Showing posts with label Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sosial. Show all posts

Thursday, June 13, 2013

PERATURAN KAWAL KENDIRI MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang mewujudkan peraturan kawalan kendiri bagi memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang disampaikan.

Menurut Perdana Menteri, cadangan itu bertujuan mengelak wujudnya kumpulan penulis yang tidak diketahui atau 'anonymous' dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial di negara ini.

Serentak itu, beliau turut menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik blog, portal serta media sosial yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih dan berbentuk fitnah.

"Walau apa pun kita akan memastikan cadangan ini tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia bahawa tiada tapisan terhadap internet," katanya.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, cadangan itu tidak bermakna kerajaan akan mengambil tindakan melesenkan portal berita sebagaimana yang dilakukan negara jiran.

Sebaliknya, kata beliau, langkah itu bertujuan memelihara keharmonian nasional dan kerajaan juga akan terus menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk mengekang usaha pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen ras, agama dan bahasa.

"Ini termasuk tindakan memperkecil institusi raja berperlembagaan mahupun 'subvert' sistem demokrasi berparlimen yang akan dikenakan tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pengamal media arus perdana terikat dengan kod etika yang begitu tinggi dalam menyampai berita dan maklumat kepada orang ramai.

Najib turut berkongsi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai wartawan menyebarkan pembohongan, fitnah, hasutan dan kebencian menerusi media sosial.

"Sesungguhnya tindakan itu tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berterusan akan mendatangkan kesan buruk pada masa depan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dipilih sebagai penerima Hadiah Kajai 2012 melalui laporannya yang bertajuk 'Graduan Palsu'. –Utusan Online

Tuesday, March 19, 2013

KEMPEN MEDIA SOSIAL PRU13 KURANG IMPAK, WALAUPUN BERPENGARUH -ANALISIS
 
Walaupun hampir setengah rakyat Malaysia menggunakan Facebook, impak kempen politik menerusi media sosial dan Internet masih lagi terbelakang berbanding dengan kaedah tradisional lain dalam menarik sokongan pengundi, kata penganalisis dan pemerhati politik tempatan.

Namun, di kala Malaysia menuju pilihan raya yang dianggap paling sengit tidak lama lagi, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersaing antara satu sama lain untuk menarik sokongan dengan menggunakan saluran atas talian media sosial dan laman-laman berita Internet.

Sumber dalam industri juga mendedahkan agensi kerajaan, jabatan-jabatan dan parti BN ketika ini membeli sejumlah besar ruang pengiklanan atas talian di kala klip video pro kerajaan dikeluarkan untuk menyaingi bahan-bahan dan iklan pro pembangkang menjelang pilihan raya bulan depan.

Walau bagaimanapun, penganalisis menekankan kempen politik melalui media sosial dan internet tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi, khususnya masyarakat luar bandar yang lebih mengutamakan sentuhan peribadi.

Malahan, jumlah pengundi luar bandar antara yang penting dalam menentukan pemenang dalam pilihan raya meskipun pengundi bandar nampak lebih kearah pembangkang PR.

“Media sosial hanya mempunyai impak keatas masyarakat bandar tetapi tidak luar bandar. Pengundi lebih pentingkan isu yang dekat dengan mereka,” kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Baharudin Othman kepada The Malaysian Insider.

“Pendekatan ceramah masih yang terbaik, kerana orang ramai lihat pemimpin dekat dengan mereka,” tambah beliau.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial.

PR jauh lebih aktif di atas talian dan dilihat telah menguasai ruang siber Malaysia dengan pelbagai laman sesawang dan produksi video termasuk beberapa yang mengetengahkan manifesto mereka yang dilancarkan beberapa minggu lepas.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut menegaskan perkara sama dimana media sosial memainkan peranan kecil  kerana pengundi mula meragui ketepatan maklumat dalam media sosial.

“Media sosial memutar belit banyak berita, sama seperti media arus perdana. Berita yang disampaikan tidak tepat dan kebenarannya diragui,” kata Agus.

“Ya, media sosial memang ada pengaruh, tapi ia tidak akan memberik kesan besar kepada Malaysia. Saya tidak rasa media sosial akan tumbangkan kerajaan, kerana jika ia mampu sudah lama kerajaan sekarang tumbang,” ujar beliau lagi.

Sumber dalam industri juga memberitahu, ruang iklan turut juga dibeli di Youtube Malaysia, salah satu laman paling ramai dilawati dengan dua juta pelawat unik sehari.

Laman perkongsian video dimiliki Google itu juga menyaksikan sejumlah klip video berkait parti politik Malaysia, dengan peningkatan angka produksi pro-BN masuk ke atas talian semenjak beberapa minggu lepas.

