang dibuat orang terdahulu untuk memastikan negara tercinta bebas daripada penjajahan.

"Ini soal negara, bukan soal politik. Bagi saya, kumpulan tertentu itu telah mencabar kedaulatan negara.

"Walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, tetapi kita bercakap mengenai negara, tidak melibatkan politik," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan tertentu yang mengibarkan bendera itu pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56, di Dataran Merdeka, Jumaat lepas.

Tindakan kumpulan itu mencetuskan kemarahan seorang lelaki yang merampas bendera berkenaan lalu menggumpalnya sambil memberitahu itu bukan bendera Malaysia dan insiden itu mula dimuat turun di laman sosial.

Ramlah turut mempersoalkan matlamat kumpulan itu yang mengibarkan bendera digelar Sang Saka Malaya.

"Mana kiblat mereka? Adakah mereka belot kepada negara? Mereka mendaulatkan sesuatu yang tidak pernah diterima pada satu masa dahulu," katanya.

Sang Saka Malaya merupakan bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga baris empat jalur dilaporkan bendera milik sebuah persatuan di negara ini pada era 1940-an.

Mengulas mengenai penglibatan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Ramlah berkata, tokoh itu sepatutnya sensitif dengan perjuangan orang terdahulu daripada beliau (A. Samad), yang berusaha memperoleh kemerdekaan untuk negara.

Ramlah yang berasa sedih dengan penglibatan tokoh itu berkata, sebagai seorang yang matang dan tokoh yang dihormati beliau perlu menghormati negara yang telah berjasa kepada beliau.

"Kerajaan mengiktiraf beliau dan kerajaan itu adalah kerajaan yang memimpin negara sekarang," katanya.

Menurut klip video itu, A. Samad dikatakan sedang mendeklamasikan sebuah sajak dengan bendera Sang Saka Malaya berada berhampiran dengannya ketika seorang lelaki merampas beberapa bendera itu.

Sehubungan itu, Ramlah mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terutama yang membabitkan soal perlanggaran kenegaraan yang menyebabkan insiden seperti itu berleluasa.

Dalam pada itu, Ramlah mengucapkan tahniah kepada lelaki berkenaan yang berani merampas bendera itu.

Beberapa penganalisis politik pula berpendapat pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan api kemarahan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini termasuk mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya itu.
 
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, usaha menukar bendera negara telah bermula sejak tahun lalu lagi dan seperti tiada kesudahannya, insiden sama berulang semula pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Jumaat lepas.

"Pihak berkuasa perlu lebih tegas dan berani untuk mengambil tindakan serta menghukum pihak yang tidak bertanggungjawab itu kerana jika tidak ia seperti kita mengiktiraf bendera Sang Saka Malaya itu," katanya.

Beliau berkata, mereka yang memahami sejarah negara serta peri pentingnya kedaulatan itu dipertahankan, tidak akan melakukan tindakan sedemikian kerana bendera merupakan nilai dan simbol negara.

Mengenai tindakan berani lelaki dalam klip video itu, Sivamurugan berkata:

"Tindakan lelaki dalam klip video itu patut dijadikan contoh dan iktibar oleh semua pihak kerana beliau berani bertindak walaupun seorang diri."
 
Nada sama turut dilontar Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Ismail Sualman yang berkata, tindakan berani pihak tertentu cuba mengibarkan bendera lain selain Jalur Gemilang jelas menunjukkan kurangnya penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

"Apabila bendera itu dipaparkan pada malam itu...pihak berkuasa macam tak ambil tindakan, tiada yang ambil perhatian sehingga ada pihak ambil kesempatan," katanya.

Beliau menegaskan, usaha menukar Jalur Gemilang merupakan tindakan tidak berakal kerana tiada negara di dunia ini yang menukar bendera masing-masing kerana ia simbol kedaulatan sesebuah negara.

"Pemimpin boleh bertukar dari semasa ke semasa...tapi bukan bendera. Tak ada lagi negara di dunia ini tukar simbol kedaulatan mereka," katanya.
 
Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang tidak putus-putus mempersendakan Jalur Gemilang bagi memberi pengajaran kepada yang lain.

"Mengibarkan bendera yang bukan Jalur Gemilang tidak sepatutnya berlaku...mereka perlu menyanjung bendera kedaulatan kita bukan dengan mengambil kesempatan ketika merdeka dengan mengibarkan bendera lain.

