Thursday, June 7, 2012

WWW 15: LIOW DAKWA DAPAT NOMBOR PLAT PERCUMA

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai kini mengatakan bahawa dia tidak membayar satu sen pun untuk nombor nombor plat WWW 15 yang dibidanya.

Dalam tweetnya lewat hari ini, Liow berkata telah dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa beliau tidak perlu membayar RM24,200 harga bidaan yang ditawarkan kepadanya, kerana nombor itu adalah "percuma".

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut hendaklah dirujuk kepada JPJ.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan laporan akhbar China Press hari ini, yang memetik jurucakap JPJ Wilayah Persekutuan sebagai berkata setiap orang yang membida nombor plat, perlu membayar untuk mendapatkannya.

Katanya, para menteri boleh memohon nombor plat secara percuma dari JPJ, tetapi ia tidak membabitkan 'nombor panas' seperti yang dibida oleh Liow.

MB SELANGOR: 'BERI PUTRAJAYA, KAMI MAMPU MANSUH PTPTN'
               
NONEMenteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa cadangan untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu akan dilaksana sekiranya Pakatan berjaya menawan  Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Dengan kemenangan itu, Pakatan mampu menjalankannya apabila dapat menguasai perbendaharaan negara, katanya.

Malah Pakatan mampu melakukannya dalam tempoh 100 hari – sekiranya BN terus menyerahkan pentadbiran negara kepada Pakatan, katanya lagi dengan sinis.

"Cadangan daripada (ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar atas asas, sekiranya kami berpeluang untuk menguasai Putrajaya.

"Kalau kita menguasai perbendaharaan, keutamaan kita antaranya mengenai peruntukan pendidikan.

"Peruntukan pendidikan, kita akan pastikan pendidikan percuma boleh dilaksanakan kepada setiap warga negara di negara ini... Bukan sekarang," kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mengulas satu kenyataan menteri pengajian tinggi Datuk Mohamed Khaled Nordin yang menggesa Universiti Selangor – sebuah institusi bahawa kerajaan negeri – membatalkan yuran pengajiannya selari dengan kempen Pakatan Rakyat untuk memberi pendidikan percuma.

Khaled menulis demikian malam tadi susulan laporan Malaysiakini bahawa PTPTN membekukan pinjaman untuk siswa baru Unisel.

Khaled menyalahkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pinjaman kepada pelajar baru Unisel itu kerana Anwar menggesa supaya siswa tidak membayar semula pinjaman melalui PTPTN.

HARGA HARTANAH DI P. PINANG MELAMBUNG TINGGI

GEORGE TOWN: Kekurangan tanah di Pulau Pinang dan tarikannya sebagai salah satu destinasi pelancong serta rumah kedua bagi pesara asing telah menyebabkan hartanah di negeri itu melambung tinggi dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 25 peratus sejak lima tahun lalu.

Menurut penilai hartanah, harga yang ditawarkan adalah antara yang tertinggi di Malaysia justeru, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa hanya golongan kaya sahaja boleh tinggal di pulau yang merupakan salah satu warisan dunia.

Menurut tinjauan yang dijalankan The Star, harga unit kondominium di Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan Persiaran Gurney yang menghadap tepi laut di jual pada harga falak, dan ada beberapa kes ia dijual bermula dengan RM2 juta bagi unit yang mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi.

Sebelum perang dunia berlaku lagi di pusat bandar misalnya di Campbell Street kawasan tersebut telah diduduki oleh bukan penduduk asal Pulau Pinang.

Mereka telah menukar wajah kawasan tersebut dengan membuka butik hotel dan ada juga mahu menyimpan bangunan disitu kerana kecantikan seni bina mereka.

Harga rumah juga turut meningkat dari RM500,000 pada 2007 kepada kira-kira RM800,000 pada 2012 dengan mencatatkan peningkatkan lebih kurang 30 peratus.

Menurut Pengarah Urusan, Raine & Horne Malaysia, Michael Geh paling tinggi adalah di Pulau Tikus, Persiaran Gurney, Tanjung Tokong dan kawasan kediaman Tanjung Bungah dengan mencatatkan peningkatan lebih daripada 25 peratus bagi harga setiap unit kondominium.

Bagi kawasan lain seperti di Bayan Baru, Sungai Ara dan Minden Heights serta Batu Maung pula harga rumah teres, unit kondominium serta rumah berkembar telah meningkat sekurang-kuranya 25 peratus.

Skim perumahan rumah kos sederhana hanya terdapat di beberapa kawasan sahaja seperti di George Town Perak Road, MacCallum Street, Jalan Burmah dan Sungai Pinang ia belum diperluaskan ke kawasan lain.

JANJI PKR: RM5,000 SETAHUN UNTUK SISWA

Rancangan PKR untuk membiaya pendidikan tinggi percuma melibatkan dana berjumlah RM2.5 bilion setahun bagi menyediakan elaun RM5,000 kepada setiap 500,000 penuntut universiti setiap tahun.

Pengarah strategi parti itu Rafizi Ramli berkata jumlah tersebut akan dapat menampung perbelanjaann asas pelajar, manakala yuran pengajian pula akan diberikan percuma.

Katanya, elaun sebanyak RM5,000 itu boleh digunakan untuk mengimbangi yuran pengajian.

Rafizi berkongsi tawaran Pakatan Rakyat kepada sekumpulan siswa di Shah Alam.

Katanya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang menyediakan pinjaman murah kepada siswa tidak dapat dilestarikan.

Katanya, hutang siswa sebanyak RM24 bilion kepada PTPTN itu akhirnya perlu ditampung oleh kerajaan.

Rafizi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran rancangan berkenaan.

PTPTN BEKU PINJAMAN UNISEL
PETALING JAYA: Pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar Universiti Selangor (Unisel) dibuat bertujuan menentukan keupayaan pembangkang memberikan pendidikan percuma di negeri yang ditadbir mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, pembekuan tersebut hanya membabitkan permohonan baru kemasukan April lalu.

"Bagi pelajar yang sudah menerima PTPTN, pinjaman mereka akan diteruskan seperti biasa. Pembekuan ini hanya libatkan permohohan baru," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Khaled berkata PTPTN membuat keputusan ini awal bulan lalu kerana mereka juga menerima tekanan politik daripada pihak pembangkang yang mahukan pelajar-pelajar pengajian tinggi diberi pendidikan percuma di negara ini.

Tambahnya, PTPTN membuat keputusan ini sejurus sebelum pengambilan pelajar bagi sesi baru bermula dan ia telah dimaklumkan kepada pihak kementerian.

“PTPTN mahu memastikan berapa serius kah pihak pembangkang dalam menawarkan pendidikan percuma. Jika mereka serius maka institusi milik negeri seperti Unisel tidak perlu memohon kemudahan pinjaman pelajaran daripada PTPTN kerana pendidikan sepatutnya ditawarkan secara percuma kepada para pelajar oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat," ujarnya.

Tambah beliau, PTPTN akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara berkenaan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan PTPTN membekukan permohonan pinjaman membabitkan pelajar baru Unisel.