Di antaranya menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memeluk seorang lelaki di dalam bilik hotel. Ketua Umum PKR itu mengatakan klip video tersebut sebagai kempen jahat oleh musuh-musuh politiknya dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pejuang siber Umno yang beliau salahkan.

Terdapat beberapa lagi klip video Youtube dengan lagu parodi mengutuk DAP, PAS dan PKR daripada gabungan PR yang menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN di parlimen dalam Pilihan Raya 2008.

“Di Amerika, mereka dapati ia sangat sukar. Oleh sebab itu mereka cipta yang dinamakan pop-up. Rata-rata kita yang menggunakan internet sudah dilatih mata untuk tidak melihat iklan,” kata penganalisis politik Universiti Monash James Chin kepada The Malaysian Insider.

Bagi Chin, parti politik beralih ke media sosial dalam mengiklankan kempen mereka tidak mengejutkan memandangkan peranannya untuk menarik golongan pengundi muda khususnya tetapi meragui medium tersebut mampu mempengaruhi prestasi mana-mana parti dalam pilihan raya nanti.

“Kita tahu pengundi terutamanya pengundi muda merupakan pengundi pembangkang.

“Mereka cuba meningkatkan kempen dilaman siber untuk menarik semula sokongan... sekarang ini saya mengesyaki orang ramai tidak mempercayainya lagi,” kata Chin.

“Salah satu sebab terdapat banyak trafik atas talian adalah kerana mereka berminat dengan gosip,” ujar beliau lagi.

Penganalisis telah menekankan pengundi muda sebagai kelompok pengundi utama yang boleh menentukan kemenangan kerajaan pusat dalam Pilihan Raya 2013.

Pengundi kali pertama membentuk jumlah yang signifikan iaitu sebanyak 30 peratus daripada 13.3 juta pengundi. – The Malaysian Insider

Friday, March 1, 2013

PRU13: PILIHAN RAYA MEDIA SOSIAL - PM

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi akan menjadi pilihan raya media sosial pertama di negara ini apabila internet digunakan sebagai salah satu cara untuk berkempen.

Perdana Menteri berkata, walaupun media sosial bukan faktor terbesar bagi menentukan keputusan pilihan raya, namun beliau percaya penggunaannya pada musim pilihan raya itu akan meningkat secara mendadak terutama perdebatan mengenai isu politik.

"Selama ini pun kita telah melihat bagaimana media sosial menjadi pemangkin untuk ahli-ahli politik berkomunikasi dengan masyarakat dan ini merupakan perkara yang baik.

"Oleh itu sudah pasti ketika musim pilihan raya akan berlaku perdebatan politik sekali gus mengundang lebih ramai pengikut media sosial untuk membincangkannya,'' katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Minggu Media Sosial Malaysia 2013 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengasas serta Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Shahul Hameed Shaik Dawood.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menerima Anugerah Kepimpinan Media Sosial daripada Dewan Media Sosial Malaysia.

Perdana Menteri merupakan pengguna media sosial yang amat aktif dan tujuan utamanya adalah untuk mendekatkan dirinya dengan rakyat.

Untuk rekod, sehingga kini jumlah pengikut Facebook Perdana Menteri adalah 1.4 juta manakala pengikut akaun Twitter miliknya mencecah 1.2 juta.

Dalam ucapannya itu, beliau mahu pengamal-pengamal media sosial di negara ini sentiasa menjaga etika dan tanggungjawab kerana media tersebut juga mempunyai kesannya kepada masyarakat.

"Kita harus matang dan mempunyai sikap bertanggungjawab dalam kita menjadi pengamal-pengamal media sosial,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bagaimana pengalamannya menggunakan media sosial bagi mendapatkan cadangan serta idea daripada rakyat pelbagai lapisan untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2013.

"Hasilnya, saya menerima beribu-ribu cadangan serta idea daripada mereka dan ada di antaranya kita telah masukkan ke dalam draf Bajet terakhir.

"Selepas pembentangan saya juga menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan rakyat melalui talian video. Tujuannya untuk saya memberi penjelasan kepada mereka mengenai bajet berkenaan,'' ujarnya.- Utusan Online

Tuesday, November 20, 2012

KERAJAAN BENTANG USUL KECAM KERAS SERANGAN ISRAEL

PHNOM PENH- Kerajaan akan membentangkan usul tergempar bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Dewan Rakyat, esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu bertujuan menzahirkan sokongan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusian Israel yang mencabuli undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan hak asasi manusia serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tegas beliau, tindakan rejim zionis itu adalah satu jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang Awam Semasa Perang.

"Saya sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membentangkan usul itu di Dewan Rakyat esok," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di sini, hari ini.

Usul berkenaan antaranya akan menggesa Dewan Rakyat untuk mengambil ketetapan seperti berikut:
  • Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.
  •  Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.
  •  Menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung di bawah Resolusi 377A(V) jika Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.
  •  Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
  • Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di Peace Palace di sini yang bermula hari ini.