"Kerajaan tidak seharusnya duduk diam lagi...satu tindakan tegas perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang tidak menghormati bendera kita...jangan biar ia merebak," katanya.

Beliau turut memuji keberanian pemuda yang merampas bendera yang digelar Sang Saka Malaya itu daripada tangan individu-individu dan lantang mempertahankan Jalur Gemilang.

Ketua UMNO bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, tindakan berani pemuda itu membuktikan ada rakyat Malaysia yang berani mempertahankan bendera negara walaupun sedar berhadapan dengan sebilangan kumpulan tidak bertanggungjawab di kawasan itu.
 
Katanya, tindakan itu adalah mesej kepada pihak tertentu supaya tidak sewenang-wenangnya mempermainkan bendera kebanggaan rakyat dan negara.

Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan dan menangkap individu yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya itu serta melucutkan taraf kerakyatan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta kerajaan mempertimbangkan supaya menarik kembali gelaran tokoh Sasterawan Negara yang diberikan kepada A. Samad.

Katanya tindakan A. Samad itu boleh mencemarkan bidang kesusasteraan negara termasuk hasil karyanya sendiri yang turut berunsurkan patriotisme. – BERNAMA/Utusan Online
POLIS SIASAT ISU HINA JALUR GEMILANG, KIBAR SANG SAKA MALAYA

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung insiden sekumpulan aktivis propembangkang yang bertindak mengibarkan bendera yang mereka dakwa sebagai ‘Sang Saka Malaya’ ketika sambutan malam Ambang Merdeka kelmarin.
 
Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut menegaskan siasatan itu akan dijalankan secepat mungkin.

"Kita akan siasat secepat mungkin dan akan mencari bukti," katanya ketika ditemui.

Terdahulu Khalid mengulas tindakan beberapa aktivis propembangkang mengibarkan Sang Saka Malaya selain menggelar Jalur Gemilang sebagai 'jalur temberang' ketika sambutan Ambang Merdeka.

Insiden itu mengundang kemarahan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai biadab serta tidak menghormati bendera negara. -Utusan Online

AKTIVIS PROPEMBANGKANG HINA JALUR GEMILANG

Sambutan Malam Ambang Merdeka menjelang Hari Kemerdekaan Ke-56 di Dataran Merdeka di sini malam lalu dicemari perbuatan biadab sekumpulan aktivis propembangkang mengibarkan bendera yang mereka namakan sebagai 'Sang Saka Malaya'.
Hishamuddin Rais memegang bendera Sang Saka Malaya
ketika sambutan Malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Malah, aktivis propembangkang, Hishamuddin Rais dalam ucapan ringkasnya di lokasi tersebut bersikap celupar apabila menggelar bendera Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebagai 'jalur temberang'.

Beliau turut tidak menghormati sejarah negara dengan mendakwa tarikh 31 Ogos yang juga Hari Kemerdekaan adalah 'hari malapetaka'.

"Saudara-saudara! Lupakan jalur temberang, ini (Sang Saka Malaya) adalah bendera baharu untuk negara Malaysia.

"Jalur temberang ialah bendera tipu daripada Amerika.

"Bendera Sang Saka ini adalah bendera tradisi daripada Kerajaan Melayu Langkasuka.

"Bendera ini telah dinaikkan oleh rakyat pada tahun 1947.

"Malam ini adalah malam bersejarah, kita kibarkan Sang Saka. Inilah bendera rakyat Tanah Melayu.

"Inilah bendera yang akan menjadi negara kita apabila negara kita bebas daripada United Malay National Organization.

"Ingat, 31 Ogos bukan Hari Kemerdekaan. 31 Ogos adalah hari malapetaka," katanya seperti dipetik menerusi rakaman video yang dipaparkan di portal RakyatNews.my (http://www.rakyatnews.my) hari ini.

Turut kelihatan bersama Hishamuddin dalam rakaman video itu ialah aktivis propembangkang, Adam Adli Abdul Halim.

Sementara itu, seorang lelaki yang kurang senang dengan perbuatan biadab kumpulan aktivis propembangkang merampas bendera Sang Saka Malaya ketika Sasterawan Negara, A. Samad Said sedang berucap di Dataran Merdeka.


Lelaki terbabit juga menegaskan Sang Saka Malaya bukan bendera negara sambil menunjukkan jarinya ke arah Jalur Gemilang yang dikibarkan berhampiran lokasi kejadian. -Utusan Online