Tuesday, November 20, 2012

BELANJAWAN SELANGOR TIDAK BELA RAKYAT

SHAH ALAM: Belanjawan 2013 yang dibentangkan kerajaan Selangor yang dikuasai PKR, DAP dan PAS, tidak mempunyai sebarang keistimewaan kerana gagal menyediakan program pembangunan rakyat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman, berkata belanjawan RM1.63 bilion dengan RM996.98 juta atau 61 peratus adalah untuk perbelanjaan yang dibentangkan, tidak merangkumi kesejahteraan petani dan usahawan.

Apabila meneliti belanjawan negeri 2013, kerajaan negeri tidak menyalurkan kepada program pembangunan rakyat seperti penyelesaian kepada masalah petani dan usahawan.

Dalam belanjawan kali ini, yang kita nampak projek mega saja, tiada pun tumpuan untuk menyelesaikan janji yang dibuat sebelum ini, katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Pembentangan Belanjawan 2013, DUN Selangor, di sini, semalam.

Dalam pembentangan bajet bertemakan Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.63 bilion dengan RM996.98 juta atau 61 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM663.01 juta atau 39 peratus.

Selain itu, sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi memulakan pelaksanaan penggunaan Storm Water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat.

Masing-masing RM50 juta lagi bagi membaiki dan menaik taraf sistem saliran milik Jabatan Pengairan dan Saliran serta membina rumah mampu milik pasang siap yang dikendalikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Satim berkata, belanjawan dibentangkan itu juga adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada mempersoalkan kegagalan pakatan pembangkang menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

Pengumuman projek mega untuk membina jambatan ketiga di Klang berjumlah RM300 juta hanyalah sebagai helah untuk menutup kelemahan mereka sebelum ini, katanya. -BHarian


No comments:

Post a Comment