Najib berkata, Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh untuk menggunakan kekerasan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin.

Dengan itu, katanya, Malaysia menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza.

"Malaysia juga berasa amat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan dengan serta-merta keganasan Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza," katanya.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-39 di Djibouti sudah mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dan menyeru campurtangan Majlis Keselamatan PBB mencari jalan penyelesaian menamatkan konflik itu.

Pada mesyuarat itu, Malaysia mengecam serangan Israel dan menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan membangkitkan perkara itu ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok. – UtusanOnline

Friday, November 16, 2012

KES KEMALANGAN PERGI KERJA NAIK 40 PERATUS
    
KUALA LUMPUR: Kes kemalangan ketika perjalanan ke tempat kerja meningkat 40 peratus dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini daripada 17,704 pada 2006 kepada 28,809 tahun lalu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata punca utama peningkatan kes adalah kurang kesedaran terhadap pemanduan yang selamat di kalangan mangsa.

Peningkatan ini juga dikesan akibat kurang elemen keselamatan dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lam Thye berkata, kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa universiti tempatan mendapati 88 peratus kes kemalangan berlaku semasa perjalanan pergi ke tempat kerja atau selepas bekerja.

Katanya, daripada jumlah itu 52 peratus kemalangan semasa pergi ke tempat kerja, manakala 36 peratus lagi semasa balik ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati 68.8 peratus kemalangan membabitkan pekerja waktu pagi, manakala 55 peratus pula berlaku dalam lingkungan kurang lima kilometer dari tempat kerja.

Katanya, kes kemalangan maut di jalan raya di negara ini juga pada tahap membimbangkan dengan lebih 6,000 kes setiap tahun atau 18 hingga 20 orang sehari dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, daripada jumlah itu 60 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal yang kebanyakannya generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, PERKESO memperkenalkan Pelan Pencegahan Kemalangan Semasa Perjalanan, tahun lalu untuk mengatasi kemalangan semasa perjalanan membabitkan empat program pencegahan.

Antara pendekatan itu adalah program outreach kemalangan semasa perjalanan untuk majikan dan pekerja, program menunggang motosikal dengan selamat dan program pemanduan berhemah.

Menubuhkan sistem pengurusan keselamatan perjalanan atau elemen keselamatan jalan raya dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, katanya. BHarian

Thursday, October 18, 2012

MODUL CEGAH HAMIL LUAR NIKAH DALAM KOKURIKULUM TAHUN 6 & TINGKATAN 3

KUALA LUMPUR: Satu projek perintis untuk mendidik pelajar mengenai bahaya seks luar nikah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum sekolah pada bulan lepas, yang merupakan cara untuk mencegah kehamilan di kalangan gadis di bawah 16 tahun.

Pelaksanaan itu merupakan antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu sosial yang mencatatkan lebih 6,000 kehamilan dan kelahiran yang melibatkan gadis di bawah usia 16 tahun sejak tahun 2000.

“Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sejumlah 6,820 kehamilan dan kelahiran melibatkan gadis di bawah 16 tahun telah direkodkan antara 2000 dan 9 Oktober 2012,” kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) di Parlimen.

Projek perintis itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, mengajar murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga mengenai risiko dan bahaya seks menerusi program Kesihatan Reproduktif dan Sosial.

Program itu berdasarkan modul Kesihatan Reproduktif Remaja oleh Persatuan Kesihatan Reproduktif Persekutuan.

“Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kokurikulum untuk Tahun Enam dan Tingkatan Tiga selepas peperiksaan UPSR dan PMR, serta pelajar yang menjalani peperiksaan khas di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai September,” katanya.

Kementerian itu berkata, terdapat 67 guru diberi latihan untuk mengajar 1,360 pelajar mengenai bahaya dan risiko seks sebelum berkahwin semasa program itu diadakan antara 8 dan 10 September.

KD: Pada asalnya kurang setuju pendedahan awal sebegini dilaksanakan. Tetapi memandangkan zaman kini anak-anak di usia remaja dan berdarah muda amat mudah tersasar dan terjebak dalam gejala sosial terutamanya anak luar nikah dan kes buang bayi, maka mungkin langkah ini adalah satu usaha yang baik. Paling utama subjek Pendidikan Agama Islam (juga Pendidikan Moral) perlu diutamakan kerana pegangan agama yang utuh adalah penyelamat kepada semua masalah.

Wednesday, October 17, 2012

HUKUMAN ROGOL GADIS BAWAH UMUR PERLU DIPUTUSKAN MAHKAMAH

KUALA LUMPUR - Hukuman bagi kesalahan merogol gadis di bawah umur 16 tahun seharusnya kekal diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata, hukuman bagi kesalahan itu tidak wajar ditetapkan kepada satu hukuman semata-mata kerana ada faktor yang perlu dipertimbangkan seperti fakta kes sebelum pesalah dikenakan hukuman berat atau ringan.

