Monday, June 17, 2013

GENERASI MUDA MELAYU TIDAK TAHU SEJARAH KAUM SENDIRI

KUALA LUMPUR 16 Jun - Segelintir generasi muda termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerima secara bulat-bulat dakwaan kononnya negara ini bukan milik orang Melayu disebabkan mereka tidak mengetahui fakta mengenai sejarah kaum sendiri.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka terlupa hakikat Malaysia merupakan sebahagian wilayah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu.

Menurut beliau, sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, orang Melayu bebas bergerak di mana-mana sahaja dalam wilayah yang ditadbir kerajaan-kerajaan Melayu seperti di Melaka dan Majapahit.

Namun, tambahnya, apa yang menyedihkan terdapat pihak tertentu cuba menukar fakta itu dengan mendakwa orang Melayu adalah pendatang kerana Orang Asli merupakan penduduk asal negara ini.

"Malah, ada yang kata penduduk asal negara ini ialah kaum Cina. Yang sedihnya, ada orang Melayu bersetuju dengan dakwaan itu kerana mereka tidak tahu sejarah. Ini perkara yang perlu diperbetulkan," katanya sewaktu menjadi seorang daripada ahli panel dalam Forum Rakyat: Melayu Islam Bersatu? anjuran Sahabat Ulul Amri di sini malam tadi.

Musa turut menyelar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyebarkan dakyah liberalisme bagi menyeleweng pemikiran generasi muda tentang konsep kebebasan mutlak.

Beliau memberitahu, NGO terbabit perlu sedar konsep hak asasi manusia yang diamalkan di negara ini adalah tertakluk kepada batasan yang ditetapkan syariah.

"Bukan hak mutlak boleh tidur dengan isteri orang. Bukan hak mutlak boleh tidur lelaki dengan lelaki. Hak asasi Islam mesti mengikut batasan yang dibenarkan Allah SWT," katanya.

Sehubungan itu, tambah Musa, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap anasir-anasir yang menerapkan fahaman liberalisme kerana boleh menyebabkan orang Melayu dan Islam menjadi pendatang di negara sendiri sekiranya tidak ditangani.

Beliau juga meminta kerajaan memberi keutamaan terhadap usaha memerangi rasuah dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam kerana gejala itu mengikis rasa hormat generasi muda Cina kepada orang Melayu.

"Generasi muda Cina membenci rasuah. Apabila orang Melayu menerima rasuah, mereka menganggap seperti menjual hak kepada orang lain dan akibatnya mereka tidak menghormati orang Melayu," katanya. – Utusan Online
JANGAN TERPEDAYA PEMBOHONGAN PEMBANGKANG - PM

JAKARTA 16 jun - Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dinasihatkan tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menjadikan mereka antikerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, fitnah dan pembohongan yang dilempar pembangkang khususnya berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar yang menerima bulat-bulat dakyah tidak berasas itu.

Antara fitnah pembangkang yang tidak masuk akal dan tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari ini tegas Najib, ialah tuduhan Barisan Nasional (BN) membawa 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi.

Ini satu fitnah dan pembohongan. yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini. Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir. Rupanya ada orang tak boleh fikir. Saya dapat tahu peguam pun tak boleh fikir.

Apa masalah golongan ini? Apa sudah jadi dengan tahap kebijaksanaan dan rasional mereka yang tak boleh fikir soal ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut meminta pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana BN boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi pada PRU-13.

Ini kerana, kata Najib, sekiranya benar dakwaan itu berlaku, BN memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal.

Kalau bukan dengan pesawat sekalipun, BN tegas Najib, memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi.

Najib berkata, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.

Saya sebagai Pengerusi BN menafikan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya.

Menurut Najib lagi, BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU-13.

Bagaimanapun, BN ujar beliau, telah kalah dalam perang persepsi (war of perception) kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.

Perdana Menteri berkata, walaupun lawatan ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.

Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi," katanya. – Utusan Online
APA LAGI YANG ANWAR IBRAHIM MAHU?

Oleh: Abdul Rahman Dahlan, The Malaysian Insider

Satu fenomena menarik yang saya amati sejak kebelakangan ini ialah suara suara `lantang’ yang berkumandang dari lubuk Pembangkang. Boleh dikatakan saban hari, ada saja yang tidak kena. Apa lagi yang Pakatan Rakyat mahu agaknya? Pilihanraya sudah lama berakhir. Kerajaan sudah ditubuhkan, dan Parlimen sudah hampir bersidang.

Tidak sampai seminggu selepas pilihan raya umum lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memulakan `kecoh’ nya. Bermula dengan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, dia kemudiannya merantau ke setiap pelusuk negara di bawah sepanduk `Black 505’, menyuarakan ketidakpuasan hatinya atas keputusan pilihan raya umum yang tidak memihak kepada Pakatan Rakyat.

Anwar menganggap kekalahan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional, walaupun Pembangkang secara keseluruhannya menerima undi popular yang lebih besar, adalah tidak mencerminkan demokrasi sebenar. Dia mendakwa keputusan pilihanraya telah di `curi’ oleh Barisan Nasional menerusi penipuan dan manipulasi.

