Monday, May 21, 2012

HIMPUNAN SEJUTA BELIA

hari-belia-negara-2011

Lebih 200 aktiviti akan diatur sepanjang laluan Persiaran Perdana di sini sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Mei ini.

Sepanjang tiga hari sambutan, para belia berpeluang mempamerkan potensi diri dengan menyertai acara-acara berbentuk pertandingan, persembahan, mencuba kemahiran, mencari peluang pekerjaan dan pelajaran serta menguji bakat masing-masing.

Kemuncak sambutan, pelancaran Himpunan Sejuta Belia pada 28 Mei yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengisytiharkan 2012 sebagai Tahun Belia Negara.

Secara keseluruhan, aktiviti tersebut terbahagi kepada 11 segmen utama iaitu Himpunan Sejuta Belia, Modal Insan, Y-Avenue, Malaysia Cergas, MAHA Youth dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Aktiviti turut membabitkan segmen World Youth Fantasy & Gadget World; Y Central; Karnival Memancing Sejuta Belia; We Care, We Smart, We Young dan Karnival Belia Budaya 1 Malaysia.

Kesemua segmen itu membabitkan 80 acara berbentuk pertandingan (41.4 peratus), kerohanian dan keilmuan melibatkan 93 acara (48.2 peratus) manakala persembahan dan pertunjukkan sebanyak 20 acara (10.4 peratus).

Aktiviti yang menjadi tumpuan antaranya Konvoi dan Perkhemahan Transformasi Belia yang membabitkan seramai 5,000 belia dari seluruh negara.

Perkhemahan Jambori Pengakap dan Perhimpunan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang masing-masing melibatkan 10,000 dan 20,000 penyertaan juga akan diadakan.

Seramai 10,000 orang akan menyertai larian Ekiden Run dan Rentap Futsal 2 melibatkan lebih 20,000 orang.

Acara lain termasuk pertunjukan wayang pacak, robofair Rakan Muda, himpunan gergasi karikatur, pertandingan pasukan sorak, drag kereta dan motosikal, PC fair, persembahan artis dan lelongan amal.

Bagi memupuk kemahiran berniaga di kalangan belia, KBS akan menyediakan ruang niaga yang luas untuk menjual dan mempamerkan produk keluaran mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan membuka kaunter pendaftaran pengundi baru dan semakan daftar pemilih.

Sumber: Utusan Malaysia
UMNO, PAS KENA BINCANG SEGERA DEMI NEGARA

BANGI: UMNO dan PAS sebagai parti Melayu dan Islam terbesar di negara ini perlu segera mengadakan muzakarah demi kepentingan negara, kata bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Katanya, kedua-dua parti itu juga perlu mengetepikan kepentingan politik masing-masing, sebaliknya duduk semeja bagi menghuraikan perkara yang menjadi polemik demi kepentingan negara dan agama.

“Pemimpin tertinggi UMNO dan PAS perlu berlapang dada dan mengambil peluang ini untuk mengadakan muzakarah memandangkan ia mendapat persetujuan Datuk Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS).

PAS dan UMNO sebagai parti Melayu dan Islam perlu mengurangkan politiking dan mengadakan muzakarah, bukan saja untuk orang Melayu dan agama Islam, tetapi untuk negara secara keseluruhannya.

“(Muzakarah) ini sudah banyak kali tertangguh, saya harap kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) membuka ruang untuk muzakarah mengambil tempat walaupun syarat dikemukakan Tok Guru payah untuk diterima UMNO,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan anak sulungnya di Bandar Bukit Mahkota di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali.

Nasharuddin yakin sekiranya pemimpin utama kedua-dua parti ini bersemuka bagi merungkaikan segala permasalahan mereka, ia akan dapat memperkukuhkan perpaduan serta kekuatan Islam di negara ini.


PEMIMPIN UMNO DIMINTA BUANG BUDAYA CANTAS

JITRA: Pemimpin UMNO perlu membuang budaya cantas mencantas dan mementingkan diri sendiri, sebaliknya menyokong siapa saja dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Ketika mengulangi nasihat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata budaya itu jika terus menjadi amalan hanya akan menyebabkan UMNO dan BN menerima nasib sama seperti pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan kemenangan ramai calon parti lawan.

“Kekalahan UMNO akan menjadikan orang Melayu kehilangan kuasa di negara kita sendiri... kita tidak boleh jadi bangsa yang berpecah-belah. Amat penting tenaga yang ada digembleng sepenuhnya.

 “Saya yakin kita boleh menang jika amalan cantas mencantas dibuang terus dari dalam diri setiap orang UMNO,” katanya pada pertemuan dengan pemimpin UMNO dan jentera parti seluruh Kedah di sini, semalam.