Tuesday, November 20, 2012

KERAJAAN BENTANG USUL KECAM KERAS SERANGAN ISRAEL

PHNOM PENH- Kerajaan akan membentangkan usul tergempar bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Dewan Rakyat, esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu bertujuan menzahirkan sokongan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusian Israel yang mencabuli undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan hak asasi manusia serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tegas beliau, tindakan rejim zionis itu adalah satu jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang Awam Semasa Perang.

"Saya sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membentangkan usul itu di Dewan Rakyat esok," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di sini, hari ini.

Usul berkenaan antaranya akan menggesa Dewan Rakyat untuk mengambil ketetapan seperti berikut:
  • Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.
  •  Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.
  •  Menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung di bawah Resolusi 377A(V) jika Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.
  •  Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
  • Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di Peace Palace di sini yang bermula hari ini.

Najib berkata, Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh untuk menggunakan kekerasan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin.

Dengan itu, katanya, Malaysia menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza.

"Malaysia juga berasa amat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan dengan serta-merta keganasan Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza," katanya.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-39 di Djibouti sudah mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dan menyeru campurtangan Majlis Keselamatan PBB mencari jalan penyelesaian menamatkan konflik itu.

Pada mesyuarat itu, Malaysia mengecam serangan Israel dan menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan membangkitkan perkara itu ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok. – UtusanOnline

No comments:

Post a Comment