Yang terbaru, desakan keras supaya anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan, walaupun mereka memikul tugas besar untuk mengkaji semula persempadanan kawasan pilihanraya yang berdasarkan jadual yang ditetapkan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, saya kira semua ini hanyalah `smokescreen’ Anwar untuk menarik perhatian umum daripada hakikat sebenar, bahawa kekalaha Pakatan Rakyat itu adalah disebabkan oleh kelemahan strategi beliau di Sabah. Anwar Ibrahim sebenarnya gagal memahami suasana politik di Sabah, dan ini menyumbang kepada kegagalan Pakatan memenangi kerusikerusi Parlimen penting yang boleh membantu mewujudkan kerajaan Pusat.

Sebagai contoh, pemimpin PKR Sabah tidak memahami apakah keuntungan strategi Anwar dalam membawa masuk Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, dan membenarkan kedua-duanya mempengaruhi senarai calon pilihanraya di negeri itu. Ini kerana PKR Sabah sudah pun mempunyai senarai calon tersendiri yang sudah lama membanting tulang untuk parti sejak ditubuhkan 15 tahun lalu. Mereka ini diketepikan begitu saja.

Jelas sekali, Anwar terlalu yakin bahawa Sabah boleh membantu `menghadiahkan’ kerusi-kerusi Parlimen yang diperlukan, sehingga beliau mengabaikan negeri itu apabila pilihan raya menjelang tiba dan memberi tumpuan hebat kepada kerusi-kerusi panas di Semenanjung.

Kerana kegagalan percaturan itu, Pakatan kehilangan Sabah, dan sekaligus tewas dalam pilihan raya umum lalu.

Masanya sudah tiba bagi Pakatan Rakyat untuk meletakkan pilihan raya sebagai sejarah silam, dan merintis jalan untuk membina negara. Dalam konteks ini, biarlah saya menjadi orang pertama yang membuka jalan kerjasama. Sebagai Menteri, saya sendiri sudah menjemput Anwar untuk menamakan pemimpin Pakatan untuk bersemuka dan berbincang mengenai isu semasa berhubung kementerian saya. Sehingga kini, pelawaan saya masih tidak berjawab. Saya kira rakyat berhak bertanya, kenapa?

Anwar juga mengembar-gemburkan isu undi popular dalam ucapannya. Jika dikaji, kelebihan undi popular Pakatan Rakyat adalah kira-kira 380,000 undi. Bagaimanapun, undi popular itu sebenarnya adalah ihsan DAP kepada Anwar, yang boleh dilihat menerusi kawasan bandar seperti Seputeh yang mencatatkan majoriti 51,000 undi, PJ Utara (45,000), Cheras (37,000),Serdang (42,000), Puchong (32,000) dan Bukit Gelugor (41,000). Jelas sekali, majority itu datang dari kawasan DAP.

Seperkara lagi yang perlu diingatkan, ialah mungkin Anwar lupa walaupun secara statistiknya Pakatan Rakyat memenangi undi popular, tetapi Barisan Nasional menerima sokongan `takdir’ yang membantu gagasan itu memenangi PRU13 baru-baru ini. Pendek kata, takdir dan kuasa Tuhan menentukan segala-galanya.


* Datuk Abdul Rahman Dahlan ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ahli Parlimen Kota Belud. 
TELITI UNDANG-UNDANG INTERNET UNTUK DIKUATKUASA DI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ramai yang setuju supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baru atau mengemaskini undang-undang sedia ada.

Namun, ramai juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat negara ini juga perlu diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang Internet di Barat perlu diteliti sebelum boleh digunapakai.

Sensitiviti kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti, namun mereka masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi.

Masyarakat negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.

“Contoh lain, jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan tuduhan (jika fitnah itu palsu) dan jika mereka yang buat fitnah didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman,” katanya.

“Namun perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah atau perihal Akta Hasutan.”

Beliau berkata, seharusnya kebebasan bersuara perlu datang dengan rasa tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga Negara – Amerika Syarikat, Britain dan Australia – dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri.

Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.

Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara.

Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya.

Tumpuan sekatan terutamanya kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram yang lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.

Di Britain pula penapisan Internet termasuk menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak.

Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.

Sesuaikan dengan budaya

Azizul berkata, negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai undang-undang yang hampir sama dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013 Britain (yang baru) namun negara tersebut lebih cekap dan pantas mengambil tindakan kerana telah lama melaksanakannya.

Di Malaysia sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan realiti sehingga tidak tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.

Jadi cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan jangan bertolak ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah kerana kalau tidak dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan boleh menjadi huru-hara, katanya.

Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA, Dr. Norbaiduri Ruslan berkata rakyat di Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak mereka termasuk mementingkan kebebasan dan privasi di tahap yang tertinggi.

“Kita masih belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini),” katanya. “Bila kita sudah sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan tahu jaga perilaku kita di alam maya dan realiti.

“Kempen kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang bagaimana cara menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana ketika ini terlalu banyak pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat spiritual, personaliti dan lemah psikologi.

“Jika kita terlalu ingin sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita,” katanya.

Didik rakyat Malaysia

Norbaiduri berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada.

Pengamal Undang-Undang, Khairul Azam Abd Aziz berkata, seseorang penulis termasuk dalam dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman.

“Kalau penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu gugat ketenteraman awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi,” katanya.

Seorang blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata, kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media demi masa depan generasi mendatang.

“Penyalahgunaan media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak terkecuali. Apabila orang dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa usul periksa semata-mata kerana menaruh perasaan geram, ia akan menjadi ikutan.

“Di peringkat kanak-kanak akan timbul masalah pembuli siber,” katanya. – Bernama/The Malaysian Insider