"Dalam kes seorang lelaki tua merogol gadis bawah umur, dia memang layak diberikan hukuman paling berat iaitu penjara dan sebatan. Tiada persoalan dalam hal itu.

"Tetapi dalam kes yang melibatkan pasangan remaja, adakah remaja perempuan itu tidak bersalah langsung?

"Saya katakan kedua-duanya bersalah dan adakah adil jika hanya lelaki itu yang dihukum?" katanya sambil menambah kata laporan polis pada kebiasaannya dibuat ibu bapa perempuan yang menjumpai diari anak mereka.

Sehubungan itu, Zaki berpendapat cadangan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol gadis bawah umur harus dikaji secara menyeluruh bagi mengelakkan berlaku ketidakadilan.

Beliau ditemui selepas sesi dialog Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) di Kompleks Kraf di sini, hari ini.

Katanya, ketidakadilan juga boleh berlaku dalam kes sumbang mahram sekiranya hanya lelaki dihukum sedangkan ada di antara kes yang pernah berlaku membabitkan wanita yang lebih berusia.

"Perkara ini perlu dilihat dalam sudut yang lebih luas. Pada saya, penyelesaian terbaik adalah dengan menekankan bahawa remaja tidak boleh melakukan hubungan seks sehingga mereka berkahwin," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam, bahawa kerajaan memberi kebenaran kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda Seksyen 376 supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis di bawah umur dijatuhi hukuman penjara mandatori dan tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Mohamed Nazri berkata, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan supaya hukuman penjara mandatori di bawah Seksyen 376 dikekalkan, dan hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberikan mahkamah kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Keputusan untuk meminda seksyen itu dibuat berikutan jumlah kes rogol melibatkan gadis bawah umur yang terlalu tinggi, selain bagi memelihara golongan itu daripada terdedah kepada jenayah berkenaan tanpa sebarang perlindungan. – BERNAMA/UtusanOnline 

Friday, October 12, 2012

RAMAI PEKERJA HIDAPI PENYAKIT AKIBAT STRES


Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenal pasti hilang pendengaran, penyakit kulit dan penyakit paru-paru sebagai penyakit berbahaya yang sering menghantui kalangan pekerja di abad ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata pekerjamenghidapi tiga penyakit itu akibat tekanan atau stres di tempat kerja.

"Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga telah mengenal pasti tekanan di tempat kerja sebagai satu bencana paling utama dan perlu ditangani dengan segera," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Seminar Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2012 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, Khamis.

Menurutnya penyakit hilang pendengaran disebabkan bunyi bising di tempat kerja mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 867 kes pada tahun lepas tetapi menurun 26 peratus berbanding 1,173 kes pada 2010 .
Beliau berkata mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967, Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bising), pekerja tidak boleh terdedah melebihi 90 desibel secara berterusan atau melebihi had-had yang dinyatakan di dalam JadualPertama atau melebihi dos bising harian serta tiada pekerja boleh terdedahkepada paras bising melebihi 115 decibel pada bila-bila masa.

Menurut beliau sebanyak 102 kes penyakit kulit dilaporkan tahun lepas menurun empat peratus berbanding 106 kes pada 2010, manakala penyakit paru-paru mencatat 101 kes tahun lepas iaitu meningkat 37 peratus, berbanding 63 kes pada 2010.

Pekerja yang terdedah kepada bahan kimia, habuk kayu yang membawa kepada alahan atau keradangan kulit akan mengakibatkan penyakit kulit kepada pekerja, katanya.

Maznah berkata daripada 1,198 kes yang dilaporkan tahun lepas, sektor
pengilangan mencatatkan bilangan penyakit dan keracunan pekerjaan disiasat paling banyak iaitu 559 kes diikuti sektor kemudahan (92 kes) dan sektor perkhidmatan awam (81 kes).

Beliau berkata rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial menunjukkan bilangan kes yang terlibat dengan bencana pekerjaan dan penyakit pekerjaan meningkat setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pengamal bidang kesihatan perubatanmewujudkan persatuan khas bagi menjaga kebajikan pekerja selain meningkatkanusaha menerapkan ilmu pengetahuan, kepekaan tentang keselamatan kesihatanpekerjaan dan melaporkan kes bencana tempat kerja dan penyakit pekerjaan kepadaJKKP.

Seminar tersebut dianjurkan JKKP dengan kerjasama HKL dalam usaha mengurangkan kemalangan di tempat kerja melalui pendedahan mengenai hazad kesihatan selain mengenal pasti penyakit dan keracunan pekerjaan yang sering berlaku di tempat kerja. –BERNAMA/MStar